Saturday, 19 May 2018

EXPLAIN HOW BISMARCK’S POLICY OF REALPOLITIK CONTRIBUTED TO THE UNIFICATION OF GERMANY. (Menerangkan bagaimana dasar Realpolitik Bismarck menyumbang kepada penyatuan Jerman)


1.0  PENGENALAN
Otto Eduard Leopold Von Bismarck atau dikenali sebagai Bismarck dilahirkan pada 1 April 1815 di Schönhausen. Kawasan ini terletak kira-kira 60 km dari timur Berlin.Beliau dilahirkan dalam keluarga bangsawan yang memiliki aset ladang dan tanah yang banyak. Menurut Medlicott dalam bukunya bertajuk “Bismarck and Modern Germany”, beliau mewarisi daripada ibunya iaitu Wilhelmine Mencken dari segi keintelektuan.[1] Bismarck sudah didiedahkan dari kecil dengan suasana pentadbiran dan ketenteraan oleh ibu bapanya. Hal ini telah menyebabkan Bismarck menceburkan diri dalam bidang pentadbiran di Prussia pada usia yang muda.
            Bismarck dianggap sebagai tokoh yang berkaliber dalam sejarah Jerman. Hal ini demikian kerana beliau telah berjaya menyatupadukan wilayah-wilayah di Jerman. Pada tahun 1862, Bismarck dilantik menjadi Perdana Menteri.[2] Seterusnya Bismarck dilantik menjadi Canselor.Semasa beliau menjadi Canselor, beliau menggunakan konsep ‘darah dan besi’ dalam pemerintahannya. Disebabkan hal itu beliau digelar Canselor besi. Beliau mempraktikannya untuk mencapai apa-apa jua demi kepentingannya. Menurut Eyck dalam bukunya Bismarck and The German Empire mengatakan sifat kepimpinan Bismarck sangat dikagumi oleh Menteri Luar Perancis iaitu Jules Favre. Hal ini demikian kerana Bismarck mampu melakukan apa sahaja yang dia kehendakinya.[3]
Bismarck menggunakan dasar realpolitik sebagai senjata terhadap dasar dalam dan luar Jerman semasa pemerintahan beliau. Beliau sangat yakin dengan dasar ini kerana dasar ini mampu menjadikan Jerman sebagai sebuah kuasa kuat standing dengan kuasa Eropah yang lain seperti Britain. Selain itu, kebanyakan para liberal di Jerman kecewa kerana mereka gagal menyatukan wilayah-wilayah Jerman. Hal ini demikian kerana mereka sendiri kurang berpengalaman. Apabila melihat ini sebagai satu peluang yang baik buat Bismarck, Bismarck menerapkan dasar realpolitik untuk menyatukan Jerman.[4]
Dasar Realpolitik ialah konsep matlamat yang menghalalkan cara. Dasar ini diperkenalkan oleh Niccolo Machiavelli. Beliau merupakan seorang ahli pemikir yang berasal dari Itali. Bukunya bertajuk The Prince menjelaskan konsep realpolitik. Menurut Machiavelli mengatakan bahawa pencapaian merupakan matlamat utama manakala pengekalan kuasa adalah soal sampingan. Walaupun aspek ini dilihat sebagai sesuatu kejam dan jahat yang boleh menjejaskan kejayaan politik itu sendiri, namun aspek ini tidak ditekannya. Keuntungan sering ditonjolkan boleh menghasilkan tindakan tanpa moral yang dikendalikan secara licin. Menurut beliau lagi, kejayaan tidak dipentingkan malah apa yang dipentingkan ialah hasil.[5]
            Semasa Eropah dilanda revolusi pada tahun 1848, Bismarck telah melahirkan sikap politik yang anti dasar lemah lembut. Bagi beliau, unsur tolak ansur merupakan sesuatu yang asing. Semasa beliau menjadi Perdana Menteri pada tahun 1862, beliau melihat politik liberal dengan penuh sesalan. Hal ini demikian kerana sebelum Bismarck mengambil alih pemerintahan Prusia,dasar liberal telah diterapkan dalam pentadbiran Prusia. Selain itu, Bismarck sering dikaitkan dengan dasar “darah dan besi”. Hal ini demikian kerana beliau sering mengkritik cara atau tindakan yang diambil oleh para pemimpin dalam memikul sesuatu tanggungjawab. Menurut Bismarck, apabila melaksanakan sesuatu dasar ianya harus dilaksanakan dengan tegas dan adil tanpa menggunakan dasar lemah lembut. Hal ini menyebabkan Bismarck dikaitkan dengan dasar “darah dan besi”. Setelah Bismarck menjawat jawatan Canselor, beliau digelar sebagai “Canselor besi”. Hal ini demikian kerana cara dan tindakan yang tegas dalam corak pentadbiran beliau.[6]
            Penulis akan menerangkan bagaimana polisi realpolitik Bismarck menyumbang kepada penyatuan Jerman pada tahun 1871.

