1.0 PENDAHULUAN
Melaka merupakan titik pertemuan antara laluan
perdagangan Barat dan Asia Timur. Kesultanan Melayu Melaka diasaskan oleh
Parameswara pada abad ke-15. Sebelum pengasasan itu berlaku, empayar Srivijaya
pada tahun 1025 mengalami kemerosotan akibat serangan Wangsa Chola yang berasal
daripada selatan India. Akibat daripada serangan itu, Maharaja Sang Utama
Parameswara Batara Sri Buana atau Sang Nila Utama melarikan diri ke Temasik
atau kita kenali sebagai Singapura pada tahun 1324. Apabila sampai di Temasik, beliau
menubuhkan kerajaan Singapura sekali gus menjadi raja Singapura terakhir
menurut Sejarah Melayu. [1]Beliau
mendapat gelaran Sri Maharaja Sang Utama Parameswara Batara Sri Tri Buana yang
membawa maksud “Yang Dipertuan tiga dunia”. Hal ini membawa maksud Parameswara
mempunyai kuasa ke atas Palembang, Bintan dan Temasik.[2]
Pemerintahan Parameswara tidak lama apabila
kerajaan Majapahit menyerang Singapura. Hal ini demikian kerana seorang
bendahara yang bernama Sang Rajuna Tapa membelot dan bekerjasama dengan
kerajaan Majapahit.[3]
Pada masa yang sama, Parameswara telah membunuh Temagi, wakil Siam di
Singapura. Apabila Siam mendapat tahu
berita pembunuhan wakil mereka, Siam menyerang Parameswara. Pada masa yang sama
Parameswara mendapat tahu kerajaan Majapahit juga hendak menyerang Singapura,
Parameswara bersama-sama pembantunya melarikan diri ke utara. Menurut buku
Sulalatus Salatin yang dikarang oleh Tun Sri Lanang pada tahun 1614 mengatakan
bahawa Parameswara berundur ke Muar, namun diganggu oleh sejumlah biawak yang
begitu banyak. Hal ini merujuk satu kawasan di Muar iaitu Kota Biawak Busuk
atau dikenali juga sebagai Kota Buruk. Parameswara pernah mendirikan sebuah
kerajaan di situ tetapi gagal kerana kawasannya yang tidak strategik. Pembinaan
kubu pertahanan menemui kegagalan ekoran struktur binaan runtuh dengan
serta-merta.[4]
Parameswara berpindah lagi ke Sening Ujong
atau dikenali sebagai Sungai Ujong. Apabila Parameswara berada di Sening Ujong,
beliau melantik seorang menteri untuk mewakili dirinya. Parameswara berpindah
lagi sehingga setibanya di Sungai Bertam atau dikenali sebagai Sungai Melaka
iaitu terletak di kawasan pesisiran pantai. Setiba di situ, masyarakat Seletar
atau dikenali sebagai Orang Laut yang mendiami kawasan pesisir pantai meminta
Parameswara menjadi raja di kawasan tersebut. Pada ketika itu Parameswara
berfikir bahawa kawasan itu sesuai dijadikan sebuah kerajaan baharu kerana
kedudukannya yang strategik yang terlindung daripada angin monsun dan
memperoleh kemudahan bekalan air yang bersih.[5]
Semasa Parameswara berburu di muara Sungai
Bertam, beliau sedang berehat di sebatang pokok. Parameswara melihat anjing
pemburuannya ditendang oleh seekor pelanduk kecil. Beliau merasakan peristiwa
itu sungguh luar biasa lalu mendirikan sebuah kerajaan yang dinamakan Melaka.[6]
Berdasarkan soalan diberi iaitu “Tanpa Kain
Gujerat ataupun rempah, Melaka akan hanya menjadi salah satu pelabuhan antara
yang begitu banyak yang terdapat di rantau ini” (Andaya,1983). Sebenarnya saya
tidak bersetuju dengan pernyataan ini. Hal ini demikian kerana terdapat
faktor-faktor lain yang telah menyebabkan pelabuhan Melaka menjadi begitu
terkenal pada abad ke 15.
