Sunday, 9 January 2022

BULI SIBER SEMAKIN MENJADI-JADI DALAM KALANGAN NETIZEN MALAYSIA. SEJAUH MANAKAH BUDAYA INI TELAH MENYEBABKAN MANGSA BULI MENGALAMI MASALAH MENTAL.

 Assalamulaikum dan hi.


Sis nak share pasal artikel yang sis menang baru-baru ini. So sis nak share di sini. Artikel ini ORIGINAL tau. Sis dapat ilham bila sis baca berita tentang kematian dua artis kpop yg mati bunuh diri disebabkan dipression. Yang mana salah satu sebab dia ialah perangai knetz yg puaka niyang rapik tu. Sis selit sikit pengalaman sis di buli semasa sekolah. yg tu next posting tunggu.


TEMA: BULI SIBER

TAJUK: BULI SIBER SEMAKIN MENJADI-JADI DALAM KALANGAN NETIZEN MALAYSIA. SEJAUH MANAKAH BUDAYA INI TELAH MENYEBABKAN MANGSA BULI MENGALAMI MASALAH MENTAL.

Teknologi pada hari ini seperti Whatsapp, Instagram dan Facebook menjadi medium komunikasi dua hala. Namun ianya disalahgunakan oleh sesetengah netizen Malaysia untuk mengecam, mengganggu, memalukan atau mengugut mangsa melalui perkataan yang negatif, penyebaran maklumat palsu mahupun perkongsian gambar atau video yang boleh menjatuhkan imej si mangsa. Disebabkan perbuatan ini Malaysia terletak di tangga kelima dunia dalam kategori buli siber sekali gus yang pertama di Asia sebagai 'kaki buli' di alam maya. Ini dibuktikan baru-baru ini Miss Universe Malaysia 2020, Francisca Luhong telah dilabelkan oleh netizen Malaysia sebagai model bogel (nude model). Menurut Francisca meluahkan rasa kecewa kerana dilabel sebegitu oleh netizen Malaysia. Sebenarnya banyak lagi contoh kes buli siber yang berlaku di Malaysia. Budaya buli siber telah memberi kesan yang negatif kepada mangsa amnya seperti mental dan lain-lain kesan kerana mangsa diserang selama 24 jam per tujuh hari.

            Mangsa yang dibuli dalam siber telah menyebabkan mangsa mengalami gangguan mental. Misalnya mangsa membaca komen negatif di media sosial mengenai dirinya pada mulanya mangsa tidak kisah. Cuba bayangkan kalau mangsa menerima komen hampir setiap hari apa perasaan mangsa yang membaca. Mangsa akan hidup seperti dia berasa tiada harapan dan tidak bermakna. Silap haribulan mangsa mengalami kemurungan berpanjangan dan ada yang mengambil keputusan mengakhiri nyawa sendiri. Bukan setakat itu sahaja, mangsa mengalami ketidakyakinan terhadap diri sendiri atau insecure. Contohnya, mangsa teringin melakukan perkara yang disukainya seperti mengambil gambar tetapi mangsa takut tindakannya dikritik dengan teruk oleh netizen walaupun mungkin gambar itu hanyalah pemandangan sahaja. Menurut kajian yang dilakukan mendapati bahawa 93% mangsa buli siber mengalami depresi. Jika ia tidak dirawat mangsa mungkin akan melakukan tindakan yang berbahaya.

            Selain itu, mangsa buli siber juga mengalami masalah kesukaran tidur. Hal ini demikian kerana mangsa mengalami kemurungan akan sukar untuk tidur. Tidur merupakan proses istirahat bagi semua kehidupan di dunia ini selepas melakukan pelbagai kerja di siang hari. Setiap manusia memerlukan jam tidur yang berbeza. Misalnya, orang dewasa memerlukan tidur selama lapan jam sehari. Pentingnya tidur yang cukup kerana tidur dapat mengembalikan stamina dan fungsi tubuh. Namun bagi mangsa buli siber, mereka sukar tidur kerana memikirkan kenapa mereka kena buli siber yang mana akhirnya menyebabkan kemurungan. Menurut kajian yang dibuat oleh penyelidik U.S Office of Adolescent Health mendapati bahawa satu pertiga mangsa buli siber mengalami symptom kemurungan yang merupakan tambahan kepada perubahan pola tidur termasuk kerengsaan yang berterusan, kemarahan dan pengeluaran daripada lingkungan sosial. Disebabkan hal ini mengakibatkan gangguan rutin harian dan mendorong untuk membunuh diri.

             Selain daripada mangsa buli siber mengalami mental, mangsa juga akan mengalami tekanan perasaan seperti memendam perasaan, takut atas keselamatan diri dan sentiasa menyalahkan diri sendiri atas apa yang terjadi. Pembuli siber sentiasa mencari jalan untuk menakut-nakutkan mangsa dan akhirnya mangsa berubah karakter mungkin asalanya ceria dan akhirnya menjadi pendiam atau introvert yang melampau. Lagi memburukkan keadaan pembuli siber itu telah dikongsi atau diketahui oleh orang lain yang mungkin menjadi pembuli seterusnya. Bagi mangsa buli siber ini bukan satu pengalaman yang menyeronokkan atau patut dilupakan terus lagi-lagi kanak-kanak yang mengalaminya.

