Saturday, 19 May 2018

Sejauhmanakah tentera boleh dianggap sebagi elemen permodenan (modernizing element) dalam pembangunan negara Thailand antara 1950-an hingga 1990-an?


PENDAHULUAN
Negara Thailand sememangnya dikenali sebagai negara yang mengamalkan pemerintahan monarki mutlak. Pemerintahan monarki mutlak bermaksud raja mempunyai kuasa untuk menentukan perjalanan pemerintahan keseluruhannya. Pewaris kerajaan Monarki Thailand iaitu Raja Vajiravudh dan Raja Prajadhipok telah merombak dan melakukan perubahan besar sehingga mengundang rasa ketidakpuasan hati ramai sekali gus tercetusnya Revolusi 1932.[1] Revolusi 1932 berlaku pada 24 Jun 1932 yang dilancarkan oleh golongan nasionalis berpendidikan barat. Revolusi ini berbeza dengan revolusi yang dicetuskan di negara Asia Tenggara lain bukan kerana menentang penjajah asing tetapi menentang sistem beraja berkuasa mutlak ke arah sistem demokrasi berparlimen. Revolusi 1932 bertitik tolak kepada penguasaan peranan golongan tentera dalam pemerintahan dan pentadbiran Thailand sekali gus berakhirnya pemerintahan beraja berkuasa mutlak. [2]Akibat kejatuhan sistem monarki yang diamalkan pada tahun 1932, pemerintahan kerajaan Thailand didominasi oleh golongan tentera di bawah sistem Monarki Berperlembagaan.  Pada tahun 1938, bermulanya pemerintahan Pribun Songkhram sekali gus membawa imej tentera sebagai institusi demokratik. [3] Antara pegawai-pegawai tentera lain yang terkenal iaitu Phin Chunnhawan, Sarit Thanarat, Phao Srinayond, Thanom Kittikachorn, Prapat Charusathien dan Krit Sivawa.  [4]
Zaman pemerintahan tentera ini dikatakan zaman membangunkan Thailand dari segi pelbagai aspek. Tentera dikatakan sebagai agen permodenan atau modernizing elements yang bertanggungjawab dalam membangunkan negara Thailand terutamanya dalam bidang politik, ekonomi dan sosial. Oleh itu, esei membincangkan beberapa langkah yang dijalankan oleh golongan tentera di Thailand. Apakah pembaharuan yang dijalankan golongan militari dalam membangunkan masyarakat di Thailand? Bagaimana pula mereka meningkatkan mutu ekonomi masyarakat Thailand? Esei ini memfokuskan penilaian terhadap sejauhmanakah tentera boleh dianggap sebagi elemen permodenan (modernizing element) dalam pembangunan negara Thailand antara 1950-an hingga 1990-an?

PERANAN TENTERA SEBAGAI ELEMEN PERMODENAN DALAM PEMBANGUNAN NEGARA
POLITIK
PEMBENTUKAN DASAR BARU
Sepanjang pemerintahan Phibun Songkram, beliau telah mengehadkan aktiviti politik negara. Phibun juga berjanji akan mengadakan pilihanraya di Thailand pada tahun 1955 bagi memilih pemimpin yang berkelayakan untuk mentadbir negara. Namun begitu Phibun mungkir janji. Hal ini telah menyebabkan berlakunya rampasan kuasa pada September 1957. Pada ketika itu juga, pesaing terdekat Phibun Songkram iaitu Jeneral Sarit Tharanat dan Jeneral Phao Siyanon memegang jawatan sebagai Komander Tentera Pertama di Bangkok. Rampasan kuasa yang dilakukan oleh Jeneral Sarit Tharanat kerana Parti Phibun dituduh melakukan tipu muslihat semasa pilihanraya 1957. Selain itu juga, Phibun dikatakan lebih kepada pro-Barat. Hal ini telah menyebabkan rakyat dan tentera tidak senang dengan dasar pro-Barat menyebabkan Phibun tewas pada pilihan raya. Kesan daripada rampasan kuasa yang dilakukan oleh Sarit telah menyebabkan Phibun dan Phao berjaya disingkirkan. Phibun akhirnya hidup dalam buangan.[5] Semasa pemerintahan Jeneral Sarit, beliau telah memperkenalkan beberapa dasar baru dalam usaha beliau untuk meningkatkan perkembangan ekonomi dan permodenan sosial di Thailand serta menyusun semula kebudayaan Thai dengan lebih teratur.
