Saturday, 19 May 2018

Kelemahan kepimpinan Al-Mubabitun dan Al-Muwahhidun membawa kepada kejatuhan Islam di Andalusia. Sejauhmanakah anda bersetuju dengan pernyataan ini.


1.0  PENDAHULUAN
Tamadun Islam mencapai kegemilangan iaitu memayungi dua pertiga dunia telah lama terbukti melalui aktiviti penyebaran Islam dan futuhat yang dilakukan sama ada di Timur mahupun di Barat. Contohnya, Islam telah disebarkan di bumi Andalusia. Hal ini dapat menunjukkan bahawa Islam telah tersebar ke Barat. Andalusia terletak di selatan Semenanjung Iberia, iaitu barat laut daripada benua Eropah. Kedudukannya yang bersambung dengan tanah besar Eropah. Pada ketika itu, Eropah dikuasai oleh Kristian sebelum kedatangan Islam. Orang Arab memanggil Semenanjung Iberia sebagai Al-Andalus. Kawasan ini di mana orang Moor telah bertapak pada abad ke-13 sehingga abad ke-15 Masihi.[1]
Kerajaan Islam Andalusia berlangsung selama hampir tujuh abad. Ini menunjukkan suatu jarak yang berjaya meletakkan Tamadun Islam sebagai tamadun yang mencapai kegemilangan yang tersendiri. Kejayaan pasukan Tariq bin Ziyad membuka Andalusia pada tahun 711 Masihi sehinggalah munculnya lima fasa kerajaan (711 Masihi-1492 Masihi). Zaman ini telah membuktikan bahawa kemunculan Tamadun Barat mempunyai perkaitan dengan kegemilangan Tamadun Islam di Andalusia.[2]
Tariq bin Ziyad merupakan orang berketurunan Barbar telah menjadi panglima tentera Musa ibn Nusair. Musa ibn Nusair merupakan seorang gabenor di Afrika Utara. Namanya menjadi terkenal apabila Musa ibn Nusair menghantar beliau ke Andalusia. Pada ketika itu Andalusia berada di bawah kekuasaan Rom. Kerajaan Rom sering membawa orang asing iaitu Yahudi yang telah mengakibatkan menimbulkan ketegangan di antara puak Yahudi dan Kristian. Kesempatan itu diambil oleh Tariq bin Ziyad untuk menguasai wilayah itu.  Kesan daripada penguasaan itu, Islam dapat disebarkan di Andalusia. Kemudiannya, Tariq bin Ziyad menyebarkan Islam di Cordova, Seville dan Toledo. Seterusnya Islam dapat disebarkan di Bandar Zaragoza, Leon dan beberapa buah bandar lain.[3]
Kerajaan Islam ini mencapai kegemilangan pada zaman pemerintahan Abdul Rahman Dakhil (756 M – 788 M). Beliau menubuhkan dinasti baru iaitu Dinasti Umayyah dan melantik dirinya sebagai Amir pada tahun 756 Masihi.[4] Amir dalam Bahasa Arab ini membawa maksud ketua. Sumbangan Abdul Rahman Dakhil atau Abdul Rahman I ialah beliau berjaya menamatkan konflik dalaman dalam negeri Andalusia.[5]
Setiap kerajaan sudah pastilah mengalami proses kitaran ketamadunan. Andalusia juga mengalami proses ini. Berdasarkan soalan diberi iaitu kelemahan kepimpinan Al-Mubabitun dan Al-Muwahhidun membawa kepada kejatuhan Islam di Andalusia. Sejauhmanakah anda bersetuju dengan pernyataan ini. Bagi pendapat saya, saya bersetuju dengan pernyataan ini tetapi terdapat faktor lain menyumbangkan kepada kejatuhan Islam di Andalusia.

2.0  SEJARAH KERAJAAN AL-MURABITUN DAN AL-MUWAHHIDUN
2.1 KERAJAAN AL-MURABITUN
Yusuf al-Tasyfin merupakan pengasas gerakan agama yang diberi nama Al-Murabitun. Gerakan ini bertapak di Afrika Utara. Yusuf al-Tasyfin berjaya mendirikan sebuah kerajaan yang berpusat di Marakesy pada tahun 1062.[6] Marakesy merujuk kepada sebuah pintu terbuka ke arah gurun. Ianya dijuga dikenali sebagai Al-Hambra atau Istana Merah.[7] Di situlah dinasti Murabitun berjaya memasuki di bumi Andalusia. Al-Mu’tamid merupakan pemerintah terakhir kerajaan Bani Abbad di Seville telah mengundang Yusuf al-Tasyfin ke Andalusia. Beliau juga bertanggungjawab membawa masuk pengaruh dan kuasa Al-Murabitun ke Andalusia. Kesan daripada tindakan beliau adalah Toledo jatuh ke tangan orang Kristian di bawah pimpinan Alfonso VI pada tahun 1085.
            Tindakan beliau memperlihatkan bahawa al-Mutamid lebih rela menyerahkan nasib kepada saudara seagama yang berada di luar Andalusia. Beliau tidak rela menyerahkan wilayahnya kepada puak Kristian, musuh tradisi Islam lebih-lebih lagi dalam keadaan terdesak. Ini dapat dibuktikan melalui kata-kata beliau, “Aku lebih rela menjadi pemandu unta di padang pasir dari menjadi pemelihara babi di Castile”.[8]
            Pada tahun 1086 Masihi, Yusuf al-Tasyfin dan pasukannya mula memasuki Andalusia. Pada tahun yang sama juga, berlakunya pertempuran di Zallaqah di selatan Andalusia. Peperangan ini berlaku selama dua tahun dan berakhir apabila tentera Islam menang dalam perang itu. Kesannya, ramai tentera Kristian terbunuh. Keadaan Andalusia yang tidak stabil pada waktu tersebut telah mendorong tentera Murabitun untuk menguasai Andalusia dengan mudah. Selepas peperangan ini, Yusuf al-Tasyfin dan tenteranya seramai 3000 orang kembali ke Afrika.[9] Lebihan tentera Islam diarahkan untuk tinggal di Andalusia bagi mengawal keadaan wilayah itu.
            Alfonso VI telah tewas di tangan orang Islam menyimpan perasaan dendam kesumat terhadap orang Islam. Pada ketika out, masih banyak kawasan di Andalusia di bawah penguasaannya seperti bahagian pantai timur hingga ke Murcia. Al-Mutamid bimbang dengan kekuatan puak Kristian Castile. Sokongan kuat oleh rakyat dan para ulama di Andalusia terus berjihad untuk menenteng puak Kristian di bawah pimpinan Alfonso VI. Pada tahun 1090, Yusuf al-Tasyfin dan tenteranya membantu saudara seagama dalam mempertahankan wilayah Islam di Andalusia.[10] Hal ini memperlihatkan kesepaduan tentera Islam dalam membantu saudara seagama untuk membanteras musuh-musuh Islam sekaligus membuka empayar Islam di Andalusia.
Pada tahun 1090 Masihi, beliau sekali lagi berjaya menundukkan wilayah seperti Granada, Cordova dan wilayah-wilayah Andalus yang lain tanpa peperangan. Namun begitu, wilayah Seville telah ditawan. Al-Mutamid ditangkap dan dibuang negeri. Pada tahun 1095, Al-Mutamid meninggal dunia. Berikutan itu, bandar bandar di Andalusia telah jatuh ke tangan tentera Islam. Sekaligus meletakkan di bawah kekuasaan empayar Al-Murabitun di Afrika.