2.O FAKTOR-FAKTOR LAIN MENJADIKAN MELAKA
SEBAGAI PELABUHAN TERKENAL
2.1 FAKTOR GEOGRAFI YANG STRATEGIK DI PERAIRAN
SELAT MELAKA
Gambar 1: Peta yang menunjukkan jalan
perdagangan di Asia Tenggara pada abad ke 12 hingga abad ke 13.
Melaka menjadi salah satu pelabuhan terkenal
di rantau Kepulauan Melayu. Hal ini demikian kerana Melaka terletak di tengah
perjalanan perdagangan Timur dan Barat yang menjadi tumpuan pedagang-pedagang
asing seperti China, India, Arab dan Kepulauan Melayu sendiri. [7]
Kedudukan Melaka yang strategik membolehkannya menerima tiupan dua jenis angin
iaitu angin Monsun Timur Laut dan angin
Monsun Barat Daya. Kedua-dua angin bertiup selama enam bulan mengikut giliran
tahunan. [8] Angin
monsun yang pertama bermula pada bulan April sementara yang kedua bermula pada
bulan September. Buktinya, pada awal bulan Mei, para pedagang dari India memulakan
pelayaran mereka ke Selat Melaka menju ke arah Timur seterusnya menetap di
Melaka atau mana-mana pelabuhan yang terdapat di Selat Melaka sehingga bulan
Januari sebeulum pulang ke India. Begitu juga dengan pedagang China yang tiba
di Melaka pada bulan Desember dan tinggal sementara waktu sehingga hujung bulan
Jun untuk perjalanan semula. [9] Keadaan
inilah dapat mengelakkan masalah lalu lintas di antara kapal perdagangan dari
Timur dan Barat. Ini disebabkan perjalanan sesebuah kapal perdagangan sudah
ditentukan berdasarkan kedua-dua angin tersebut. Disebabkan tiupan angin itu
telah menyebabkan para pedagang sama ada dari Timur mahupun Barat menjadikan
Melaka sebagai tempat persinggahan dan menyimpan barang dagangan mereka di
gudang untuk diperdagangkan apabila pedagang lain tiba di Melaka pada musim
monsun yang satu lagi. Ini dapat dibuktikan apabila Sultan Iskandar Shah telah
menyediakan segala kemudahan dalam bentuk fizikal atau material di pelabuhan
Melaka. [10]
Selain itu, pelabuhan Melaka terlindung dari
tiupan angin dan jauh dari hutan paya bakau. Hutan paya bakau berfungsi sebagai
mempengaruhi pergerakan udara atau rebut yang bertiup kancang daripada arah
laut yang mampu merosakkan harta benda dan meragut nyawa manusia. Pintu
pelabuhannya sangat dalam dan luas untuk membolehkan kapal-kapal besar masuk
berlabuh di Melaka. [11]
Di samping itu juga, Melaka juga kaya dengan
hasil perlombongan seperti emas, bijih timah, bijih besi dan antinomi. Pedagang-pedagang
asing dari negeri lain menjadikan Melaka sebagai pusat pedagangan kerana
kedudukannya yang strategik. Kelangsungan kepesatan sesuatu perdagangan amat
memerlukan sistem pemerintahan dan pentadbiran yang cekap, teratur dan stabil[12].
Oleh itu, kebanyakan kerajaan di Kepulauan Melayu mempunyai system pentadbiran
dan pemerintahan yang tersusun. Contohnya, Melaka mempunyai system pentadbiran
dan pemerintahan yang cekap. Ini dapat dibuktikan bahawa sultan Melaka
mewujudkan Sistem Pembesar Empat Lipatan dan sistem perundangan seperti
Undang-Undang Laut Melaka. Dengan adanya ianya dapat melicinkan serta
mengekalkan keamanan dan memajukan perdagangan di pelabuhan Melaka.
2.2 FAKTOR HUBUNGAN LUAR YANG MENJAMIN
KESELAMATAN MELAKA
Gambar 2 : Bukti kedudukan strategik Melaka
yang merupakan faktor terkenalnya pelabuhan Melaka sebagai pelabuhan yang
terkemuka di rantau Asia Tenggara.