Pada tahun 1958, Jeneral Sarit memperkenalkan satu dasar yang bersifat autokrasi iaitu Martial Law.  Matlamat utama dasar ini diperkenalkan ialah mengembalikan kebudayaan masyarakat Thailand, memajukan ekonomi, memodenisasikan aspek sosial masyarakat Thailand dan menyusun semula kebudayaan Thai dengan lebih teratur yang selama ini mengikut acuan Barat.
“Political supremacy of the military has been an outstanding feature in the modern Thai political system since 1932. An absence of strong participatory political institutions and a lack of legitimacy on the part of civilian regimes enable the politicised military to seize power and establish an authoritarian regime without much difficulty.”[6]
Berdasarkan kenyataan diatas, jelaslah menunjukkan ketidakadilan kerajaan Thailand telah menyebabkan ketidakstabilan politik yang memberi kesan kepada berlakunya rampasan kuasa yang kerap dilakukan oleh golongan tentera sekaligus membentuk sebuah kerajaan yang dipimpin oleh golongan tentera bersifat autoriti.
Selain itu, Sarit turut menggantikan sistem demokrasi Barat kepada sistem demokrasi yang berorientasikan Paw Kun. Paw Kun atau The Greastest Father of All Father turut memperlihatkan konsep kuasa dari nasab bapa yang diamalkan dalam budaya Thailand dalam kehidupan seharian. Paw Kun ini juga menekankan dua aspek iaitu agama Buddha dan kuasa daripada nasab bapa atau paterlisme. Sistem demokrasi ini juga turut dikenali sebagai sistem demokrasi Agama Buddha. Di samping itu, sistem ini menolak Parlimen. Sebelum Sarit menjadi Perdana Menteri, Parti Rakyat dibawah pimpinan Phibun Songkram telah mengamalkan konsep Parlimen iaitu meletakkan bidang kuasa legislatif sebagai kuasa tertinggi dalam pentadbiran. Namun sejak Sarit menolak konsep ini, beliau menggantikan semua kuasa tertinggi diletakkan di bawah kuasa eksekutif termasuk kuasa menjatuhkan hukuman mati pada bila-bila masa. Sistem ini berteraskan kepada budaya, tradisi dan adat resam yang diamalkan oleh masyarakat tempatan Thailand. [7]
Selain itu, Sarit memperkenalkan satu lagi dasar iaitu enlightened despot. Dasar ini merupakan satu pemerintahan kuku besi tetapi lebih mementingkan keperluan dan kebajikan masyarakat Thailand. Pemerintahan enlightened despot diketuai oleh golongan pemerintah elit di bawah pemimpin-pemimpin yang berkaliber dan berkebolehan dalam menjalankan pentadbiran negara untuk kepentingan bersama. Semasa pemerintahan Sarit, pemilihan pemimpin yang berkelayakan tidak dilakukan dalam proses pilihanraya. Hal ini demikian kerana Sarit beranggapan bahawa sekiranya pilihanraya dibuat maka tercetusnya perbalahan dalam kalangan masyarakat Thailand. [8]
Sarit juga menaikkan semula institusi beraja Thailand dengan menekankan dua fungsi utama sistem monarki iaitu bertindak sebagai pengesah atau legitimasi politik kerajaan dan polisi dalam militari dan penggerak kepada program yang dijalankan oleh regim yang melibatkan derma masyarakat dan kerja-kerja kebajikan. Sarit juga menggelar raja sebagai Palladum of Nation. Gelaran yang diberikan oleh Sarit  ini tidak membawa maksud raja tidak mempunyai hak dalam urusan pentadbiran negara tetapi sebaliknya dalam sistem Paw Kun memperlihatkan institusi diraja sebagai penyumbang yang penting di Thailand. Jelaslah menunjukkan institusi raja Thailand diberi nafas baru untuk terus menjalankan tanggungjawab mereka dalam bidang politik dan sosio-budaya di Thailand.[9] Rentetan daripada peristiwa ini, jelaslah menunjukkan demokrasi Paw Kun mudah diterima dan diamalkan dalam kalingan masyarakat. Hal ini demikian kerana demokrasi ini yang menggantikan cara Barat telah mengembalikan semula peranan institusi beraja sekaligus membolehkan tentera mendapat tempat dalam pentadbiran negara. Kesannya, kuasa tentera dapat diperkukuhkan lagi dalam kegiatan politik dan sedikit demi sedikit konsep demokrasi yang sebenar dapat dihakis.