1.0  PERISTIWA YANG MEMBAWA KEPADA PENYATUAN JERMAN PADA TAHUN 1871
2.1 PEPERANGAN DENGAN PERANCIS
Bismarck menggunakan dasar realpolitik Machiavelli dalam pembentukan Konfederasi Jerman Utara. Perancis bimbang dengan perimbangan kuasa yang baru. Melihat kepada kebimbangan Perancis, Bismarck menyuruh pihak Perancis untuk mengemukakan hajatnya untuk menambahkan daerah kuasanya secara bertulis. Cadangan Bismarck telah dipersetujui oleh Perancis. Namun begitu, Bismarck telah mendedahkan surat tersebut kepada akhbar. Kesannya, Perancis digambarkan sebagai satu negara yang agresif yang ingin melumaskan daerah takluknya. Hal ini telah memeranjatkan kuasa-kuasa Eropah yang lain.
Sementara itu, Bismarck berasa bangga ke atas pencapaiannya. Hal ini demikian kerana beliau telah mencapai matlamat apabila kuasa-kuasa Eropah mengetahui tindakan Perancis tersebut. Hasrat Bismarck ialah mahukan Perancis disisihkan oleh kuasa-kuasa Eropah. Di samping itu, terdapat peristiwa yang lain seperti krisis warisan takhta Sepanyol. Krisis ini telah menyebabkan berlakunya peperangan di antara Perancis dan Prusia pada tahun 1870.[7]
Jika kita melihat daripada isu ini, kita dapat melihat bahawa sebenarnya Bismarck sendiri yang mencadangkan kepada Perancis untuk menulis surat mengenai hasrat Perancis. Apabila Perancis menurut sahaja cadangan Bismarck, Bismarck memainkan peranannya iaitu memanipulasi keadaan. Disebabkan Bismarck bijak memanipulasi keadaan maka Perancis terus dilabelkan sebagai sebagai sebuah negara yang “agresif”. Kesannya, negara Eropah yang lain takut untuk menjalinkan persahabatan dengan Perancis. Hal ini memperlihatkan seolah-olah Bismarck telah “menikam belakang” Perancis kerana Perancis seperti “pak turut” kepada Bismarck. Bismarck melakukannya kerana Perancis bukanlah berada dalam kelompok lima terbaik kuasa kuat Eropah. Ironinya peperangan yang sengaja dicipta ini hanya disebabkan oleh sepucuk surat sahaja.

2.2 PENAKLUKAN DAERAH SCHLESWIG-HOLSTEIN
Pergolakan yang berlaku di daerah Schleswig-Holstein disebabkan kebangkitan semangat kebangsaan ekoran daripada Revolusi 1848.[8] Revolusi 1848 berlaku ekoran terdapat beberapa siri pergolakan politik di seluruh Eropah pada tahun 1848.[9] Disebabkan pemberontakan tersebut, daerah Schleswig-Holstein berada di bawah kuasa Denmark-Jerman. Namun, pada tahun 1815, daerah ini diletakkan di bawah Vienna selepas berlakunya Kongres Vienna 1815. Peruntukan ini dibuat di bawah Perjanjian London 1852 yang telah ditandatangani oleh kuasa-kuasa Eropah yang terdiri daripada Russia, Austria, Perancis, Prusia, Britain, Denmark dan Sweden.