Berdasarkan gambar diatas, jelaslah
menunjukkan bahawa kedudukan Melaka yang strategik telah membuka peluang kepada
negara-negara luar seperti China, Jepun, India dan Jawa untuk menjalinkan
hubungan diplomatik. Buktinya, pada tahun 1403 hingga 1433, Melaka menjalinkan
hubungan diplomatik dengan China. Pada ketika itu, China merupakan kuasa besar.
[13]
Hubungan diplomatik ini telah menyebabkan
Melaka mendapat perlindungan terutamanya dari segi keselamatan daripada negeri
China. Buktinya, kerajaan Melaka terpaksa mempersembahkan 40 tahil emas kepada
Siam. Jika Melaka tidak berbuat demikian, Siam akan menyerang Melaka. Hal ini
demikian kerana kekuatan Melaka belum setanding dengan negeri Siam. Siam masih
membalas dendam terhadap Melaka di atas pembunuhan Temagi yang dibunuh oleh
Parameswara. Apabila perkara ini diketahui oleh Maharaja China iaitu Maharaja Yung-Lo
lalu baginda menitahkan Laksamana Yin Ching pergi ke Melaka. [14]
Pada tahun 1405, Laksamana Yin Cheng sebagai utusan Maharaja Yung-Lo telah
datang ke Melaka. Dalam situasi itu, Parameswara diberi peluang untuk menangani
masalah dengan Siam. Sekali gus, hubungan ini dapat dimanfaatkan kerana
pengaruh China yang merupakan negara terkuat di Asia
pada masa itu dalam membela kedaulatannya. [15]
Perhubungan ini
semakin utuh pada tahun 1405 apabila Maharaja Ming telah memberi pengiktirafan
kepada Parameswara sebagai raja Melaka dan dianugerahi Cap Kempal, sepasang
kain sutera berkerajaan dan payung berkerajaan. Pada tahun itu jugalah, Siam
telah bertindak menyerang Melaka dan cubaan merebut Cap Kempanya. Apabila
berita itu diketahui, Maharaja Ming telah menghantar Zheng He Ke ke Siam untuk
menghalang persengketaan diantara Siam dan Melaka. Pada tahun 1407, kerajaan
Melaka sekali lagi menghantar utusan dari Melaka pergi ke negeri China dengan
mengikut kapal Laksamana Cheng Ho yang datang singgah ke Melaka dalam perjalanan
balik ke negara China. Dalam utusan tersebut, Parameswara memberitahu bahawa
Siam melakukan pencerobohan terhadap Melaka. Disebabkan hal itu, Maharaja China
telah memberi amaran kepada kerajaan Siam supaya tidak mengganggu dan
menceroboh Melaka lagi. Pada tahun 1409, Laksamana Cheng Ho tiba di Melaka
dengan membawa dikri Maharaja China yang menjadi simbolik kepada menaiktarafkan
Melaka sebagai sebuah kerajaan yang diiktiraf.
Selain itu, Melaka
juga menjalinkan hubungan diplomatik dengan pihak kerajaan Jawa bagi mengatasi
masalah kekurangan bahan makanan. Hal ini demikian kerana pertambahan penduduk
di Melaka telah mendorong kepada pemerintah Melaka pada ketika itu, Sultan
Mahkota Iskandar Syah untuk menghantar duta ke Jawa untuk mengadakan hubungan
diplomatik dengan pemerintah Jawa yang baru iaitu Vikramarvaddhana yang
memerintah dari tahun 1389 hingga 1429. Di samping itu juga, Melaka juga
mengadakan hubungan diplomatik dengan kerajaan Pasai melalui kegiatan
perdagangan. [16] Oleh sebab itu, Melaka menjadi terkenal
kepada dunia luar sekaligus Melaka dapat diperkukuhkan kedudukan mereka serta
mendapat barangan dagangan.
