Friday, 14 December 2018

HSM 418- Peristiwa 13 Mei bukanlah berpunca daripada keputusan pilihanraya 10 Mei 1969. Bibit-bibit yang mendorong ke arahnya telah tersemai sejak 1940-an lagi. Bincangkan dengan merujuk kepada beberapa tulisan utama peristiwa 13 Mei 1969.


PENGENALAN               
Peristiwa 13 Mei menjadikan titik penting dalam sejarah Malaysia.  Peristiwa itu mengejutkan ramai orang terutamanya kalangan pemimpin Parti Perikatan yang sering memperkatakan bahawa mereka bertolak ansur antara kaum dan menyelesaikan melalui rundingan supaya negara mencapai kemerdekaan tanpa pertumpahan darah. Peristiwa berdarah itu telah mengorbankan ramai orang dan mengakibatkan kerugian harta benda. Peristiwa ini berlaku bukanlah disebabkan prilihanraya 10 Mei 1969 tetapi ia masalah perpaduan yang telah lama berakar umbi dalam masyarakat majmuk Malaysia sebelum tahun 1969 lagi.[1]
            Peristiwa ini berlaku apabila kumpulan DAP (Parti Tindakan Demokratik) dan GERAKAN mengadakan satu perarakan besar-besaran dengan tujuan menghebahkan perihal kemenangan besar yang dimiliki. Selain itu, parti ini ingin memberitahu kepada orang Melayu bahawa mereka berjaya memiliki Tanah Melayu dengan memperolehi majoriti besar dalam pilihanraya 1969. Namun, bagi orang Melayu, perarakan ini telah mencabar kewibawaan mereka sebagai ‘tuan’ di bumi Malaysia. Perarakan ini diadakan pada 13 Mei bagi meraikan kemenangan PERIKATAN di rumah Dato’ Harun yang juga Menteri Besar Selangor. Sewaktu perarakan tersebut, orang Melayu mendapat berita bahawa orang Cina menyerang orang Melayu di Setapak. Maka kumpulan perhimpunan tersebut telah berarak dari jalan Raja Muda ke lokasi tersebut, sewaktu dalam perarakan tersebut mereka telah berjumpa dengan dua orang Cina yang sedang menaiki motosikal, pemuda tersebut telah dibunuh. Maka inilah yang mula mencetuskan rusuhan yang hebat dalam sejarah Malaysia. Orang Cina pula telah menahan bas bagi mencari orang Melayu dan melaungkan ‘darah bayar darah’ yang merupakan slogan yang sama digunakan sewaktu perakaran mayat.[2]
Skop perbincangan esei ini akan berkisarkan kepada hujah-hujah bahawa  peristiwa 13 Mei bukanlah berpunca daripada keputusan pilihanraya 10 Mei 1969. Bibit-bibit yang mendorong ke arahnya telah tersemai sejak 1940-an lagi iaitu semasa zaman pemerintahan Jepun di Tanah Melayu. Esei ini menggunapakaikan tiga buah buku sebagai rujukan yang utama iaitu 13 Mei Sebelum dan Selepas yang ditulis oleh Tunku Abdul Rahman, May 13 Declassified Documents on the Malaysian Riots of 1969 yang ditulis oleh Dr Kua Kia Soong dan Peristiwa 13 Mei Sejarah Perhubungan Melayu-Cina yang ditulis oleh Leon Comber.