Dasar ini disambung oleh Perdana Menteri Thailand seterusnya iaitu Pangglima Thanom Kittikachom (1963-1973) dengan bantuan Praphat Charusatien. Thanom meneruskan dasar-dasar yang pernah dilakukan oleh Jeneral Sarit serta memperkenalkan perlembagaan pada tahun 1968 dan 1969. Perlembagaan ini menyatakan bahawa raja telah diberi kepercayaan dalam melantik 120 orang ahli senat di bawah nasihat Perdana Menteri Thanom.[10]

HUBUNGAN NEGARA THAILAND DENGAN NEGARA LUAR
Tentera Thailand terlibat dengan aktif dalam SEATO (Southeast Asia Treaty Organisation). Tentera Thailand dapat pelbagai bantuan ketenteraan yang disalurkan oleh SEATO sekaligus dapat meningkatkan pasukan bersenjata Thai. Melaui penyertaan Thailand dalam SEATO, Amerika Syarikat telah memberikan pemantauan yang khusus dalam pelbagai aspek iaitu organisasi dan peralatan unit pasukan, kakitangan dan latihan operasi serta penambahbaikan  kemudahan logistik untuk memajukan sistem pertahanan yang sedia ada. Sarit bijak dalam menjalinkan hubungan politik ini yang membawa banyak kelebihan kepada Thailand.[11] Sajit juga memperbaharui Organisasi Militari Thailand dengan menyertai JUSMAG (Joint United States Military Assistance Group) dan MACTHAI (Military Assistance Command Thailand). Pernyataan Thailand terhadap dua pertubuhan utama memperlihatkan golongan militari mendapat faedah dari segi penambahan ketenteraan sekaligus kekuataan ketenteraan dapat diperkukuhkan. Penyertaan Thailand juga merupakan satu pencapaian baru selaras dengan matlamat asal Jeneral Sarit sememangnya ingin memperkukuhkan lagi golongan militari di Thailand.
Pada tahun 1960, Sekolah Teknikal Militari SEATO telah ditubuhkan di Bangkok ekoran hasil usahasama kerajaan Thailand dan Australia. Australian membantu Thai dengan menyediakan bantuan yang lengkap dalam latihan pasukan tentera yang bakal menjadi penyelia teknikal,  tenaga pengajar, ,mengetuai penghantaran, dan tentera laut. Pada tahun 1964, penglibatan Australia berakhir namun latihan ini masih diteruskan oleh pemerintah pada ketika itu. [12]
Selain itu, Thailand dilihat sebagai sebuah negara yang mempunyai gerakan Parti Komunis yang aktif. Kekuatan ketenteraan yang sedia ada mampu untuk menumpaskan Parti Komunis di Thailand dan negara-negara yang terlibat dengan kehadiran Komunis seperti Laos. Buktinya, Thailand telah membantu Laos untuk membasmi kehadiran Komunis.[13]

EKONOMI
Peranan golongan militari Thailand juga dapat dilihat melalui aspek ekonomi. Sejarah sebelum pemerintahan Jeneral Sarit, kerajaan Thailand telah berusaha untuk meningkatkan sektor perindustrian bagi mengelakkan ekonomi rakyat Thailand yang selama ini dimonopli oleh pengusaha Cina dan pelabur asing.  Pada penghujung 1950-an, kerajaan Thailand mengalami kerugian yang teruk akibat sector perindustrian Thailand tidak diurus dengan cekap.