2.3 FAKTOR MELAKA SEBAGAI PUSAT PENYEBARAN ISLAM
Sebelum kedatangan Islam di Melaka, masyarakat Melaka menganut
fahaman animisme dan agama Hindu-Buddha. Animisme merujuk kepada kepercayaan
terhadap sesuatu benda yang mempunyai roh atau semangat tertentu. Pada tahun
1414, Islam mula berkembang di Melaka apabila Parameswara telah memeluk agama
Islam setelah berkahwin dengan puteri dari kerajaan Pasai. Disebabkan hal itu,
masyarakat Melaka pada ketika itu memeluk agama Islam secara beramai-ramai. Proses
pengislaman ini telah mencapai ke puncaknya pada zaman Kesultanan Melayu Melaka
sekitar pertengahan abad ke-15. [17]
Perkembangan Islam telah meletakkan kerajaan Kesultanan Melayu Melaka sebagai
peneraju sebuah empayar Melayu Islam yang telah Berjaya membina sebuah tamadun
Islam yang berjaya di Nusantara. Kesan daripada itu, Melaka muncul sebagai
sebuah pusat penyebaran Islam yang terpenting di Kepulauan Melayu pada abad
ke-15. Kedatangan Islam ke Melaka telah membawa pengaruh dan sumbangan yang
meluas dalam perkembangan Kesultanan Melayu Melaka, meliputi setiap aspek
budaya masyarakatnya. Perkembangan agama
Islam di Melaka telah mempengaruhi sistem pentadbiran, perundangan, ekonomi,
bahasa dan kesusasteraan, dan pendidikan.
Kesultanan Melayu Melaka mengamalkan sistem pentadbiran berasaskan
Islam. Buktinya, Sultan Muzaffar Shah menjadikan agama Islam sebagai agama
rasmi di Melaka pada tahun 1446. [18]
Melaka sebagai sebuah kerajaan Melayu-Islam telah menekankan konsep pentadbiran
yang mempunyai unsur kemelayuan, keislaman dan kesultanan. Dalam konteks ini,
sultan selaku pemimpin dan penaung kepada rakyat yang membawa maksud sultan
memegang amanah Allah SWT dalam mentadbir negeri secara adil dan saksama demi
kesejahteraan rakyat dan negeri di bawah naungannya. Ini dapat dibuktikan lagi
dalam kitab Bustanus-Salatin yang memperlihatkan konsep pemerintahan Islam.
Tajus-Salatin ,... Hukum Kanun Melaka jelas memperkatakan bahawa
pemerintahan raja-raja hendaklah berdasarkan lunas-lunas ajaran Islam,bukan
sahaja syariah atau hukumnya, tetapi juga dari segi tatasusilanya.[19]
Selain itu, Melaka
menjadi tumpuan saudagar-saudagar Islam untuk berdagang. Saudagar-saudagar ini
bukan sahaja berdagang tetapi mereka menyebarkan agama Islam. Kehebatan
pelabuhan Melaka dapat mengatasi kerajaan di pantai timur Sumatera seperti
Haru, Jambi, Pedir dan Samudera-Pasai.
Pada abad ke 15,
agama Islam mula berkembang dengan pesat. Faktor perkembangan inilah telah
meletakkan Melaka sebagai empayar yang agung. Dalam melaksanakan urusan
melibatkan jual beli pedagang, undang-undang Islam telah digunapakai. Misalnya,
Islam melarang sama sekali amalan riba atau mengambil keuntungan berlipat kali
ganda daripada harga dagangan yang sebenarnya. Islam melarang kerana
membataskan sifat tamak atau kecenderungan mengambil keuntungan berlebihan dan
hak pembuli dapat dilindungi dan tidak ditindas sewenang-wenangnya.
Fasal 30 Hukum Kanun Melaka menyentuh mengenai ‘Muamalat’ Islam.
Hukum Islam turut mensyaratkan supaya semua maklumat atau butiran hutang
mestilah dicatat dengan disaksikan oleh dua orang lelaki yang berakal dan adil.
Hal ini bertujuan mengelakkan segala kesulitan dan perbalahan pada masa depan.
Barang-barang yang diniagakan di Melaka mestilah barang-barang yang elok dan
berguna bukannya barangan yang haram. Dalam fasal itu juga, turut menyentuh mengenai
barang-barang yang boleh diperniagakan serta yang dilarang oleh Islam seperti
arak, babi, anjing, bangkai, benda yang buruk dan tuak. Bukan itu sahaja,
amalan membayar zakat turut diperkenalkan di Melaka. Hal ini bertujuan
mewujudkan hubungan yang erat sesame umat Islam dalam kalangan rakyat.