13 MEI SEBELUM DAN SELEPAS (TUNKU ABDUL RAHMAN)
            Buku ini ditulis sendiri oleh Tunku Abdul Rahman dalam tempoh beliau menjalani rawatan mata di Hospital Universiti Kuala Lumpur. Buku ini ditulis berdasarkan sudut pandangan beliau sebagai Perdana Menteri ketika itu. Beliau menyangkal bahawa peristiwa ini terjadi disebabkan kapitalis Melayu tetapi sebaliknya dalangnya ialah orang Cina.[3]
            Menurut beliau lagi, peristiwa ini mempunyai kaitan dengan pilihanraya pada 10 Mei 1969 yang dipengaruhi oleh fahaman komunis. Contohnya, pihak komunis cuba untuk mengacau-bilaukan suasana pilihan raya semasa kempen pilihan raya. Pihak komunis dan pihak pembangkang dalam politik telah didakwa memainkan sentimen perkauman terhadap kedua-dua kaum iaitu Melayu dan Cina. Parti yang didakwa memainkan isu sensitif ialah Parti Islam Sa-Tanah Melayu (PAS), Parti Tindakan Demokrat (DAP), Parti Gerakan dan Parti Progresif Rakyat (PPP). Parti Komunis Malaya (PKM) bergerak aktif di bawah tanah telah mengambil kesempatan untuk melahirkan suasana tegang bermula dari perarakan-perarakan pada 11 dan 12 Mei 1969 yang membawa kepada peristiwa 13 Mei.[4]

Sebelum terjadinya peristiwa 13 Mei 1969, beberapa keadaan telah timbul bermula dari bulan April 1969. Keadaan paling teruk ialah Lim Soon Seng pada ketika itu berumur 24 tahun. Beliau merupakan ahli biasa Parti Buruh yang meninggal dunia akibat bertempur dengan pihak polis. Pihak komunis mengambil kesempatan dengan hal itu lalu mengangkat beliau sebagai ‘pahlawan’ yang menjadi pahlawan perjuangan. Pihak komunis memohon kepada pihak polis untuk mengadakan perarakan mayat pada hari mengundi iaitu 9 Mei 1969 iaitu sehari seblum pilihanraya di Kuala Lumpur.[5] Sebenarnya perarakan ini merupakan tradisi biasa bagi orang Cina pada masa itu tetapi ianya telah dipengaruhi oleh anasir-anasir komunis. Pada hari perarakan tersebut disertai oleh puluhan ribu orang Cina. Mereka memperlekehkan orang Melayu dengan mengatakan bahawa “Engkaulah Melayu bodoh” dan “tidak berkuasa”. Hal ini telah menimbulkan kemarahan orang Melayu.[6]
            Pada 12 Mei 1969, Parti Gerakan dan Parti DAP yang diketuai oleh Dr. Tan Chee Khoon telah mengadakan perarakan sebagai tanda kemenangan beliau di kawasan batu, Selangor.[7] Tetapi perarakan itu bertukar menjadi ganas. Mereka yang menyertai perarakan hilang kawalan dalam meraikan kemenangan parti mereka. Bukti mereka mengejek orang Melayu,
“…seorang darinya telah melaungkan perkataan “Melayu Mati” di hadapan rumah kediaman anggota-anggota polis di balai itu, juga menunjukkan kemaluannya kepada polis…salah satu daripadanya telah pergi ke Jalan Mountbatten menahan kereta-kereta orang Melayu dengan memaki hamun…”.[8]
Hal ini menunjukkan bahawa peserta perarakan pada masa itu hilang kawalan sehinggakan mencetuskan kemarahan orang Melayu. Namun selepas itu, Dr Tan memohon maaf secara terbuka di akhbar atas kelakuan penyokongnya yang menyusahkan orang ramai. Tetapi ianya terlambat.[9] Hal ini demikian kerana orang Melayu masih sakit hati dengan peristiwa itu.
Selain itu, setelah perarakan yang berlesen itu tamat, ianya diteruskan lagi dengan perarakan haram. Penganjur perarakan ini telah melanggar arahan polis iaitu mereka melalui jalan yang tidak diberikan kebenaran untuk mengadakan perarakan.
“Saya telah beri perintah supaya kedua-dua perarakan dihentikan kerana tidak ada kebenaran polis. Kumpulan simpanan persekutuan (FRU) telah dihantar untuk menyuraikan”.- Encik Abu Bakar Abdul Aziz, Pegawai Penjaga Daerah Polis Kuala Lumpur[10]
Kemudiannya, beliau menghubungi V.David, ahli parlimen yang mengetuai perarakan untuk menghentikannya dengan segera.
“Dia tanya saya samada saya kenal siapa dia? Saya jawab kenal dia sebagai Enik David dan dia berkata dialah ahli parlimen baru dipilih dan itu tidak menjadi soal dan dia mesti memberitahu kepada penyokong-penyokongnya supaya bersurai jika tidak anggota FRU akan menyuraikannya. Dia langsung berkata ‘pergi berambus FRU , kamu anak haram !’ dan terus menghentakkan telefon”.[11]
Pernyataan ini jelaslah menunjukkan penghinaan ahli parlimen terhadap anggota polis terutamanya pasukan FRU.
            Pada pandangan saya, apa yang saya dapat rumuskan bahawa Tunku Abdul Rahman menyalahkan semua pihak di atas kejadian 13 Mei 1969. Beliau tidak mengakui bahawa beliau sendiri gagal dalam menyelesaikan masalah negara. Malah sibuk mengenai pilihanraya tahun 1969. Mengapa pilihanraya dijadikan modal kepada isu terjadinya 13 Mei ini? Kenapa kerajaan di bawah Tunku sendiri gagal menyelesaikan masalah ini? Adakah ianya semata-mata tidak mahu kehilangan pengaruhnya atau terlalu menjaga hati kaum bukan Melayu dan Melayu?