[14] Ekoran daripada itu, Sarit telah menerima saranan daripada pihak Bank Dunia untuk lebih fokus kepada sektor pembekalan kemudahan seperti sumber tenaga, pengangkutan dan infrastruktur yang lain. Saranan ini telah menimbulkan kesedaran dalam diri Sarit bahawa persaingan dalam pelaburan asing daripada perusahaan kerajaan dan prospek untuk mendapat pinjaman luar akan bertambah baik sekiranya beliau mengehadkan penglibatannya dalam sektor perindustrian. Oleh itu, pada tahun 1961, Sarit telah memperkenalkan polisi ekonomi bagi meningkatkan jumlah pekerja dan meningkatkan pengeluaran. [15]
Sajit memperkenalkan Rancangan Ekonomi Pertama (1961-1966) untuk meningkatkan taraf hidup melalui pengeluaran pertanian, industri, dan infrastruktur. Dalam rancangan ini juga, golongan tentera turut memberi tumpuan kepada aktiviti pertanian. Hal ini bagi memastikan aktiviti pertanian komersial dapat diwujudkan.[16] Buktinya, kawasan tanaman padi berjaya diperluaskan sehingga mencapai 15% antara tahun 1950 hingga 1967. Keluasan kawasan untuk tanaman lain telah bertambah sebanyak empat kali ganda. Pada tahun 1968, keluaran tanaman padi berjaya menghasilkan 33% daripada pendapatan sektor pertanian.[17] Terdapat bukti lain iaitu militari bertanggungjawab dalam mempelbagaikan jenis tanaman seperti padi, jagung, ubi kayu, nenas, kelapa, getah, dan buah-buahan. Jelaslah menunjukkan tentera sebagai agen dalam memajukan kegiatan ekonomi di Thailand antara tahun 1950-an sehingga tahun 1990-an.[18] Selain itu, Amerika Syarikat memberi bantuan kepada Thailand sebagai balasan kerana Thailand telah membantu mereka dalam perang Vietnam. Thailand juga membuat pinjaman modal daripada negara Jepun dan Taiwan yang mengakibatkan pengaliran wang masuk sekali gus membantu Thailand merangka lebih banyak program pembangunan ekonomi mereka.[19]
 Rancangan Ekonomi Kedua (1967-1971) diperkenalkan oleh Thanom (1963-1973). Rancangan ini menekankan sistem pendidikan, sumber tenaga kerja dan pelarasan diberikan kepada ketidaksejajaran pemilihan pekerjaan serta meningkatkan pertanian.[20] Rancangan ini turut menyenaraikan fungsi pelabur swasta dalam usaha meningkatkan bidang perindustrian, perkhidmatan dan perdagangan. Perkembangan bidang perindustrian telah menyebabkan Thailand muncul sebagai negara pengimport kaca, plastik, tayar kasut dan barangan elektronik kecil. [21] Ini dapat dibuktikan dengan kenyataan James C.Ingram:
“Total merchandise import have risen dramatically from 2.5 billion bath in 1950 to 26.9 billion in 1969...”[22]
Berdasarkan kenyataan diatas jelaslah menunjukkan peranan golongan tentera telah membawa satu kemajuan dari aspek ekonomi. Hal ini dapat dibuktikan lagi bahawa Thailand tidak lagi bergantung kepada barangan import luar sekaligus mampu mengeksport barangan keluaran Thailand ke luar negara. Keadaan ini amat berbeza semasa pemerintahan raja monarki di Thailand kerana segala penguasaan dimiliki oleh raja dan keluarga diraja sahaja tanpa mengira kepentingan rakyat.