Sebenarnya semua ciri tersebut sudah termaktub dalam kitab suci Al-Quran.[20]
2.4 MELAKA SEBAGAI PUSAT ENTERPORT
Ekonomi perdagangan di Melaka terus berkembang dengan pesat. Ini
telah menyebabkan Melaka menjadi pusat enterport yang terkenal. Pelabuhan
Melaka berperanan sebagai sebuah pusat pengumpulan barang-barang dagangan dan
menguruskan penyebaran bahan-bahan yang pelbagai ke destinasi yang dituju. Hal
ini sekaligus Melaka menjadi perantaraan pedagang Timur dan Barat. Perkembangan
ini jugalah telah merangsang pemerintah Melaka untuk menyediakan
kemudahan-kemudahan perdagangan dan pentadbiran perniagaan.[21]
Selain itu, pemerintah Melaka telah menyediakan pelbagai kemudahan di pelabuhan
seperti tempat menginap, gudang, mengadakan sistem sukatan dan timbangan yang
standard, dan kemudahan membaiki kapal. Kemudahan-kemudahan ini memang sangat
diperlukan oleh pedagang-pedagang yang singgah di Melaka. Pemerintah Melaka
juga memperkenalkan jawatan Syahbandar, Nakhoda dan Kiwi. Jawatan-jawatan ini
berfungsi sebagai wakil atau saudagar yang menghantar dan menyebarkan barangan
dagangan dan terlibat dalam urusan hal-hal perdagangan. Matawang logam
digunakan dalam semua urusniaga.[22]
2.5 PERANAN ORANG LAUT TERHADAP PELABUHAN MELAKA
Orang Laut diistilahkan secara umum sebagai kelompok kecil yang
terdiri pelbagai jenis suku yang mendiami pesisiran pantai dan pulau-pulau di
selatan Semenanjung Malaysia, timur Pulau Sumatera serta pulau-pulau dan muara
sungai di Kepulauan Riau-Lingga, Kepulauan Batam, Pulau Tujuh dan Pulau
Singapura.[23]
Disebabkan kepakaran mereka iaitu mengetahui selok belok lautan lalu mereka
direkrut oleh pemerintah Melaka untuk menjaga keselamatan dan kawasan perairan
untuk membanteras kegiatan perlanunan.[24]
Orang Laut sentiasa memberikan taat setia dan sokongan ketenteraan
kepada pemerintahan Melaka. Hal ini demikian kerana Parameswara diakui
kedaulatan oleh Orang Laut dan melindungi keselamatannya. Manakala Parameswara
pula melindungi dan menjaga kebajikan mereka. Disebabkan itu jugalah, Orang Laut dan
pemerintah Melaka bekerjasama mengatasi masalah kegiatan lanun yang mengganas
di sepanjang perairan Selat Melaka.[25]
Apabila keselamatan Melaka terjamin, para pedagang bebas melakukan sebarang
aktiviti perdagangan dengan Melaka. Di samping itu juga, Orang Laut dijadikan
sebagai sebahagian besar daripada angkatan Laut Melaka. Hal ini demikian kerana
Orang Laut merupakan sumber tenaga yang paling penting untuk menjaga keamanan
serta menggalakkan pedagang-pedagang asing ke pelabuhan Melaka.[26]
3.0 RUMUSAN
Saya tidak bersetuju sekiranya rempah dan kain Gujerat sahaja telah
menyebabkan Melaka menjadi pelabuhan terkenal. Pelabuhan Melaka terkenal
disebabkan terdapat beberapa faktor yang telah dinyatakan. Hal ini demikian
kerana tanpa sebuah pemerintahan yang kukuh, pelabuhan Melaka tidak mungkin
menjadi pusat perdagangan antarabangsa pada masa tersebut.
Kepesatan ekonomi perdagangan Melaka telah menarik minat kuasa
Barat iaitu Portugis dibawah pimpinan Alfonso de Alburqueque untuk menakluki
Melaka pada 24 Ogos 1511. Penaklukan Portugis terhadap Melaka telah menyebabkan
perdagangan Melaka mulai merosot. Disebabkan kemerosotan ini jugalah, Acheh
telah menggantikan peranan Melaka sebagai pusat perdagangan di rantau Kepulauan
Melayu.