MAY 13: DECLASSIFIED DOCUMENTS ON THE MALAYSIAN RIOT OF 1969 (DR KUA KIA SOONG)
Buku ini ditulis oleh Dr Kua Kia Soong yang merupakan seorang pengarah SUARAM, badan NGO menyuarakan pendapat rakyat Malaysia. Hasil penulisannya berbeza dengan versi-versi yang sering kita dengari. Hal ini demikian kerana beliau menegaskan bahawa rampasan kuasa yang berlaku oleh elit Melayu iaitu Tun Abdul Razak terhadap Tunku Abdul Rahman. Ia dibuktikan dengan penulisan seorang wartawan iaitu Subky Latiff (1977) iaitu,
“The May 13 Incident did not occur spontaneously. It was planned quickly and purposely. The identity of the the planners of the incident cannot be stated with accuracy. But whatever it was that happened, the May 13 Incident was a form of coup d’etat directed against Tunku Abdul Rahman. The Tunku’s power in fact ended from then onwards.”[12]
Ia diakui oleh Tunku Abdul Rahman yang mengatakan bahawa, “You know Harun, Mahathir, Ghazali Shafie - who were all working with Razak to oust me, to take over my place...”.[13] Tunku sendiri mengakui terdapat pihak yang ingin menjatuhkan kuasanya sebagai Perdana Menteri. Pada pendapat saya, pihak tertentu ingin menjatuhkan Tunku Abdul Rahman atas kegagalan beliau dalam menyelesaikan masalah negara.  Selain itu, beliau (Dr Kua) menafikan orang Cina yang mencetuskan peristiwa berdarah ini.
Late on Tuesday afternoon (May 13), young Malays from the whole of Selangor began to assemble outside the residence of the Selangor Mentri Besar, Dato Harun. A retalitory march had been planned by the UMNO youth to end in a rally at Suleiman Court near Batu Road, but police permission was withheld.”[14]
Berdasarkan pernyataan beliau di atas membawa maksud rusuhan ini adalah perbuatan ‘samseng Melayu’ yang disokong oleh ahli-ahli politik yang merancang merampas kuasa Tunku Abdul Rahman. Buktinya, pada 13 Mei, sekumpulan samseng tiba-tiba muncul dari semua penjuru untuk berkumpul di kediaman Datuk Harun. Tindak tanduk polis dan tentera dipersoalkan kerana hanya berdiri dan memerhatikan apa yang sedang berlaku.[15]
Selain itu, penulis buku ini juga mengatakan bahawa peristiwa 13 Mei merupakan satu ‘coup d’etat’ atau rampasan kuasa Tunku Abdul Rahman oleh golongan kapitalis Melayu turut mendapat sokongan daripada polis dan tentera untuk merampas kuasa.
“Less than a week after the riots, the reins of power had effectively passed to Razak, the then deputy prime minister, indicating that there had been a plot to bring about the coup d'etat”[16]
Pernyataan di atas membawa maksud kurang daripada seminggu rusuhan itu, Tun Abdul Razak mempengerusikan majlis operasi negara. Pada 19 Mei, Tun Abdul Razak diberi kuasa penuh untuk mentadbir negara. Bagi Dr Kua, wujudnya komplot menjatuhkan Tunku Abdul Rahman.[17]  Agensi perisikan pusat juga mengesan perkara yang dirancang oleh Tun Razak telah meminggirkan orang Cina dan mengetepikan Tunku. Hal ini berdasarkan pernyataan di bawah,
“The exact relationship between Tun Razak and the Tunku is not clear. In public tun razak says he is directly responsible to the tunku but he has made it clear privately that he is completely  in charge of the country. This couls mean the beginning of A process of withdrawal by the tunku as a effective PM.”[18]
Jika kita meneliti penggunaan sumber yang digunakan dalam penghasilan buku ini terdapat unsur bias atau tidak objektif. Hal ini demikian kerana beliau menggunakan sumber daripada Public Records Office At London. Sumber itu sudah pastilah datangnya daripada sumber British semata-mata. Hal ini terdapat unsur memburukkan pemimpin Melayu sekiranya kita menilai dari sudut kaca mata penjajah. Terdapat unsur rasis terhadap sesuatu kaum. Pelik juga saya kenapa buku ini tidak diharamkan? Kenapa penulis buku memandang satu pihak saja yang menjadi punca terjadinya peristiwa ini? Buku ini tidak menyentuh bibit-bibit ke arahnya bermula dari zaman Jepun lagi.