2.2 KERAJAAN AL-MUWAHHIDUN
Kerajaan ini diasaskan oleh keluarga Barbar yang memerintah Afrika Utara.[11] Al-Muwahiddun datang ke Andalusia dengan tujuan memperluaskan empayar masing-masing. Mereka ini disokong oleh kaum Barbar yang mempunyai semangat keislaman yang sangat kuat. Menurut W.M Watt dalam bukunya berjudul, “A History of Islamic Spain,” mengatakan bahawa zaman pemerintahan al-Murabbitun bermulanya semangat keislaman yang tulen di Andalusia.[12]
Semasa kedatangan Al-Muwahhidun, keadaan Andalusia dalam keadaan tidak stabil. Hal ini demikian kerana tidak bersatu padu dalam kalangan orang Islam Andalusia.  Selepas kejatuhan kerajaan kecil al-Murabitun pada tahun 1145 Masihi, kerajaan-kerajaan kecil Islam memerintah Andalusia sedangkan di bahagian utara diperintah oleh kerajaan Kristian. Malah terdapat juga pemimpin-pemimpin Islam sendiri yang bernaung di bawah penguasaan Kristian. Namun, ada juga yang berada di bawah kerajaan Muwahhidun di Afrika.
Al-Muwahhidun diasaskan oleh Ibn Tumart. Beliau juga dikenali sebagai Al-Mahdi. Cita-cita beliau ialah memulihkan Islam yang sebenar. Disebabkan hal itu, beliau menjadi seorang pemimpin yang bijak. Beliau telah mengajar pengikutnya tentang doktrin tauhid, dan keesaan Tuhan.  Perkara ini dijadikan asas beliau untuk mempengaruhi umat Islam pada ketika itu. Belaiu meninggal dunia pada tahun 1128 Masihi
            Al-Muwahhidun datang ke Andalusia di bawah pimpinan Abd al-Munim. Setelah Abd al-Munim meninggal dunia pada 1163 Masihi, penguasaannya diganti oleh Abu Yusuf Yakub al-Mansur (1184-1199 Masihi). Semasa pemerintahannya, Siville dijadikan sebagai ibu kota Andalus. Kerajaan Al-Muwahhidun mencapai zaman kegemilangan semasa pemerintahan Al-Mansur.
            Pada tahun 1190 Masihi, beliau mengadakan perjanjian damai dengan raja-raja Castile dan Leon selama lima tahun. Selepas tamat tempoh perjanjian itu, berlakunya peperangan antara orang Islam dengan Kristian yang melibtakna kerajaan Muwahhidun dengan tentera Alfonso VII di Alarcos yang terletak di Cordova dan Toledo. Peperangan ini terjadi disebabkan serangan tentera di bawah pimpinan Alfonso VIII ke atas wilayah-wilayah Islam.[13] Akhirnya, pihak Islam menang dalam peperangan tersebut. Ekoran daripada peperangan itu, perjanjian damai selama lima tahun sekali lagi ditandatangani oleh kedua-dua pihak. Dalam tempoh perjanjian itu, pihak Kristian melakukan persediaan untuk membalas dendam terhadap kerajaan Muwahhidun. Persediaan juga dibantu oleh golongan paderi dalam memberi semangat kepada tentera Kristian di Andalusia dan Eropah. Hal ini menyebabkan munculnya angkatan tentera Salib yang ramai dan kuat.
            Sebelum perjanjian damai melibatkan raja Alfonso VIII dan kerajaan Muwahhidun tamat, al-Mansur telah meninggal dunia pada tahun 1199 Masihi. Pengganti beliau iaitu Muhammad al-Nasir. Muhammad al-Nasir merupakan pemimpin yang lemah. Beliau tidak merancang strategi ketenteraan yang kemas seperti yang dilakukan oleh pihak Kristian. Pada Julai 1212 Masihi, tentera Salib telah bekerjasama dengan Castile, Leon dan Aragon untuk menyerang wilayah-wilayah Islam. Tentera Islam tewas di tangan tentera Salib Kristian. Kesannya, wilayah-wilayah Islam jatuh satu demi satu ke tangan puak Kristian.[14] Bagi pihak al-Muwahhidun ianya merupakan satu malapetaka kerana mereka kalah kepada puak Kristian sekaligus membawa kepada keruntuhan kerajaan Muwahhidun di Andalusia.