BIBILIOGRAFI
Abdul Rahman Hj. Abdullah. Pemikiran Umat Islam di Nusantara:
Sejarah dan Perkembangannya hingga abad ke- 19. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa
dan Pustaka. 1990.
Ahmad Zaharuddin Sani Ahmad Sabri. Raksa Raya Malaysia.
Kuala Lumpur: Institusi Terjemahan & Buku Malaysia Berhad. 2014.
Bahasa Othman. Melaka: Sejarah Awal Negara Kita. Shah Alam:
Marwilis Publisher & Distributors Sdn. Bhd. 1989.
“Dari Temasik Ke Melaka”. Utusan
Malaysia Online. Diubahsuai pada Mac 19, 2016.
http://www.utusan.com.my/rencana/dari-temasik-ke-melaka-1.202000
Nordin Hussin. Geografi dan Perdagangan: Kepentingan Selat
Melaka kepada Perdagangan Dunia, Asia dan Dunia Melayu 1700-1800, 73: 3-26
(Mei 2008): 5-6.
Prof. Khoo Kay Kim. Melaka dan Sejarahnya. Terbitan
Persatuan Sejarah Malaysia Cawangan Melaka.
Rahim Syam Norhale. Mendekati Kebudayaan Melayu. Petaling
Jaya: Fajar Bakti. 1988.
“The Malay Peninsula and Archipelago
1511–1722". The Encyclopedia of World History. 2001.
Zainal Abidin Abdul Wahid. Warisan dan Perkembangan Edisi Kedua.
Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka. 1996.
[1]
“Dari Temasik Ke Melaka”, Utusan Malaysia Online, Diubahsuai pada Mac
19, 2016, http://www.utusan.com.my/rencana/dari-temasik-ke-melaka-1.202000.
[2]
Ahmad Zaharuddin Sani Ahmad Sabri, Raksa Raya Malaysia, (Kuala Lumpur: Institusi
Terjemahan & Buku Malaysia Berhad, 2014), 86.
[3]
Ibid., 87
[4]
Ibid.
[5]
“Dari Temasik Ke Melaka”, Utusan Malaysia Online, Diubahsuai pada Mac
19, 2016, http://www.utusan.com.my/rencana/dari-temasik-ke-melaka-1.202000
[6]
Ahmad Zaharuddin Sani Ahmad Sabri, Raksa Raya Malaysia, 87.
[7]
Prof. Khoo Kay Kim. Melaka dan Sejarahnya. (Melaka: Terbitan Persatuan Sejarah
Malaysia Cawangan Melaka, 1982,), 78.
[8]
Zainal Abidin Abdul Wahid, Malaysia: Warisan dan Perkembangan Edisi Kedua,
(Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka, 1982), 38.
[9]
Nordin Hussin, “Geografi dan Perdagangan: Kepentingan Selat Melaka kepada
Perdagangan Dunia, Asia dan Dunia Melayu
1700-1800”, 73 (Mei 2008): 3-26.
[10] Rahim
Syam Norhale, Mendekati Kebudayaan Melayu, (Petaling Jaya: Fajar Bakti,
1988), 27.
[11] Zainal
Abidin Abdul Wahid, Malaysia: Warisan dan Perkembangan Edisi Kedua, 38.
[12]
Ibid.,37.
[13] Rahim
Syam Norhale, Mendekati Kebudayaan Melayu, 29.
[14] Bahasa
Othman, Melaka : Sejarah Awal Negara Kita, (Shah Alam: Marwilis
Publisher & Distributors Sdn.Bhd,
1989),35.
[15]
Ibid., 36.
[16] Prof.
Khoo Kay Kim, Melaka dan Sejarahnya, 78.
[17]
Ibid.,80.
[18] Ibid.,
100.
[19] Ibid.,
101.
[20]
Abdul Rahman Hj. Abdullah, Pemikiran Umat Islam di Nusantara : Sejarah dan
Perkembangannya hingga abad ke- 19, (Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka, 1990), 16.
[24] Bahasa
Othman, Melaka : Sejarah Awal Negara Kita, 50
[25] Ibid.,53.
[26]
Ibid.,54.
No comments:
Post a Comment