LEON COMBER: PERISTIWA 13 MEI SEJARAH PERHUBUNGAN MELAYU-CINA
Buku ini ditulis oleh Leon Comber yang merupakan pegawai tentera dan polis British. Penulisan beliau berbeza dengan dua penulisan yang disentuh dalam esei ini. Beliau mengatakan bahawa bibit ke arah peristiwa itu berlaku sejak zaman kependudukan Jepun di Tanah Melayu pada tahun 1940-an. Buku ini juga menyentuh mengenai sikap mengkritik dan memandang rendah antara kedua-dua kaum iaitu Melayu dan Cina. Contohnya, orang Cina memandang rendah terhadap orang Melayu dan mengkritik orang Melayu sebagai pemalas, mundur dan suka berhibur manakala orang Melayu tidak dapat menerima corak kehidupan orang Cina yang bertentangan dengan ajaran Islam sehinggakan konflik perkauman mulai muncul.[19]
ZAMAN PENDUDUKAN JEPUN
Semasa penjajahan Jepun selama tiga tahun setengah di Tanah Melayu, ketegangan hubungan antara tiga kaum iaitu Melayu, Cina dan India mulai tercetus. Hal ini demikian kerana sikap pentadbir Jepun yang membeza-bezakan dari segi layanan antara orang Melayu dengan orang bukan Melayu. Misalnya, orang Cina dilayan buruk disebabkan sejarah lampau iaitu Jepun pernah berperang dengan China 1937 manakala Jepun melayan orang Melayu dan orang India dengan baik supaya Jepun memperolehi sokongan daripada mereka.[20] Disebabkan hal ini telah menimbulkan perselisihan faham antara orang Melayu dan orang Cina. Walhal pada hakikatnya, Jepun memperkuatkan perasaan perkauman dalam kalangan Tanah Melayu.
            Orang Cina berdendam dengan orang Melayu sebaik sahaja Jepun menarik diri daripada penjajahan di Tanah Melayu. Orang Cina kebanyakan menyertai Malayan People’s Anti-Japanese Army atau MPAJA telah bertindak dengan sesuka hati mereka untuk memburu pensubahat Melayu yang bekerjasama dengan Jepun.[21] Buktinya, sekitar bulan Ogos sehingga November 1945 telah berlaku pembunuhan yang mengakibatkan kematian lebih 600 orang di Johor, Negeri Sembilan dan Perak.[22]
            Menurut laporan Majlis Keselamatan Negara (1969);
 During the brief period of MPAJA ascendancy the torture and killing of large numbers of innocent Malays became an episode that indelibly imprinted in Malay minds the dangers of Chinese ascendary”.[23]
Berdasarkan laporan di atas menunjukkan orang Cina telah bersikap kejam terhadap orang Melayu sehingga membibit rasa benci orang Melayu terhadap orang Cina. Jelaslah perasaan dendam yang amat mendalam orang Melayu dan orang Cina selepas pengunduran Jepun di Tanah Melayu.


ISU KERAKYATAN DALAM MALAYAN UNION DAN PERLEMBAGAAN
            Sekembalinya British ke Tanah Melayu, British telah memperkenalkan satu pelembagaan yang diberi nama Malayan Union. Tujuannya ialah menyelaraskan dan menyatukan pentadbiran Tanah Melayu. Pada masa yang sama, British berhasrat memperkenalkan kerakyatan yang sama dengan tujuan memenuhi tuntuan orang bukan Melayu untuk memikul tanggungjawab terhadap negara dan mendapat kerakyatan.[24]
            Namun begitu, pelaksanaan cita-cita British iaitu persamaan hak rakyat di Tanah Melayu ditentang oleh orang Melayu. Disebabkan penentangan itu, British memperkenalkan Perlembagaan Tanah Melayu 1948.
“The Malays “used to be poor man in a poor country, and now they were poor men in a rich country,” and felt their very existence jeopardised by this treat to their political survival”.[25]
            Sebenarnya pengenalan kepada Perlembagaan Tanah Melayu 1948 tidak banyak beza dengan Malayan Union 1946. Hanyalah hak istimewa orang Melayu yang diperjuangkan dalam Persekutuan Tanah Melayu 1948 sehinggakan pertikaian orang Melayu dan orang bukan Melayu dalam soal kewarganegaraan berterusan.