3.0 KELEMAHAN PEMIMPIN KERAJAAN AL MURABITUN DAN AL-MUWAHHIDUN
Kepimpinan yang hebat ialah pemimpin yang mampu memimpin orang lain. Seorang pemimpin seharusnya cekap dalam menguruskan negaranya dari segi aspek politik, ekonomi dan sosial. Pemimpin yang lemah mudah dipengaruhi oleh golongan yang mempunyai niat yang jahat untuk menjatuhkan pemimpin. Kelemahan kepimpinan sering kali dijadikan sebagai faktor kejatuhan kepada sesuatu kerajaan. Buktinya, disebakan hal ini kerajaan Islam di Andalusia jatuh.
            Kerajaan-kerajaan kecil yang muncul di Andalusia terbentuk apabila kepimpinan utama mula lemah. Kelemahan pemimpinan dalam kalangan Bani Umaiyah yang menguasai Andalusia selepas Khalifah al-Mustansar Billah (961 M- 976M). Pada asalnya Andalusia diperintah oleh satu kerajaan. Kemudiannya, pada tahun 1013 hingga 1086 M, Andalusia terpecah kepada 30 buah kerajaan sendiri di bawah pemerintahan Al-Mulukuth Thawaif (Raja-raja Kota).
            Contoh lagi, pengganti Yusuf al-Tasyfin terdiri daripada pemimpin yang lemah dan tidak mahir untuk mengatur strategik politik dan pertahanan ketenteraan pada masa tersebut. Disebabkan kelemahan ini, puak Kristian mengambil kesempatan dengan merancang untuk menyerang wilayah-wilayah Islam. Dianggarkan seramai 600 000 tentera Islam Berjaya ditewaskan oleh puak Kristian. Ramai tentera Islam yang terbunuh dalam peperangan ini. Peperangan memberikan kesan iaitu penguasaan puak Kristian terhadap wilayah-wilayah Islam.           
            Di samping itu, pemerintahan terakhir Andalusia iaitu Abu Abdullah sanggup bersengkokol dengan Raja Ferdinard dan Ratu Isabella (puak Kristian) untuk mencapai matlamatnya untuk menaiki takhta. Abu Abdullah Muhammad XII atau di Barat beliau dikenali sebagai Boabdil tidak berpuas hati terhadap bapanya. Hal ini demikian kerana bapanya telah mengetepikan beliau dalam perlantikan pengganti bapanya. Disebabkan hal ini berlakunya pemberontakan Abu Abdullah terhadap bapanya, Abu al-Hasan Ali sehingga bapanya terkorban. Namun begitu, nasibnya tidak menyebelahi beliau apabila Muhammad ibn Sa’ad dilantik sebagai pengganti bapanya.
            Lantas, beliau meminta bantuan daripada Raja Ferdinand dan Ratu Isabella untuk mengambil alih tampuk pemerintahan tersebut. Kedua-dua pemerintahan Kristian bersetuju dan membantu beliau menaiki takhta. Sayangnya, pemerintahan Abu Abdullah tidak lama. Di sebalik bantuan yang diberikan oleh pemerintah Kristian tersebut, mereka memiliki muslihat tersembunyi iaitu menguasai di bumi Andalusia. Akhirnya, Raja Ferdinard dan Ratu Isabella berjaya menguasai seluruh Andalusia pada tahun 1492.[15]  Peristiwa ini menunjukkan seorang pemimpin sanggup ‘menjual negaranya’ atau bahasa mudahnya pengkhianat demi kepentingannya sendiri yang bersifat sementara.

4.0  FAKTOR-FAKTOR LAIN
4.1  MEWARISI KEMELUT POLITIK KERAJAAN MULUK AL-TAWA’IF
Kedua-dua kerajaan iaitu Al-Murabitun dan Al-Muwahhidun telah mewarisi kemelut politik kerajaan Muluk Al-Tawa’if. Kerajaan ini wujud pada akhir pemerintahan Hisyam II (976-1008M). Kerajaan ini mula memperlihatkan bibit-bibit kejatuhan pemerintahan Islam. Hal ini berpunca apabila para menterinya mempunyai sikap yang tamak dan mengambil kesempatan untuk berebut kuasa yang akhirnya membawa kepada kerajaan-kerajaan kecil yang diperintah oleh Muluk al-Tawaif, iaitu raja-raja kecil yang memerintah wilayah-wilayah di seluruh Andalusia.[16] Kemunculan kerajaan-kerajaan kecil ini telah menyebabkan kejatuhan Islam di Andalusia.
Bahagian selatan dan timur Andalusia terdapat hampir 30 buah wilayah kecil yang wujud. Suatu kawasan dengan kawasan yang lain kerap kali berlakunya persengketaan. Selain itu, sistem pemerintahan di kawasan-kawasan tersebut sering berlakunya pengkhianatan dan hasut-menghasut antara satu sama lain.[17] Hal ini dapat disimpulkan keadaan politik wilayah dalam keadaan huru hara. Mereka ini tidak mempunyai sikap ingin bersatu padu kerana mereka ini telah dibayangi dengan sikap yang mazmumah.
Pemerintahan Muluk al-Tawaif ini berpusat di kota-kota seperti seperti Seville, Cordova dan Toledo. Kerajaan Muluk al-Tawaif ini kebanyakkanya dipimpin oleh orang-orang Barbar, Slavia dan Arab. Setiap kepimpinan ini terlalu mementingkan kepentingan puaknya sahaja tanpa mengira kepentingan puak-puak lain. Perang saudara sering berlaku dan melibatkan sesama umat Islam di Andalusia. Hal ini menunjukkan mereka ini tidak mempunyai semangat bersatu padu dan mencintai peperangan. Lebih memalukan, terdapat sebahagian pihak yang meminta bantuan puak-puak Kristian dengan tujuan mengukuhkan kuasa mereka.[18] Hal ini menunjukkan mereka ini sanggup melakukan apa-apa sahaja termasuk berkawan dengan musuh demi matlamat yang sementara. Contohnya, Abu Zaid, gabenor daerah Balansiah telah membuat perjanjian dengan Raja Kristian Choinawi. Perjanjian dibuat dengan tujuan memadamkan pemberontakan yang dibuat oleh rakyatnya. Sebagai balasan, Abu Zaid membayar ‘jizyah’ tahunan kepada raja tersebut. Sepatutnya jizyah dibayar oleh orang bukan Islam kepada pemerintah Islam tetapi beliau melakukan sebaliknya.[19] Jelaslah memperlihatkan seorang pemimpin yang sanggup melakukan termasuklah menyalahgunakan perkataan agama seperti jizyah semata-mata matlamat tak menghalalkan cara.
Di samping itu, keadaan politik kedua-dua kerajaan ini sangat rumit. Hal ini demikian kerana kebanyakan pemimpin pada zaman itu sering berlakunya perselisihan faham dan sikap hasut-menghasut. Mereka mempunyai sikap terlalu mementingkan kekuasaan.[20] Di sebalik sikap itu, mereka sebenarnya tidak cekap dalam mentadbir negara terutamanya dari aspek politik. Mereka sanggup berkawan dengan musuh hanya semata-mata mengukuhkan kekuasaan mereka tanpa menyedari muslihat musuh. Bagi puak Kristian ini merupakan peluang untuk menyerang wilayah-wilayah Islam di Andalusia. Kiranya puak Kristaian dapat membalas dendam terhadap pihak Islam kerana puak Kristian pernah kalah berperang dengan pihak Islam sebelum ini.