Pada tahun 1863, Raja Denmark iaitu telah menyatakan hasratnya iaitu ingin meletakkan daerah Schleswig-Holstein di bawah pentadbirannya. Hasratnya turut dipersetujui oleh rakyat Denmark. Hasratnya juga telah mengejutkan Jerman. Hal ini demikian kerana menurut Kongres Vienna 1815, daerah tersebut adalah di bawah kuasa sama Jerman dan Denmark. Menurut Bismarck ini merupakan isu yang sensitif kerana bangsa Jerman yang minority tetapi mempunyai jumlah yang ramai.[10] Pada masa yang sama, terdapat seorang pesaing kepada raja baru Denmark yang ingin merebut takhta. Melihat kepada keadaan tersebut, Bismark mengambil kesimpatan dengan memanipulasi keadaan tersebut. Bismarck telah mengatur strateginya dengan mendapatkan persetujuan dari Diet dan Austria untuk menyerang Denmark dengan tentera berikat Prusia danAustria. Kesan daripada sarangan ini, Denmark kalah. Akhirnya termeterainya Perdamaian Vienna pada bulan Oktober. Perdamaian ini telah meletakkan daerah Schleswig-Holstein di bawah Prusia dan Austria.
Disebabkan hal ini juga, Perjanjian London 1852 telah dimansuhkan. Apabila peristiwa ini berlaku, perimbangan kuasa di Eropah turut berubah. Ini telah menyebabkan juga kuasa lain kurang setuju dengan perkembangan ini. Hal ini demikian kerana mereka terikat dengan hal masing-masing untuk bertindak balas secara terus. Contohnya, Russia. Russia pada asalnya mengamalkan dasar berkecuali. Prusia telah berjanji untuk membantu Rusia sekiranya bangsa Pole yang berada di Russia akan memberontak. Rusia turut bimbang jikalau Britain dan Perancis akan membantu untuk menghapuskan pemberontakan bangsa Pole di Russia. Apabila Rusia mengamalkan dasar berkecuali ini, ianya menunjukkan bahawa Russia mementingkan diri sendiri dan tidak mempunyai kesepakatan dengan kuasa-kuasa Eropah. Bismarck mengambil kesempatan ke atas kerapuhan kuasa-kuasa Eropah pada masa itu.[11]
Maka dengan itu, Bismarck menggunapakai pemikiran ala Machiavelli untuk menjaga kepentingan Jerman.

2.3 PERANG AUSTRIA-PRUSIA
            Ekoran daripada Perdamaian Vienna di mana daerah Schleswig-Holstein di bawah pemerintahan bersama Prusia dan Austria. Kedua-dua buah negara tidak bersefahaman dalam urusan pemerintahan daerah tersebut. Namun begitu, masalah itu dapat diselesaikan melalui Konvensi Gastein. Kandungan Konvensi Gastein mengatakan bahawa Holstein diletakkan di bawah Austria manakala Schleswig diserahkan kepada Prussia. Namun ianya tidak kekal. Hal ini demikian kerana Bismarck mengambil tempat untuk mengatasi masalah ini dengan membuat pakatan sulit dengan Itali dan Perancis untuk menenteng Austria. Pakatan ini mengalami kegagalan. Namun kegagalan ini tidak mematahkan semangat Bismarck untuk membuat strategi yang seterusnya.
            Pada 28 Februari 1866, Bismarck sekali lagi mencuba nasib untuk mendapatkan sokongan dari Raja Prusia untuk mengadakan pakatan sulit dengan Itali. Beliau meramalkan bahawa peperangan di antara Prusia dan Austria tidak dapat dielakkan. Putera Mahkota Prusia tidak bersetuju dengan rancangan Bismarck. Hal ini demikian kerana ketua-ketua tentera telah memihak kepada Bismarck dan raja. Di samping itu, pada tahun 1866 seorang wakil Itali telah datang ke Berlin. Hal ini telah menyebabkan perjanjian sulit di antara Prusia dan Itali termaktub. Dalam perjanjian tersebut, Prusia tidak terikat untuk melakukan perang terhadap Austria. Sekiranya Prusia berperang dengan Austria maka Itali terpaksa menurutinya.
            Syarat Itali untuk mengikuti Prusia berperang akan dimansuhkan sekiranya Prusia tidak melancarkan peperangan dalam masa tiga bulan. Pakatan sulit antara Prusia dan Itali telah menjejaskan hubungan di antara Austria dan Prusia. Dari sudut pihak Austria, mereka telah menduga bahawa sesuatu yang tidak diingini akan berlaku dan tercetusnya peperangan di antara Prusia dan Austria.[12]
            Tindakan yang dilakukan oleh Bismarck sebenarnya merupakan sesuatau yang tidak wajar. Hal ini demikian kerana perkara ini melibatkan politik dan hubungan antarabangsa di Eropah yang menjadi tidak stabil. Namun begitu, Bismarck tidak pernah rasa bersalah dalam segala tindakan yang dilakukannya. Tindakan yang dilakukan oleh Bismarck telah menimbulkan pensengketaan antara kedua-dua pihak iaitu Prusia-Itali dan Austria. Bismarck sememangnya mahir dalam memutarbelitkan keadaan sekaligus mengakibatkan kedua-dua pihak bermusuhan. Menurut Bismarck ianya merupakan sesuatu yang dibanggakan olehnya kerana berjaya memecahbelahkan kedua-dua pihak tersebut.