 Kebiasaan kanak-kanak jarang menceritakan kepada ibu bapa mereka perihal mereka dibuli di siber. Hal ini mereka beranggapan ibu bapa mereka akan tidak membenarkan mereka menggunakan gajet. Kebiasaannya juga mangsa buli siber ini terdiri daripada pelajar yang pintar dan skema tetapi bersendirian. Mereka acap kali dijadikan sasaran pembuli siber. Hal ini mungkin faktor cemburu pembuli terhadap mangsa yang bijak dan pintar daripada pembuli sendiri. Namun untuk masa sekarang tidak berapa sesuai untuk tutup terus gajet. Hal ini demikian kerana mungkin cikgu di sekolah menghantar informasi perihal kerja sekolah dan lain-lain berkaitan dengan pelajaran di Whatsapp yang mana ibu bapa perlu tahu. Namun begitu, kanak-kanak ini masih menjadikan media sosial untuk mereka berinteraksi bersama rakan-rakan mereka meskipun mendatangkan banyak mudarat kepada mereka. Sebaiknya ibu bapa perlu mengehadkan penggunaan gajet terhadap kanak-kanak.

         Selain itu, mangsa buli siber juga sentiasa marah-marah dan menyalahkan mereka sendiri. Kajian menunjukkan bahawa kemarahan mangsa buli siber adalah tindak balas yang paling biasa dan diikuti dengan rasa kecewa, bimbang, dan takut. Sekiranya tidak dicegah mangsa buli siber mungkin bertindak di luar jangka iaitu membalas dendam kepada pembuli. Mangsa buli siber beranggapan buat baik di balas baik buat jahat di balas jahat. Sebenarnya tindakan membalas dendam ini sangat berbahaya kepada mangsa dan pembuli yang mana akhirnya berlaku jenayah. Lebih baik memaafkan pembuli walaupun mangsa sangat perit dan tidak akan pernah lupa akan kejahatan pembuli lakukan terhadap dirinya. Sekiranya mangsa hendak marah sekalipun, ianya perlu disalur kepada saluran yang betul seperti berjumpa dengan kaunselor untuk mendengar masalah mereka. Insyaallah perasaan dendam terhadap pembuli tidak ada dalam diri mangsa.

      Selain itu, mangsa yang selalu bertindak di luar jangka seperti terlibat dengan penyalahgunaan dadah dan alkohol.  Kajian mendapati bahawa mangsa buli siber 2.5 kali lebih berkemungkinan menggunakan ganja atau terlibat dalam pesta minuman keras berbanding rakan sebaya mereka yang tidak dibuli. Walaupun hanya segelintir sahaja namun ianya tetap menjejaskan produktiviti mangsa. Selain itu, mangsa buli yang bertindak ponteng kerja atau sekolah. Mereka beranggapan jika mereka ponteng mereka tidak akan tersakiti dari segi emosi dan perasaan.

Akibat mangsa dibuli di alam maya, kerjaya mangsa turut terjejas iaitu hilang punca pendapatan dan karier mereka hancur. Katakanlah pembuli siber ini sentiasa mencari jalan untuk menjatuhkan mangsa dengan cara menyebarkan fitnah atau aib mangsa di media sosial dan lagi haru majikan mempercayainya tanpa soal siasat demi menjaga nama baik tempat kerja. Kalau majikan mempercayai mangsa, mangsa terus bekerja seperti biasa lama-kelamaan mangsa tidak tahan untuk mendengar akhirnya mangsa berhenti kerja. Lagi memburukkan keadaan tempat kerja lain yang mungkin tahu sejarah mangsa dibuli tidak akan mengambil mangsa bekerja kerana tidak ingin imej tempat kerja tercalar. Oleh itu, kariernya akan jatuh disebabkan oleh perbuatan buli siber yang tidak bertanggungjawab ini.

Kesimpulannya, perbuatan buli siber ini telah memberi kesan negatif kepada mangsa terutamanya mental mangsa. Maka tidak hairanlah kebanyakkan pesakit mental merupakan mangsa dibuli siber. Oleh itu, pihak Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) perlulah sentiasa memantau aktiviti-aktiviti yang melibatkan buli siber di media sosial supaya buli siber ini dapat ditangani. Selain itu, ibu bapa perlu memantau penggunaan gajet anak-anak supaya mereka tidak terlibat dengan pembulian siber. Anak-anak perlu menggunakan gajet untuk pendidikan seperti Pengajaran Dan Pembelajaran Di Rumah (PDPR). Semoga rakyat Malaysia menjauhi kegiatan buli siber ini kerana ia boleh membawa mudarat kepada mangsa buli siber.


No comments:

Post a Comment