4.2  FANATISME DALAM MAZHAB DALAM KERAJAAN AL-MURABITUN DAN AL-MUWAHHIDUN
Bidang agama turut berkembang di Andalusia selain ilmu pengetahuan yang lain walaupun keadaan politik yang tidak stabil selepas kejatuhan Bani Umaiyah. Andalusia telah melahirkan ramai tokoh terkemuka seperti al-Farabi, Ibnu Hzm, Ibnu Rusyd dan Ibnu Firnas. Khalifah Abdul Rahman III merupakan individu yang bertanggungjawab dalam mengembangkan ilmu-ilmu agama seperti fekah, Hadith, Tauhid dan tafsir. Pada asalnya beliau didedahkan dengan ajaran Islam mengunapakaikan Mazhab Maliki. Mazhab Maliki pada ketika itu merupakan mazhab dominan di Andalusia.[21] Pada abad ke-12M, ramai tokoh agama di Andalusia dihasilkan pada zaman al-Murabitun dan al-Muwahhidun. Antaranya ialah Qadi Iyad (1083-1149M) merupakan seorang ulama pada zaman Murabitun. Beliau dilantik menjadi Kadi Cueta. Kemudiannya beliau ditukarkan ke Seville dan Cordova.[22] Disebabkan ketidakstabilan politik pada akhir pemerintahan Murabitun telah menyebabkan beliau melarikan diri ke Marrakesh. Kemudiannya, beliau meninggal dunia pada tahun 1149 M di tempat yang sama.
      Selepas kemunculan kerajaan Muwahhidun di Andalusia, pengaruh kemunculan ulama Maliki kian pudar dan tidak mendapat sokongan sepenuhnya oleh pemerintah. Pemerintah kerajaan Muwahhidun iaitu Abu Yusuf Yaaqub (1184-1199M) menyokong kepada mazhab Zahiri. Perkara ini mendapat sokongan daripada Ibn Rusyd (1126-1198M). Ibn Rusyd merupakan seorang yang mahir dalam agama, falsafah, astronomi, dan biologi. Namun, pada akhir pemerintahan Abu Yaaqub Yusuf, Ibn Rusyd dituduh sebagai orang yang sesat. Hal ini demikian beliau dikatakan telah mencampuradukkan agama Islam dengan pemikiran falsafah.[23]
Disebabkan fanatik kepada sesuatu fahaman, berlakunya perpecahan dalam kedua-dua kerajaan kecil ini. Mereka yang fanatik ini melihat perkara bukanlah sealiran dengan mereka ini adalah perbuatan yang salah. Kesannya terlampau fanatik kepada aliran mazhab masing-masing telah menyebabkan perpecahan dari segi pemikiran agama.
 Contohnya, sebahagian orang Islam di bawah pemerintahan Muwahhidun menganut mazhab Maliki. Sebahagian yang lain hanya berpundukan kepada dua sumber umat Islam iaitu Al-Quran dan As-Sunnah tanpa terikat sepenuhnya kepada mazhab seperti yang diamalkan oleh pemerintah Muwahhidun. Kerajaan Murabitun mempunyai sokongan yang hebat daripada ulama-ulama yang berfahaman mazhab Maliki. Namun, setelah tampuk pemerintahan beralih arah kepada Muwahhidun telah berubah. Hal ini disebabkan sikap para pemerintahnya tidak bermazhab kepada mana-mana mazhab tertentu.[24] Kesannya, sokongan terhadap mazhab Maliki pudar.
Majoriti orang Islam di Andalusia tidak begitu setuju dengan pengamalan mazhab. Disebabkan sikap ini jugalah, mereka tidak mempunyai sumber perundangan Islam alternatif bagi menggantikan sumber-sumber perundangan yang ada. Oleh sebab itu, mereka terpaksa mengunapakaikan sistem perundangan yang sedia ada iaitu mazhab Maliki. Jelaslah menunjukkan kelemahan kerajaan Muwahhidun untuk meraih sokongan daripada golongan anti mazhab.
Di samping itu, gelaran Mahdi juga terdapat unsur seakan-akan Syiah yang digunapakaikan oleh pemimpin yang awal seperti Ibn Tumart. Gelaran ini tidak mendapat restu oleh orang-orang Arab dan penduduk tempatan di Andalus. Hal ini demikian kerana, mereka menganggap gelaran itu membawa maksud iaitu keadaan pemerintahan elit. Mereka tidak bersetuju kerana kebanyakan mereka iaitu penduduk tempatan bukan bangsa Arab beragama Islam lebih mengharapkan corak pemerintahan langsung daripada Tuhan. Kesannya berlakunya perpecahan dalam kalangan Barbar, Arab dan bangsa-bangsa lain diAndalus yang beragama Islam.