2.4 PEMBENTUKAN EMPAYAR JERMAN 1871
Perang antara Perancis dan Prusia berakhir apabila Perancis telah kalah. Pada 28 Januari 1871, genjatan senjata telah diadakan. Pada 10 Mei 1871, Perjanjian Frankkfurt telah ditandatangani. Perancis telah menyerah wilayah Alasce dan Lorraine kepada Jerman dan membayar ganti rugi sebanyak lima billion franc.[13] Bismarck berjaya menyatukan Jerman setelah beberapa siri peperangan berlaku. Menurut Bismarck berkata, “without me, three great wars would not had happened and 80,000 men could not have perished.”[14]
Oleh itu, penyatuan Jerman merupakan usaha Bismarck dengan menggunakan dasar real politik untuk mengatur strateginya. Pada 18 September 1871, Konfederasi Jerman diidytiharkan di Versailes. Raja Prusia iaitu William I telah dilantik sebagai Maharaja. Beliau bimbang bidang kuasanya di Prusia akan berkurangan. Bismarck pula dilantik menjadi Canselor Reich. Kuasa dalam Kemaharajaan Jerman atau Reich telah diletak pada Prusia. Kuasa itu berada di tangan Bismarck. Maka tempoh pemerintahan Bismarck dari tahun1871-1890 telah dikenali sebagai zaman Bismarck dan Bismarckia.[15] Reich ini ialah badan parlimen yang terdapat di Prusia. Dalam parlimen terdapat dua dewan iaitu Dewan Rakyat  (Reighstag) manakala Dewan Negara (Bundesrat).[16]

2.1  UNDANG-UNDANG TENTERA DAN KULTURKAMPF
Bismarck telah membentangkan Rang Undang-Undang tentera. Namun ianya perlu meminta kebenaran daripada Reichstag. Disebalik undang-undang itu, Bismarck berhasrat untuk menghapuskan pengaruh Reichstag ke atas hal ehwal tentera buat selama-lamanya.[17] Kandungan dalam rang undang-undang ini, jumlah tentera seharusnya melebihi 400,000 orang. Ia juga mencadangkan bahawa jumlah tentera seharusnya dipadankan dengan jumlah rakyat Jerman. Di samping itu, Bismarck turut menggugut untuk mengadakan pilihan raya sekiranya Reichstag dipengaruhi oleh puak liberal berhaluan kiri yang menenteng rang undang-undang ini. Puak liberal akhirnya bersetuju dan menerima penetapan jumlah tentera untuk tempoh masa tujuh tahun sahaja. Hal ini telah menyebabkan pemansuhan hak mutlak Diet untuk menentukan belanjawan dan jumlah tentera. Diet di Jerman perlu ditukar setiap tiga tahun sekali. Semua Parti Liberal Kebangsaan bersetuju dengan rang undang-undang ini dijadikan sebagai dasar kerajaan. Golongan ini cuba mendapatkan faedah dari Bismarck sebagai balasan.