Rancangan Ekonomi Ketiga (1972-1976) lebih menumpukan kepada perindustrian di kawasan Bangkok dan kawasan tengah Thailand. Ini dapat dibuktikan pada tahun 1975 hingga 1976, kadar kemisikinan di Bangkok dan kawasan tengah adalah sembilan peratus berbanding dengan 36 peratus daripada perkembangan dalam pengeluaran. Hal ini disebabkan oleh perkembangan pasaran domestik yang merangkumi 29 peratus untuk pengimportan penggantian dan tujuh peratus kepada pengeksportan. Selain itu, industri pertanian dibangunkan. Ini dapat dibuktikan bahawa terdapat kilang-kilang beras dan gudangan untuk menyimpan makanan dan pengeluaran benih, peniagaan babi dan ayam seperti tempat penyembelihan, pembuatan guni-guni serta pembekuan dan pengetinan produk-produk berasaskan pertanian dan laut. Di samping itu, perkembangan kepelbagaian agroproses yang melibatkan gula, jagung, kenaf dan ubi kayu meningkat. Hal ini telah mencerminkan kelonggaran kawalan kerajaan. Contohnya, 1969, terdapat lebihan penapisan gula. Dalam tempoh ini juga memperlihatkan kadar pertumbuhan purata tahunan sektor pertanian menurun daripada 4.5 peratus dalam tempoh Rancangan sebelumnya kepada kira-kira 4 peratus. Dalam tempoh ini juga, penduduk di luar bandar berhijrah ke ibu negara untuk menjamin kelangsungan hidup. [23]
Rancangan Ekonomi Keempat (1977-1981) lebih memfokuskan pemulihan ekonomi dengan penyususnan semula ekonomi. Hal ini bertujuan memulihkan ekonomi yang terkesan daripada kemelesetan ekonomi global. Rancangan ini juga melibatkan penyertaan lebih besar oleh sektor swasta dan orang ramai. Rancangan ini memperlihatkan rancangan ini tidak menggunakan pendekatan atas ke bawah. Kemajuan ekonomi dapat dicapai apabila terdapat banyak projek mega dalam sektor gas asli, kimia, baja dan simen berkaitan dengan pembangunan di Pantai Timur Thailand sekaligus memberi kesan kepada peningkatan produktiviti. Walau bagaimanapun, rancangan ini telah menyebabkan ketidaksamaan pendapatan  dalam pengagihan perkhidmatan sosial telah membawa pelbagai masalah. Ini dapat dibuktikan bahawa dasar pelaburan yang tinggi oleh kedua-dua sektor awam dan swasta yang menyebabkan masalah perbelanjaan. Di samping itu, sektor awam gagal menyesuaikan tarif perusahaan negeri dan perkhidmatan awam untuk menampung kos  pengeluaran, terutamanya tenaga buruh. [24]
Rancangan Ekonomi Kelima (1982-1986) lebih menekankan kestabilan pertumbuhan ekonomi, menjalakan pendekatan tumpuan kawasan, mengembalikan kestabilan kewangan dan mengekalkan kredibiliti dalam pasaran kewangan antarabangsa dan menyusun semula ekonomi. Kerajaan melaksanakan lungkah-langkah penjimatan fiscal yang tegas dalam menyelesaikan hutang. Kadar pertumbuhan ekonomi Thailand sebanyak lima peratus setiap tahun. [25]
Rancangan Ekonomi Keenam (1986-1991) lebih menekankan kepada kecekapan dan meningkatkan kualiti dalam aktiviti pembangunan dan persaingan antarabangsa serta kebergantungan sendiri dalam ekonomi. Rancangan ini merupakan kesinambungan daripada Rancangan Kelima iaitu mengekalkan kestabilan kewangan dan ekonomi serta mempercepatkan penyusunan semula dan mempelbagaikan asas ekonomi. Rancangan ini boleh dianggap sebagai zaman kegemilangan Thailand kerana pertumbuhan ekonomi yang dramatik. Buktinya, kadar pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) pada tempoh ini adalah di antara 5.5 peratus pada tahun 1986 dan meningkat kepada 13.3 peratus pada tahun 1988 dengan purata kira-kira 10.3 peratus setahun. Selain itu, rancangan ini bertujuan mengurangkan fungsi dalam pelaburan dan pengeluaran sektor awam. Sektor swasta diperkukuhkan lagi dalam sektor pengeluaran dan pelaburan, pekerjaan dan penjanaan pendapatan. [26]