4.3 KONSPRIRASI DENGAN MUSUH (KERAJAAN KRISTIAN)
Kebanyakan pemimpin pada masa tersebut meminta bantuan daripada pihak Kristian hanya kerana menjaga kepentingan kuasa di kawasan tersebut. Namun begitu, mereka tidak menyedari perpecahan ini telah memberi peluang kepada puak Kristian untuk menguasai wilayah-wilayah Islam. Hal ini menunjukkan para pemimpin yang sanggup berkawan dengan musuh diibaratkan sebagai “yang dikejar tak dapat yang dikendong berciciran” sekaligus tindakannya membawa kesan yang buruk akhirnya.
            Contohnya, hanya kerana perselisihan keluarga dalam isu perwarisan takhta kepimpinan akhirnya berlaku pergolakan anak-beranak. Kesannya, pemerintahan kerajaan Islam di Granada menjadi lemah. Abu Abdullah merasakan beliau diketepikan oleh bapanya sendiri dalam perwarisan takhta yang dilakukan oleh bapa sendiri. Beliau memberontak sehingga bapanya terkorban dalam pemberontakan tersebut. Namun begitu, nasibnya juga tidak menyebelahi Abu Abdullah. Hal ini demikian kerana pengganti bapanya ialah Muhammad ibn Sa’ad.[25] Disebabkan beliau kecewa dengan hal itu, beliau telah mengadakan konspirasi dengan kerajaan Kristian di bawah pimpinan Raja Ferdinand hanya kerana takhta yang sementara itu.
            Abu Abdullah tidak menyedari di sebalik bantuan yang diterima terdapat muslihat yang dilakukan oleh Raja Ferdinard. Raja Ferdinard dan isterinya, Ratu Isabella sememangnya bercita-cita untuk menguasai wilayah Granada iaitu wilayah Islam yang terakhir pada ketika itu. Raja Ferdinard dan Ratu Isabella membuat perancangan untuk menguasai Granada. Akhirnya, Abu Abdullah berjaya dilantik sebagai pemerintah Granada. Sayangnya, pemerintahannya tidak lama. Hal ini demikian kerana Raja Ferdinard dan Ratu Isabella menuntut habuan daripada Abu Abdullah. Habuan yang diterima oleh Ratu Ferdinard dan Ratu Isabella iaitu menyerahkan Granada.Lantas masyurlah Ferdinand dan Isabella sebagai raja yang berjaya menumbangkan kerajaan terakhir Islam di Andalusia.[26]
            Selain itu, orang Islam sendiri melakukan konspirasi dengan kerajaan Kristian di bawah pimpinan Ratu Isabella dan Raja Ferdinand. Mereka ini mengadakan pakatan rahsia dengan Putera Cid Haiya. Buktinya, tentera Kristian berpura-pura melakukan pengepungan terhadap Bandar Baza. Tujuannya untuk mengelirukan pemerintah Andalusia. Seterusnya, Puteri Cid Haiya kemudiannya berpura-pura berbincang dengan tenteranya untuk melakukan rundingan dengan pihak Kristian Sebenarnya ini merupakan sandiwara semata-mata untuk menutup konspirasi mereka.[27] Apabila Ratu Isabella dan Raja Ferdinand bersetuju, satu rundingan diadakan antara wakil raja Kristian dengan Gabenor Muhammed. Rundingan tersebut berjalan lancar. Komander Leon yang mewakili pihak Kristian memberi amaran kepada Gabenor Muhammed bahawa malapetaka akan berlaku sekiranya mereka tidak mahu menyerah.
            Penduduk Baza diberi pilihan atas arahan Ratu Isabella dan Raja Ferdinand. Pilihan pertama ialah kerajaan Islam diberi perlindungan dari segi keselamatan nyawa, tanah, harta, kebebasandan juga anutan agama. Pilihan keduanya ialah jika orang Islam enggan menyerah kalah, maka akan terjadinya rampasan harta benda orang Islam untuk dijadikan tawanan atau dibunuh. Kemudiannya, Putera Cid Haiya menghantar utusan iaitu Al-Zagal merangkap sepupunya untuk memohon pendapat. Namun begitu, Al-Zagal menyedari ini hanya konspirasi di antara puak Kristian dengan pihak Putera Cid Hiaya semata-mata. Lantas beliau enggan membantu Putera Cid Haiya. Disebabkan hal ini, Putera Cid Hiaya menyerah diri dan tunduk kepada kekuasaan Ratu Isabella. Penyerahan Baza kepada puak Kristian dianggap sebagai suatu peristiwa yang amat memalukan. Penyerahan Baza menandakan bahawa bermulanya rampasan wilayah-wilayah Islam yang dilakukan oleh puak Kristian seperti Almunecar.[28]
            Melalui konspirasi yang dilakukan oleh kedua-dua pihak iaitu Islam dan Kristian telah merugikan sebelah pihak. Kesannya, pihak Kristian menakluki wilayah-wilayah Islam yang kononya dijanjikan keamanan, keselamatan, dan jaminan harta benda. Pihak Islam pula tidak menyedari konspirasi ini hanya bersifat sandiwara semata-mata. Dengan ini pihak Kristian mudah membuat helah untuk mencapai cita-citanya.