            Dasar kulturkampf telah mendapat sokongan daripada golongan Liberal Kebangsaan. Dasar ini berkaitan dengan aspek kebudayaan atau “perang budaya” yang dianjurkan untuk membebaskan soal politik dan pentadbiran negara daripada pengaruh dan kawalan agama. Hal ini demikian kerana pengaruh agama begitu berpengaruh dalam aspek politik dan pentadbiran negara. Maka, Bismarck memperkenalkan dasar ini untuk menyingkirkan pengaruh agama dalam politik dan pentadbiran negara yang membantutkan polisi kenegaraan yang dirangka. Dasar ini diperkenalkan dengan tujuan untuk memerangi pengaruh mazhab Katolik. Hal ini sangat bersesuaian dengan tindakan Bismarck yang memansuhkan bahagian Katholik yang terdapat dalam Kementerian Hal-Ehwal Agama dan Pelajaran.[18]
            Menurut pendapat Bismarck, bahagian tersebut telah digunakan oleh pihak gereja untuk mempengaruhi pentadbiran kerajaan. Pada bulan Mac 1872, kawalan pihak gereja terhadap sekolah-sekolah dihapuskan. Pada asalnya, pentadbiran sekolah dan gereja diletakkan di bawah urusan negeri bukannya urusan kerajaan pusat. Bagi Bismarck, hal ini kurang menyenangkan. Hal ini demikian kerana Bismarck tidak dapat mengawasi golongan agama yang tidak bersetuju dengan dasar yang dilakukannya. Golongan Konservatif di Jerman tidak bersetuju dengan dasar Bismarck yang mengambil alih pentadbiran sekolah dan gereja. Undang-undang Mei 1873 digubal disebabkan beberapa pertelagahan antara Bismarck dengan golongan Katholik ini. Perkara utama yang dilakukan oleh Bismarck ialah memindahkan kekuasaan Paus dalam soal kehakiman dan disiplin ke atas golongan Katholik kepada pihak kerajaan. Lima pihak Paus di Rom mengisytiharkan segala perundangan mengenai agama Katholik di Jerman adalah tidak sah. Bismarck telah menyekat segala bentuk bantuan yang disalurkan kepada gereja sehingga para biskop bersedia untuk menerima undang-undang kerajaan.
            Selain itu, Bismarck mahu jumlah tentera ditambahkan untuk menjaga keamanan Jerman daripada sarangan luar. Bismarck dan puak liberal mahu soal politik dan pentadbiran negara bebeas dari pengaruh dan kawalan agama melalui dasar kulturkampf ini.[19] Sebenarnya, pendirian mereka merupakan rentetan daripada arus sekuralisme yang sudah tercetus semasa Revolusi Perancis. Bismarck juga menyatakan bahawa pertikaian di antara kerajaan dan pihak gereja sememangnya telah lama berlaku sejak Maharaja Henry IV dan Paus Gregory III. Bismarck dengan lantang menyatakan dalam Reichstag bahawa mereka tidak akan mengulangi pertikaian yang berlaku antara kerajaan dan gereja.
Bismarck juga telah menuduh Parti Tengah sebagai “bateri” yang menjahanamkan negara dengan menyamakan parti itu dengan Parti Demokratik Sosial.[20] Bismarck turut menyatakan pendapat bahawa kedua-dua parti tersebut menentang pembangunan negara menerusi cara memerangi rakyat dan negara.

2.2  TARIF DAN UNDANG-UNDANG ANTI SOSIALIS
Puak liberal telah gagal dalam memanfaatkan kesepakatan mereka dengan Bismarck dalam kes dasar tarif bebas. Sebelum tahun 1877, Bismarck telah mengamalkan dasar ekonomi bebas. Namun begitu, dasar ini dibenci oleh golongan tuan tanah kerana mereka mengalami tekanan ekonomi akibat mereka perlu bersaing dengan negara asing.[21] Hal ini demikian kerana golongan bangsawan Jerman merupakan pengeksport utama bijiran. Mereka memperoleh keuntungan sebelum tahun 1877 mealui dasar ini. Pada tahun 1870-an, Jerman mengalami kekurangan bijiran untuk keperluan dalam negeri sendiri.[22] Maka dasar ini dimansuhkan dalam tahun 1870-an. Kesannya, tidak menjejaskan ekonomi Jerman serta melindungi industri-industri di Jerman dari segi persaingan barang import.
Sebelum dirombak dasar ekonomi bebas, Bismarck telah bertemu dengan ketua Parti Liberal Kebangssan, Rudolf von Benningsen. Benningsen ditawarkan jawatan naib canselor dan menteri dalam kabinet Prusia. Sebenarnya motif Bismarck adalah untuk memastikan golongan sayap kanan Parti Liberal Kebangsaan akan menyokong dasar ekonomi tersebut. Pada Benningsen pula, beliau mahukan dua orang rakannya dari sayap kiri Parti Liberal Kebangsaan diberikan jawatan. Namun begitu, Bismarck tidak mengendahkannya.
Pada tahun 1878, Bismarck telah membentangkan Rang Undang-Undang Anti Sosialis di Reichstag. Rang undang-undang ini telah dibantah oleh Parti Liberal Kebangsaan. Berdasarkan undang-undang ini, kerajaan boleh menyekat atau mengharamkan sebarang persatuan, perjumpaan dan penerbitan Parti Demokratik Sosial, sosialis dan komunis. Kerajaan juga boleh menyekat kebebasan berpolitik di daerah yang berpotensi untuk menenteng Bismarck.