Cadangan-cadangan kerakyatan Malayan Union iaitu orang bukan Melayu layak memperoleh kewarganegaraan sekiranya mereka lahir di Tanah Melayu atau telah tinggal selama 10 hingga 15 tahun dari tarikh sebelum sebelum pelaksanaan Malayan Union. Hal ini disebabkan tujuan British membuka pekhidmatan awam di negeri Melayu kepada orang bukan Melayu.[26] Pada pendapat saya, orang Melayu menentang kerana British cuba menghapuskan ‘keistimewaan orang Melayu’ secara perlahan-lahan. Disebabkan hal penentangan itu, British memperkenalkan Perlembagaan Tanah Melayu. Syarat kerakyatan diperketatkan lagi. Salah satu syaratnya ialah mereka (pemohon yang dari negeri luar) perlu tinggal di Tanah Melayu selama 15 hingga 25 tahun dan perlu mempunyai pengetahuan secukupnya dalam bahasa Melayu atau bahasa Inggeris. Rakyat raja-raja Melayu automatik menjadi rakyat Persekutuan. Disebabkan syaratnya itu telah menyekat orang bukan Melayu terutamanya orang Cina menjadi warganegara di negeri ini. Hal ini disebabkan bukan semua orang bukan Melayu mempunyai pengetahuan mengenai bahasa Melayu. Mereka mengugut keluar daripada majlis. Hal ini disokong oleh beberapa parti politik dan mewujudkan Majlis Tindakan Bersama Seluruh Malaya. Hal ini merupakan penentangan orang bukan Melayu terhadap orang Melayu.[27]
PENGUATKUASAAN AKTA 152
“Dasar pelajaran kebangsaan adalah untuk mewujudkan sistem pelajaran kebangsaan yang dapat diterima oleh semua rakyat. Ini akan memenuhi keperluan mereka dan dapat pula menyambungkan kebudayaan, sosial, ekonomi dan politik mereka sebagai suatu bangsa dengan tujuan menjadikan Bahasa Melayu sebagai bahasa rasmi negara. Dalam pada itu, akan dipelihara dan dipupuk pertumbuhan bahasa dan kebudayaan rakyat selain daripada orang-orang Melayu yang tinggal di negara ini.”[28]
            Berdasarkan dasar di atas jelaslah menunjukkan bahawa Bahasa Melayu dijadikan bahasa rasmi negara. Bahasa ini digunakan di sekolah dengan tujuan mengajar. Selain itu, Bahasa Inggeris dijadikan bahasa rasmi tetapi pada tahun 1967 ianya dijadikan bahasa rasmi sampingan. Hal ini bermakna bahasa Melayu dijadikan bahasa rasmi yang tunggal dan digunakan sebagai bahasa pengantar di sekolah. Namun begitu, orang Cina membantah dengan dasar tersebut. Mereka menuntut bahasa ibunda mereka iaitu bahasa Cina dijadikan bahasa rasmi di sekolah. Alasan mereka ianya akan ‘membunuh’ anak orang Cina dari segi kebudayaan dan hak mereka.[29]
            Jika diteliti bahawa bahasa Melayu dipilih menjadi bahasa rasmi kerana orang Melayu merupakan kaum majoriti di Malaysia. Orang Melayu kebanyakan menutur bahasa Melayu maka tidak salah ianya diangkat sebagai bahasa rasmi. Orang bukan Melayu hanya pendatang seharusnya menerima dengan hati yang terbuka. Orang bukan Melayu boleh sahaja menggunakan bahasa ibunda masing-masing di mana-mana tempat tanpa ada sekatan pun.