4.4  MANIPULASI PERJANJIAN
Granada merupakan bandar terakhir yang di bawah penguasaan Islam sebelum seluruh Andalusia jatuh ke tangan puak Kristian. Pemerintah sangat lemah dalam mempertahankan pemerintahan Islam di Andalusia amat menyedihkan dan memalukan.
            Pada zaman pemerintahan terakhir Islam di bawah Bani al-Ahmar iaitu Abu Abdullah yang menguasai wilayah terakhir Andalusia iaitu Granada dari tahun 620– 897H. Abu Abdullah terpaksa menyerahkan wilayah Granada kepada Raja Ferdinand dan Ratu Isabella demi menyelamat maruah pemerintah Islam. Abu Abdullah tidak rela diguling dengan lebih teruk. Penyerahan itu dibuat berdasarkan perjanjian yang ditandatangani oleh pihak Islam dan Kristian. Penyerahannya kepada Raja Kristian Sepanyol iaitu Ferdinand dan Isabella.
            Perjanjian mempunyai 67 perkara. Contohnya, jaminan keselamatan orang Islam di Andalusia. Selain itu, pihak Kristian berjanji akan memberi jaminan kepada rakyat Andalusia dari segi keagamaan, harta benda, kehormatan, pemikiran dan kebebasan. Jaminan beragama misalnya pihak Kristian menjamin kebebasan orang Islam untuk melakukan aktiviti keagamaan. Tawanan perang dibebaskan. Perkara ini sudah termaktub dalam perjanjian penyerahan Granada kepada pihak tentera Salib.[29]
            Apabila Abu Abdullah diusir keluar daripada Andalusia, pihak tentera Salib mungkir janji yang ditawarkan. Mereka menggunakan kuasa mereka sebagai pemerintah sepenuhnya dengan membatalkan perjanjian tersebut. Umat Islam berasa tertipu dengan perjanjian yang dibuat. Pihak Kristian menganggap perjanjian ini merupakan senjata untuk menundukkan umat Islam di Andalusia.[30] Disebabkan hal ini, umat Islam tidak lagi mampu bertahan, apatah lagi untuk merampas kembali Andalusia. Pihak Kristian juga mengeluarkan pernyataan anti muslim yang dibuat oleh tokoh Katolik. 

4.5  GERAKAN RECONQUESTA
Reconquesta membawa maksud penaklukan kembali. Istilah ini merujuk kepada suatu gerakan. Puak Kristian berusaha untuk menakluk kembali wilayah-wilayah Islam di Andalusia.[31] Gerakan ini berjalan selama tujuh abad. Namun pada tahun 722 Masihi, berlauknya pertempuran Caradonga di antara kerajaan Asturias dengan kerajaan Bani Umayyah. Kesan daripada pertempuran itu ialah penaklukan kerajaan Bani Umayyah ditamatkan.
            Gerakan diasaskan di kawasan yang tidak begitu dititikberatkan dan terpencil oleh kerajaan Bani Umayyah. Kerajaan Bani Umayyah berpandangan bahawa orang-orang Kristian yang mendiami kawasan terpencil itu dilihat hanya sebagai satu kumpulan kecil yang tidak mungkin akan mendatangkan ancaman dan bahaya kepada pemerintahan Bani Umayyah. Disebabkan ketidakpedulian kerajaan Bani Umaiyah tersebut yang mengakibatkan orang Kristian mengambil peluang untuk melahirkan Gerakan Reconquesta.
            Namun begitu, gerakan ini sedikit demi sedikit mula mengancam kestabilan dan keamanan Andalusia. Akhirnya, gerakan ini muncul dengan satu keinginan. Keinginan mereka ialah menetang kerajaan Bani Umayyah dan menakluk kembali seluruh Andalusia. Aspirasi gerakan ini didorong oleh semangat yang kuat yang dimiliki oleh penduduk di kawasan yang terpencil. Mereka ini jugalah mempunyai hasrat untuk membebaskan diri daripada undang-undang kerajaan Bani Umayyah.
            Sesetengah ahli sejarah berpendapat bahawa idea revolusi Gerakan Reconquesta berjalan tanpa ada perubahan iaitu dari zaman permulaan, kemunculan dan pertengahan sehinggalah penaklukan Kristian terhadap Granada. Peristiwa besar yang berlaku ialah Toledo jatuh di tangan orang Kristian pada tahun 1085. Kejatuhan ini telah memberi kesan terhadap Gerakan Reconquesta dan pihak Islam. Kesan terhadap pihak Islam ialah Islam telah kehilangan wilayahnya. Manakala bagi orang Kristian ini merupakan sebagai satu motivasi mereka untuk meneruskan usaha menakluk kembali wilayah di Andalusia.
            Strategi yang digunakan oleh puak Kristian ialah mewujudkan kesedaran dari aspek semangat psikologi, politik dan ketenteraan yang sangat besar di bawah pimpinan Ratu Isabella dari Castile dan Raja Ferdinand dari Aragon. Strategi ini juga dibantu oleh pihak gereja terutamanya paderi. Puak Kristian diterapkan dengan semangat keagamaan yang tinggi. Menurut mereka, semangat ini dianggap suci. Konsepnya sama seperti umat Islam mempunyai semangat Jihad fi sabilillah dalam menyebarkan Islam di pelosok dunia. Semangat puak Kristian ini diibaratkan mereka datang bersama pedang di tangan kiri dan Injil di tangan kanan. Ketika berlakunya Perang Salib di antara Islam dengan Kristian yang berlaku di Timur Tengah memperlihatkan bahawa kerajaan Kristian langsung tidak menghantar bantuan ketenteraan untuk seagama dengan mereka di sana. Kerajaan Kristian memainkan peranannya dengan memberikan dakyah kepada orang-orang Kristian di Andalus bahawa musuh utama mereka adalah umat Islam di Andalusia bukan musuh di Timur Tengah.[32]
            Di samping itu, puak Kristian mengetahui kelemahan pemerintah Islam lalu melakukan seranagn demi sarangan terhadap terhadap kerajaan Bani Umayyah di Andalus. Pada ketika itu, kekuatan kerajaan Bani Umayyah sedikit demi sedikit terhakis. Ditambahkan lagi, suasana politik yang bergolak ekoran  pertelingkahan sesama sendiri. Kesannya, puak Kristian ini sentiasa mencari peluang untuk mengalahkan musuh tradisi mereka. Sebaik sahaja peluang itu tiba, mereka tidak akan mensia-siakannya sama sekali.
            Kesan daripada kejayaan Gerakan Reconquesta ini ialah Granada, wilayah terakhir di Andalus ditakluk oleh puak Kristian pada 2 Januari 1492 M. Maka berakhirlah pemerintahan kerajaan Islam di Andalusia selama tujuh abad. Masjid Cordova sebelum ini menjadi kebanggaan umat Islam telah dimusnahkan oleh puak Kristian dan diubah menjadi gereja. Seterusnya, umat Islam dan Yahudi diberi pilihan sama ada mereka perlu murtad dari agama mereka dan memeluk agama Kristian ataupun mereka perlu meninggalkan wilayah itu. Sebahagian umat Islam pilih untuk berhijrah ke negara-negara Islam yang lain. Ada juga mereka memilih untuk murtad dan kekal di sana.[33]