Apabila undang-undang ini dilaksanakan, ianya boleh dikatakan Berjaya menghapuskan semua institusi Parti Demokratik Sosial. Institusi ini terlibat dalam penerbitan surat khabar dan percetakan dan kesatuan sekerja. Kesannya, terdapat 900 orang telah diusir dari rumah dan 1500 orang dipenjarakan.
Parti Liberal Kebangsaan tidak bersetuju dengan dasar dan matlamat politik golongan sayap kiri serta tindakan Bismarck yang menyekat kegiatan politik. Hal ini demikian kerana ianya bertentangan dengan prinsip liberal. Pada tahun 1878, satu pilihan raya diadakan. Parti Liberal Kebangsaan kehilangan 30 buah kerusi dan Parti Progresif 10 buah kerusi. Sebaliknya, Parti Konservatif bebas Berjaya menambahkan bilangan kerusi dari 78 ke 115 buah kerusi. Pihak kerajaan juga gagal mendapatkan suara majoriti di Reichstag. Hal ini demikian kerana penyokong Parti Konservatif tidak melebihi jumlah kerusi parti lain. Kebanyakan calon Parti Liberal Kebangsaan yang menang telah memberikan manifesto kepada para pengundi untuk menyokong Bismarck dalam tindakan anti sosialisnya. Maka tidak hairanlah, Rang Undang-Undang Anti-Sosialis yang dibentangkan oleh Bismarck pada bulan September 1878 telah diluluskan dengan mudah. Parti-parti Konservatif pula menyokong penuh dengan usul Bismarck. Parti Demokratik Sosial, PartiTengah Katholik dan Parti Progresif menenteng usul Bismarck. [23]

3.0  DASAR LUAR NEGERI SEMASA PEMERINTAHAN BISMARCK
3.1  PENGASINGAN PERANCIS
Selepas tahun 1871, Bismarck telah membuat pakatan dengan negara Eropah yang lain. Hal ini berkait rapat dengan akibat peperangan Perancis-Jerman. Perancis terpaksa menyerahkan wilayah Alasce dan Lorraine kepada Jerman.[24] Perancis telah mentabir daerah Alasce dan Lorraine selama dua abad. Pada asalnya daerah Alasce dan Lorraine di bawah pemerintahan Jerman. Namun ianya dirampas oleh Perancis dengan cara kekerasan. Bismarck merampas kembali wilayah tersebut bukanlah untuk membangkitkan sentimen Jerman. Hal ini demikian kerana Bismarck mengetahui wilayah Alasce dan Lorraine sudah begitu sebati dengan adat resam Perancis.
Bismarck merampas kembali Alasce dan Lorraine. Hal ini disebabkan soal ketenteraan dan kedua-dua wilayah itu sangat penting bagi pertahanan Jerman untuk menghadapi kemungkinan serangan yang datangnya dari Perancis.[25] Untuk mengatasi masalah ini, Bismarck telah mencorakkan satu dasar untuk mengasingkan Perancis. Bismarck tahu mereka akan membalas dendam terhadap Jerman. Bismarck dengan liciknya mengkehendaki kuasa-kuasa besar lain mengambil pendirian untuk berkecuali jika tercetusnya peperangan di antara Perancis dengan Jerman. Atas dasar itu, Bismarck mula merapatkan Jerman dengan kuasa-kuasa besar Eropah yang lain yang mungkin akan menjadi sekutu Perancis. Sekiranya Perancis menjadi sekutu Russia, maka Bismarck akan mengalami kekalahan.