SIKAP LEE KUAN YEW
Lee Kuan Yew telah mengeluarkan kenyataan bahawa “orang Melayu merupakan bangsa yang datang ke Malaysia dalam bilangan kecil dalam kira-kira 700 tahun dahulu. Daripada 39% orang Melayu di Malaysia hari ini, kira-kira satu pertiga daripada mereka adalah pendatang-pendatang baru seperti Setiausaha Agung UMNO, Dato Syed Ja’afar Albar, yang telah datang dari Tanah Melayu ke Indonesia sebelum perang, ketika berusia 30 tahun. Dari itu, adalah salah dan tidak logik bagi sesuatu kumpulan yang tertentu itu memikirkan bahawa mereka lebih adil dipanggil rakyat Malaysia, dan orang lain menjadi rakyat Malaysia hanya dengan kegemaran mereka.”[30]
            Berdasarkan kenyataan di atas telah menunjukkan terdapat unsur provokasi kaum sengaja diwujudkan oleh Lee Kuan Yew. Kenyataannya itu telah menyinggung perasaan orang Melayu dan raja-raja Melayu. Datuk Abdul Razak menegur Lee Kuan Yew sekiranya “terjadinya rusuhan sudah pasti la Lee Kuan Yew menderita”.Disebabkan hal itu Tunku Abdul Rahman mengambil keputusan untuk mengeluarkan Singapura daripada Malaysia pada 9 Ogos 1965 demi mengelakkan pertumpuhan darah.[31] Jika diteliti Lee Kuan Yew tersangatlah licik sengaja menimbulkan isu provokasi yang menyebabkan kemarahan orang Melayu.
RUMUSAN
Berdasarkan tiga buah buku yang memerihalkan peristiwa 13 Mei 1969 mempunyai pandangan tersendiri. Contohnya, Tunku Abdul Rahman mengatakan bahawa peristiwa ini terjadinya disebabkan komunis. Hal ini berbeza dengan penulisan Leon Comber yang bersifat neutral dengan tidak memihak mana-mana pihak dan mengatakn ianya sudah ada sejak zaman Jepun lagi. Sememangnya peristiwa ini adalah berpunca daripada konflik perkauman yang berlanjutan sejak zaman kolonial British yang mengamalkan pecah dan perintah perintah yang cuba mengasingkan pertempatan mengikut kaum. Perasaan perkauman yang tersemai ini semakin mendalam dengan adanya rentetan peristiwa-peristiwa selepas zaman kolonial seperti kedatangan Jepun, pemerintahan Bintang Tiga dan peristiwa-peristiwa yang lain sehinggalah tercetusnya tragedi berdarah ini.

BIBLIOGRAFI
Comber, Leon. Peristiwa 13 Mei: Sejrah Perhubungan Melayu-Cina, (Terj. Omar Din Haji Ashaari).  Petaling Jaya: International Book Service. 1985.
Kua Kia Soong. May 13: Declassified Documents On The Malaysian Riots Of 1969. Kuala Lumpur: Polar Vista Sdn. Bhd. 2007.
Khoo Kay Kim dan Jazamuddin Baharuddin. Malaysia: Sejarah dan Proses Pembangunan. Kuala Lumpur: Persatuan Sejarah Malaysia, 1979.
National Operations Council. The May 13 Tragedy A Report. Kuala Lumpur: National Operations Council, 1969.
Tunku Abdul Rahman. 13 Mei: Sebelum Dan Selepas. Kuala Lumpur: Utusan Publication And Distributors Sdn. Bhd. 2007.



[2] Tunku Abdul Rahman, 13 Mei: Sebelum Dan Selepas, Kuala Lumpur, Utusan Publication And Distributors Sdn. Bhd, 2007, Hlm. 65
[3] Ibid
[4] Ibid, hlm. 21
[5] Ibid, hlm. 56.
[6] Ibid, hlm. 68.
[7] Ibid, hlm. 88.
[8] Ibid, hlm. 91.
[9] Ibid, hlm. 69.
[10] Ibid, hlm. 70.
[11] Ibid, hlm. 72.
[12] Kua Kia Song. May 13 Declassified Documents On The Malaysian Riots Of 1969. Petaling Jaya, Suaram Komunikasi, 2007, hlm. 3.
[13] Ibid, hlm. 3.
[14] Ibid, hlm. 43.
[15] Ibid, hlm. 43.
[16] Ibid, hlm. 60.
[17] Ibid
[18] Ibid
[19]Omardin Haji Ashaari (terj). Peristiwa 13 Mei Sejarah Perhubungan Melayu-Cina. Petaling Jaya, International Book Service, 1985, hlm. 51.
[20] Ibid, hlm. 36.
[21] Ibid
[22] Ibid
[23] National Operations Council, The May 13 Tragedy A Report. Kuala Lumpur, National Operations Council, 1969, hlm. 8.
[25] National Operations Council, The May 13..., hlm. 5.
[26] Omardin Haji Ashaari (terj)., Peristiwa 13 Mei..., hlm. 41.
[27] Ibid, hlm. 44.
[28] Ibid, hlm. 54.
[29] Ibid
[30] Ibid, hlm. 75.
[31] Ibid, hlm. 76.