4.6  TIADA UNIFIKASI DALAM KERAJAAN AL-MURABITUN DAN AL-MUWAHHIDUN
Istilah unifikasi merujuk kepada pergabungan. Kejatuhan Islam di Andalusia disebabkan masyarakat Islam pada ketika itu tidak mempunyai sikap bersatu padu. Faktor tidak bersatu padu kerap kali dikaitkan dengan kelemahan sesbuah institusi kerajaan yang akhirnya kerajaan itu runtuh.
Contohnya, kerajaan yang diperintah oleh Muluk al-Tawaif. Perkataan “tawaif” atau “taifah” membawa maksud puak-puak. Semasa era pemerintahan Muluk al-Tawaif, kerajaan ini dibahagi kepada kepada tiga puak iaitu Barbar, Slavs dan orang Arab dan bangsa Andalus. Semangat kepuakan terserlah apabila setiap puak ini terlalu mementingkan puaknya sahaja tanpa mengira kepentingan puak-puak yang lain.[34] Hal ini menunjukkan setiap puak tiada kata sepakat dalam sebarang membuat keputusan bersama lebih-lebih lagi dalam hal politik. Mereka iaitu puak-puak itu menganggap mereka mempunyai kepentingan tersendiri dalam bidang politik.
Pemerintahan kerajaan Al-Murabitun dan Al-Muwahhidun diasaskan oleh keluarga Barbar. Sepeninggalan khalifah pada kerajaan Al-Murabitun dan Al-Muwahhidun telah menyebabkan kerajaan semakin lemah. Hal ini demikian kerana wujudnya golongan yang tamak dalam mengejar pangkat. Golongan seperti ini bercita-cita ingin mengantikan khalifah untuk menerajui kerajaan-kerajaan kecil Andalus pada masa tersebut. Disebabkan perkara ini, kerajaan-kerajaan kecil wujud selama beberapa tahun. Kesannya lagi, wujudnya semangat assabiah dalam kalangan umat Islam. Buktinya, 30 buah unit politik atau pemerintahan di selatan dan timur di Andalusia.[35] Hal ini dapat disimpulkan bahawa kerana sikap mereka yang berpuak ini telah menyebabkan perpecahan dalam kalangan umat Islam sendiri.
Selain itu, pucuk pimpinan di Cordova juga menghadapi masalah dalaman. Masalah yang dihadapi ialah bergaduh dan bercakaran malah lagi teruk ada yang saling menindas untuk merebut kuasa khalifah. Perkara ini seacar tidak langsung telah menyebabkan wujudnya kerajaan-kerajaan kecil pada akhir pemerintahan Bani Umayyah di Andalusia, iaitu kira-kira sekitar tahun 1012 M. Semasa pemerintahan Khalifah Hisyam II telah memperlihatkan bibit-bibit perpecahan awal telah pun wujud.
Sikap ini juga melibatkan perbezaan aliran pegangan antara kedua-dua buah kerajaan ini merupakan elemen punca kejatuhan Islam di Andalus. Mereka hanya menggunakan aliran Mazhab Maliki dan tafsiran dari al-Quran[36]. Hal ini telah menyebabkan berlakunya perselisihan faham antara kedua-duanya. Mereka masing-masing tidak dapat menerima aliran pegangan yang berbeza antara kedua-dua kerajaan ini. Mereka ini hanya mementingkan fahaman aliran mereka yang pegang semata-mata. Hal ini menimbulkan bibit-bit perpecahan dalam kalangan mereka. Sekaligus faktor ini membawa kepada kejatuhan kerajaan Islam di Andalusia.