Bismarck dilihat sebagi seorang yang sanggup melakukan sesuatu demi mencapai matlamat yakni ianya merupakan suatu kepuasan kepada beliau sekiranya matlamat tersebut tercupai. Dasar realpolitik itu ternyata sudah menjadi prinsip dalam kehidupannya. Contohnya, Bismarck menggunapakaikan dasar realpolitik di mana situasi pengasingan Perancis. Beliau menggunakan dasar ini untuk mengalahkan Perancis sehingga daerah Alasce dan Lorraine telah dirampas kembali. Akhirnya Jerman berjaya disatukan.[26]

3.2  PERJANJIAN INSURANS BERLAPIS
Semasa tahun 1887, Bismarck masih meneruskan usaha untuk mengekalkan kestabilan politik di Eropah. Insiden ini bermula apabila Maharaja Russia enggan memperbaharui Liga Tiga Maharaja. Liga ini sepatutnya diperbaharui pada tahun 1887.[27] Liga Tiga Maharaja dikaitkan dengan konflik di antara Jerman (Bismarck), Russia dan Austria-Hungary. Sebenarnya Bismarck ingin mengelakkan keadaan yang akan memaksanya untuk memilih sama ada perlu memihak kepada Austria-Hungary atau Russia.[28] Namun Bismarck tidak berputus asa. Liga Tiga Maharaja telah digantikan dengan Perjanjian Insurans Berlapis. Perjanjian ini ditandatangani pada 18 Jun 1887 oleh pihak Jerman dan Russia. Perjanjian ini diwujudkan kerana menghidupkan semula peruntukan yang terdapat dalam Liga Tiga Maharaja. Austria-Hungary tidak lagi termasuk dalam perjanjian ini. Perjanjian ini sejajar atau tidak dengan peruntukan yang terdapat dalam Ikatan Dua Kuasa dan Ikatan Tiga Kuasa.[29] Hal ini demikian kerana Jerman sepatutnya membantu Austria-Hungary jika ia diserang oleh Russia. Dalam Perjanjian Insurans Berlapis, Jerman terpaksa meneruskan dasar berkecuali sekiranya Austria-Hungary yang bersalah. Ini menunjukkan seolah-olah Austria-Hungary “dikhianati” oleh Jerman kerana tidak menandatangani Perjanjian Insurans Berlapis bersama Russia.[30]
Jika diimbas kembali, Ikatan Dua Kuasa iaitu Jerman dan Austria-Hungary telah bersekutu. Oleh itu, peruntukan yang terdapat dalam Ikatan Dua Kuas terhapus sebegitu sahaja disebabkan tindakan Jerman yang berpaling tadah dari Austria-Hungary. Sekiranya Austria-Hungary mengetahui akan perjanjian ini, meraka akan berasa ditipu dan dikhianati oleh kawan baiknya, Jerman.
Berdasarkan daripada tindakan ini, Bismarck akan menyebelahi pihak yang memberikan kepentingan kepada beliau. Pada luarannya, ianya lebih kepada kepentingan negara Jerman itu sendiri. Perjanjian yang ditandatangani oleh Bismarck adalah sulit dan rahsia. Ianya dilakukan di antara negara yang mempunyai kuasa yang kuat. Analoginya seperti sebuah drama yang dimana pelakon utamanya ialah Jerman. Pelakon utamanya dibantu oleh Austria-Hungary dan Russia dianggap hanya sekadar watak sampingan sahaja dalam merealisasikan cita-cita Bismarck. Bismarck akan terus memburu kestabilan politik di Eropah kerana beliau cuba menjaga kestabilan politik di Jerman dengan membuat dasar berbaik-baik dengan kuasa Eropah yang dilihat sebagai berpotensi mengancam Jerman. Ramai ahli sejarah berpendapat bahawa tindakan Bismarck ini telah memulakan proses yang menjatuhkan kualiti diplomasi di Eropah. Kesannya, wujudnya rasa syak wasangka dalam kalangan negara Eropah. Bismarck menerapkan pendekatan realpolitik maka tidak hairanlah Bismarck sanggup melakukan apa sahaja demi kepentingan beliau dan negara Jerman. 