SOSIAL
Pada sekitar tahun 1950-an, Phibun telah mengabaikan beberapa aspek penting seperti peluang pengajian tinggi, perniagaan, ketenteraan dan golongan sami Buddha. Syarat kemasukan pelajar ke universiti turut diperketatkan sehingga tahun 1960-an. Kebanyakan tentera pada tahun itu tidak mempunyai latar belakang pendidikan yang tinggi. [27]
            Sekitar tahun 1950-an, Sarit telah berusaha untuk memperkukuhkan sistem pentadbiran. Antara usaha yang dilakukan oleh beliau ialah membaikpulih sistem jalan raya, mengurangkan kadar jenayah, aktiviti pelakuran terletak di bawah pengawasan undang-undang dan larangan penjualan candu. Perkhidmatan elektrik telah diperbaiki dan meningkatkan lagi kajian terhadap bidang pertanian. Selain itu, kerajaan juga mengambil berat dalam bidang pendidikan seperti hal kemasukan pelajar ke tahap pengajian yang lebih tinggi. Sebelum pemerintahan Sarit, Phibun mengenakan syarat agak ketat untuk pelajar memasuki universiti. Kesan daripada usaha yang dilakukan oleh Sarit telah menyebabkan pertambahan sekolah dan tahap kualiti pendidikan juga dinaiktaraf dengan melatih tenaga pengajar sehingga mahir.[28]
Pada tahun 1960 hingga 1980, perkembangan sangat pesat berlaku. Antaranya kebanyakan orang Cina mula dapat menerima Thailand sekaligus berlakunya asimilasi antara orang Cina dengan penduduk tempatan menerusi perkahwinan.  Menerusi perkahwinan campur ini telah menyebabkan lahirnya masyarakat berketurunan Sino-Thai. Selain itu, perubahan di Thailand terutamanya di sekitar bandar Bangkok meningkat dengan baik. Kawasan perkampungan turut berubah menjadi lebih moden dan maju.Jalan raya sebagai laluan utama golongan tentera dan integrasi penduduk kampong ke ekonomi sosial turut diselenggara. [29]

KESIMPULAN
Memang tidak dapat dinafikan lagi bahawa tentera sebagai agen pemodenan dan pembangunan negara Thailand. Hal ini sangat berbeza dengan pentadbiran beraja berkuasa mutlak yang dimana kuasa terletak kepada raja tanpa mengira kepentingan rakyat. Sebenarnya keadaan politik tidak stabil sehingga berlakunya 16 kali rampasan kuasa, dan 14 kali pilihanraya dari tahun 1932 hingga 1990. Akibat tradisi rampasan kuasa tentera Thailand telah berlangsung hingga kini. Walau bagaimanapun, sistem pemerintahan beraja haruslah diberi pujian. Hal ini demikian kerana sistem pemerintahan beraja telah berjaya mengekalkan kedaulatan dan kemerdekaan Thailand sehingga kini. Kesimpulannya, tentera sememangnya memainkan peranan penting sebagai modernizing element yang bertanggungjawab membawa pembaharuan dan pembangunan Thailand anatar tahun 1950 sehingga 1990-an. Walaupun pemodenan yang dilakukan adalah bersifat tertumpu ke arah pusat negara tetapi perkara itu telah membuka mata ramai pihak.

BIBLIOGRAFI
Abu Talib Ahmad. (1991). Sejarah Tanah Besar Asia Tenggara. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka.
Clark D. Neher. (1976). Modern Thai Politics From Village to Nation. Cambridge: Schenkman Publishing Company.
Corrine Phuangkasem. (1973). Thailand and SEATO. Bangkok: Thai Watana Panich CO. LTD.
David Joel Steinberg, et. al. (1981). Mengenali Sejarah Asia Tenggara Moden. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka.
Dixon, Chris J. (1999). The Thai Economy: Uneven Development and Internationalization. London: Routledge.
Hirsch, P. (1990). Development Dilemmas In Rural Thailand. Singapore: Oxford University Press.