5.0  RUMUSAN
Kecemerlangan tamadun islam di Andalusia berakhir tanpa dapat dipertahankan oleh umat Islam. Sehingga ke hari ini wilayah ini diletakkan di bawah pemerintahan Kristian. Kesan peninggalan itu masih boleh dibanggakan walaupun hakikatnya tiada apa yang dapat diperolehi oleh umat Islam hasil peninggalan tersebut. Kejatuhan Andalusia kelihatan tidak memungkinkan ia kembali ditadbir oleh umat Islam. Pengalaman pahit ini harus dipelajari agar umat zaman kini tidak mengulangi kesilapan yang dilakukan pada ketika dahulu. Sejarah Andalusia itu sudah tidak dapat diperbaiki untuk manfaat wilayah itu, namun pastinya pengalaman atau pengajaran dapat diperolehi bagi manfaat generasi kini. Maksud Surah al-Saff ayat 8 (61:8) bahawa “Mereka sentiasa berusaha hendak memadamkan cahaya Allah (agama Islam) dengan mulut mereka, sedang Allah tetap menyempurnakan cahayaNya, sekalipun orang-orang kafir tidak suka (akan yang demikian)”.

 BIBLIOGRAFI
Ahmad Zaki bin Hj. Berahim. “Sorotan Sejarah Kecemerlangan Tamadun Islam di Andalusia (Sepanyol) dan Kedudukannya Sebagai Jambatan Kecemerlangan Tamadun Eropah.” Diedit oleh Muhammad Azizan Sabjan et. al. Prosiding Seminar Antarabangsa Andalusia 1300 Tahun. Pulau Pinang: Jabatan Mufti Negeri Pulau Pinang, 2008
Dozy, R. Spanish Islam: A History of the Moslems in Spain. London: Glasgow,1913.
Fatima Mernissi. Perempuan-perempuan Harem. Jakarta: PT Mizan Publika,2008.
Hourani, Albert Habib, dan Albert Hourani. A History of the Arab Peoples. United States: Harvard University Press,2002
Lane-Poole, Stanley. The Moors in Spain. Khayots: Beirut,1967
Mahayudin Hj. Yahaya. Islam di Sepanyol dan Sicily. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka,1990.
Mahayudin Hj. Yahya. Tamadun Islam. Selangor: Penerbit Fajar Bakti,1998.
Maruwiah Ahmat. Sejarah Bani Umaiyah Di Andalus. Selangor: Karisma Publication Sdn. Bhd.,2003
Thoriq Ahmad. Ini Sejarah Kita. Bangi: Pustaka Buku Putih,2014
Watt, W.M dan P. Cachia. A History of Islamic Spain. Edinburgh: Edinburgh Universiti Press,1965


[1]Ahmad Zaki bin Hj. Berahim, “Sorotan Sejarah Kecemerlangan Tamadun Islam di Andalusia (Sepanyol) dan Kedudukannya Sebagai Jambatan Kecemerlangan Tamadun Eropah,” Diedit oleh Muhammad Azizan Sabjan et. Al, Prosiding Seminar Antarabangsa Andalusia 1300 Tahun, (Pulau Pinang: Jabatan Mufti Negeri Pulau Pinang, 2008), 88
[2] Albert Habib Hourani dan Albert Hourani, A History of the Arab Peoples, (United States: Harvard University Press, 2002), 15
[3] Mahayudin Hj. Yahya, Tamadun Islam, (Selangor: Penerbit Fajar Bakti, 1998), 5-6
[4] W.M Watt dan P. Cachia, A History of Islamic Spain, (Edinburgh: Edinburgh Universiti Press,1965), 29
[5] Maruwiah Ahmat, Sejarah Bani Umaiyah Di Andalus, (Selangor: Karisma Publication Sdn. Bhd.,2003), 75
[6] Muhayudin Hj. Yahaya, Islam di Sepanyol dan Sicily, (Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka,1990), 66
[7] Fatima Mernissi, Perempuan-perempuan Harem, (Jakarta: PT Mizan Publika,2008), 210
[8] Muhayudin Hj. Yahaya, Islam di Sepanyol dan Sicily, 67
[9] R. Dozy, Spanish Islam: A History of the Moslems in Spain, (London: Glasgow, 1913), 97-98
[10] Muhayudin Hj. Yahaya, Islam di Sepanyol dan Sicily, 68
[11] Ibid., 69
[12] W.M Watt dan P. Cachia, A History of Islamic Spain, 110
[13] Stanley Lane-Poole, The Moors in Spain, (Khayots: Beirut, 1967). 217.
[14] Ibid., 217
[16] Ibid., 62
[17] Ibid., 65
[18] Ibid., 65
[19] Thoriq Ahmad, Ini Sejarah Kita, (Bangi: Pustaka Buku Putih,2014),156
[20] Muhayudin Hj. Yahaya, Islam di Sepanyol dan Sicily, 65
[21] Muhayudin Hj. Yahaya, Islam di Sepanyol dan Sicily, 81
[22] Ibid., 83
[23] Ibid., 85
[24] Ibid.,75
[25] Mohd Roslan Mohd Nor, Sejarah Perkembangan dan Kejatuhan Pemerintahan Islam di Andalusia: Teladan dan Sempadan, (Universiti Malaya: Akademi Pengajian Islam,2011),13-30
[26] Thoriq Ahmad, Ini Sejarah Kita, 158
[27] Abdul Latip b. Talib, Runtuhnya Islam Andalusia, (Kuala Lumpur: Perpustakaan Negara Malaysia, 2014), 117-132
[28] Ibid., 117-132
[29] Mohd Roslan Mohd Nor, Sejarah Perkembangan dan Kejatuhan Pemerintahan Islam di Andalusia: Teladan dan Sempadan, 13-30
[30] Ibid., 13-30
[31] Ibid., 13-30
[32] Ibid., 13-30
[33] Ibid., 13-30
[34] Muhayudin Hj. Yahaya, Islam di Sepanyol dan Sicily, 65
[35] Ibid., 63
[36] Muhayudin Hj. Yahaya, Islam di Sepanyol dan Sicily, 63

2 comments:

  1. sangat membantu. Minta kebenaran untuk dijadikan rujukan kepada pembentangan.

    ReplyDelete