George K. Tanham. (1974). Trial In Thailand. New York: CR Crane, Russak & Company, Inc.
James C. Ingram. (1971). Economic Change In Thailand (1850-1970). California: Stanford University Press.
Kobkua Suwannathat-Pian. (2003). Kings, Country and Constitutions: Thailand’s Political Development. New York: Routledge Curzon.  
Srawooth Paitoonpong & Shigeyuki Abe.(2004, December).The Thai Economy: A Picture from the Past. Thailand Development Research Institute (TDRI Quarterly Review). Vol. 19 No. 4.hlm.6-8
Thawatt Mokarapong. (1972). History Of The Thai Revolution: A Study in Political Behaviour. Bangkok.
Wyatt, David K. (1991). Thailand: A Short History. Chiangmai: Silkworm Books.
Zakaria Haji Ahmad & Harold Crouch. (1985). Military-Civilian Relations in South-East Asia. Singapore: Oxford University Press.


[1] Abu Talib Ahmad, Sejarah Tanah Besar Asia Tenggara, (Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka, 1991), hlm 70-71
[2] Thawatt Mokarapong, History Of TheThai Revolution: A Study in Political Behaviour,(Bangkok:1972),hlm  1
[3] David Joel Steinberg et. al. 1981. Mengenali Sejarah Asia Tenggara Moden. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka. hlm. 437.
[4] George K. Tanham,Trial In Thailand,(New York: CR Crane, Russak & Company, Inc., 1974),hlm. 43.
[5] Kobkua Suwannathat-Pian, Kings, Country and Constitutions: Thailand’s Political Development,
(New York: Routledge Curzon, 2003),Hlm. 12.
[6] Zakaria Haji Ahmad dan Harold Crouch  (ed.). 1986.  Military- Civilian Relations in South-East Asia. Kuala Lampur: Oxford University Press, hlm. 114.
[7] Kobkua Suwannathat-Pian, Kings, Country and Constitutions: Thailand’s Political Development, Hlm. 12
[8] Ibid.
[9] Ibid., hlm. 14
[10] Clark D. Neher, Modern Thai Politics From Village to Nation, (Cambridge: Schenkman Publishing
Company,1976), hlm. 370
[11] Corrine Phuangkasem,Thailand and SEATO,(Bangkok: Thai Watana Panich CO., LTD, 1973),hlm. 48.
[12] Ibid.,hlm. 49.
[13] Ibid.,hlm. 49.
[14] George K. Tanham, Trial In Thailand,(New York: CR Crane, Russak & Company, Inc., 1974),hlm. 47.
[15]James C. Ingram,Economic Change In Thailand (1850-1970), (California: Stanford University Press, 1971),hlm. 231.
[16] Hirsch P.,Development Dilemmas In Rural Thailand, (Singapore: Oxford University Press,1990), hlm 50.
[17] Dixon Chris J, The Thai Economy: Uneven Development and Internationalization,(London: Routledge,1999), hlm 81.
[18] James C. Ingram,Economic Change In Thailand (1850-1970), hlm. 261.        
[19] David Joel Steinberg et.al,Mengenal sejarah Asia Tenggara Moden,hlm. 438.
[20]  Dixon, Chris J,The Thai Economy: Uneven Development and Internationalization,hlm. 82-83.
[21] James C. Ingram.  Economic Change In Thailand (1850-1970), hlm. 261.
[22] Ibid.,hlm. 289.
[23] Srawooth Paitoonpong & Shigeyuki Abe,(2004, December),The Thai Economy: A Picture from the Past, Thailand Development Research Institute (TDRI Quarterly Review), Vol. 19 No. 4,hlm.6
[24] Ibid.,hlm.8
[25] Ibid.,hlm.8
[26] Ibid.,hlm.9
[27] Wyatt, David K,Thailand: A Short History,(Chiangmai: Silkworm Books, 1991) ,hlm. 290
[28] Ibid.,hlm. 291-295.
[29] Ibid.,hlm. 293-297.

No comments:

Post a Comment