4.0  SUMBANGAN DASAR REALPOLITIK BISMARCK DALAM PENYATUAN JERMAN
Dasar realpolitik menekankan bahawa perlu menghalalkan semua cara untuk mencapai matlamat dan kepentingan nasional negara Jerman dari aspek kestabilan politik, ekonomi dan keamanan. Ramai sarjana Eropah seperti Simon, Erick Eyck, Medlicott, dan A.P. Taylor membincangkan mengenai peribadi dan kepimpinan Bismarck. Rata-ratanya memberikan pandangan yang berbeza. Contohnya, Medlicott tidak berkenaan langsung dengan pentadbiran Bismarck yang mengamalkan dasar realpolitik sama ada di dalam mahupun di luar Jerman. Menurut beliau lagi, Bismarck merupakan seorang yang bijak, licik dan pandai mengatur strategi dalam memimpin Jerman dengan menerapkan dasar realpolitik. Selepas tahun 1871, dasar luar negeri Bismarck tidak membuktikan bahawa beliau seorang pencinta keamanan yang asli. Bismarck juga sedar bahawa peperangan bukanlah senjata digunakan untuk memperteguhkan kedudukan Jerman.[31]
            Dasar ini juga dilihat mempunyai keberkesanan dalam pemerintahan Bismarck. Ini dapat dibuktikan Jerman telah berjaya meletakkan dirinya standing dengan kuasa-kuasa kuat Eropah yang lain. Contohnya, peristiwa pengasingan Perancis. Bismarck sememangnya bergiat untuk mengadakan pakatan yang bersifat sulit dan rahsia dengan negara Eropah yang lain. Peristiwa ini merupakan rentetan daripada Peperangan Perancis-Jerman 1871. Disebabkan hal itu, Perancis telah kalah. Perancis juga terpaksa menyerahkan wilayah Alasce dan Lorraine kepada Jerman. Bagi Bismarck, kedua-dua wilayah ini penting kerana dapat mempertahankan Jerman. Jerman berusaha merapatkan diri dengan kuasa-kuasa Eropah yang lain bagi menyingkirkan Perancis. Jika dilihat isu seperti Perang Prusia-Perancis disebabkan Bismarck telah mendedahkan surat yang ditulis oleh Perancis kepada negara lain. Hal ini telah menyebabkan negara Eropah yang lain memberi tanggapan terhadap Perancis sebagai kuasa yang agresif. Walhal Bismarck sendiri yang menyuruh Perancis yang menulis surat tersebut. Jelaslah menunjukkan Bismarck mempunyai cita-cita untuk menyingkirkan Perancis daripada tergolong bersama kuasa-kuasa kuat Eropah yang lain. Bismarck tahu kemampuan Perancis dalam peperangan. Melalui peristiwa itu, Bismarck telah berjaya mengeksploitasi keadaan yang menyebabkan Perancis dipandang hina oleh negara lain. Kesannya, Jerman berjaya menempatkan diri dalam kuasa-kuasa kuat Eropah.[32]
            Selain itu, Bismarck juga berjaya menyatukan wilayah-wilayah di Jerman. Malah dalam sejarah Jerman sendiri, Bismarck dianggap sebagai tokoh yang berjaya mengukir kejayaan dengan menyatukan Jerman pada 28 Januari 1871 dan Perjanjian Frankfurt ditandatangani pada 10 Mei. Dalam perjanjian tersebut, Perancis telah menyerahkan daerah Alasce dan Lorraine kepada Jerman dan membayar rugi sebanyak lima billion franc. Dalam penyatuan tersebut, negeri-negeri Jerman Selatan dibawa masuk oleh Bismarck ke dalam konfederasinya iaitu Bavaria, Baden, dan Wurttemberg.[33] Pada tahun 1870, semangat liberal dan nasionalisme begitu kuat sekali sehinggakan negeri-negeri Jerman Selatan terheret untuk turut serta dalam peperangan melawan Perancis dalam Perang Perancis-Jerman. Penyatuan ini merupakan satu kebanggaan bagi Bismarck. Hal ini demikian kerana tiada seorang pemimpin yang berjaya untuk menyatukan Jerman. Kejayannya berkait rapat dengan dasar yang diamalkan oleh Bismarck iaitu realpolitik. Keazaman Bismarck untuk menyatukan Jerman kerana dasar realpolitik yang diamalkan kerana dasar tersebut sememangnya menghalalkan apa jua cara untuk mencapai matlamat demi kepentingan Negara Jerman sendiri.

5.0  RUMUSAN
Kebangkitan semangat kebangsaan rakyat Jerman menyimbang kepada kestabilan pemerintahan Bismarck. Dasar realpolitik dalam pentadbiran Bismarck dilihat mempunyai keberkesanan kerana ia telah menyatukan Empayar Jerman. Empayar Jerman muncul sebagai kuasa yang kuat dan digeruni. Namun begitu terdapat lompong di sebalik pelaksanaan dasar ini yang tidak dilihat oleh Bismarck sendiri. Isu-isu kemanusiaan kurang dititikberatkan oleh Bismarck semasa pemerintahan beliau. Hal ini telah menimbulkan kritikan terhadap Bismarck. Pada zahirnya, peribadi Bismarck sangat menjengkelkan dan sangat dibenci namun beliau mempunayi cita-cita yang tinggi untuk menjamin unsur konsisten di dalam politik Bismarck dan keselamatan serta keamanan empayar Jerman.
            Beliau meletakkan jawatannya pada tahun 1890, pentadbiran Jerman berada dalam keadaan tidak stabil sehingga tercetusnya Perang Dunia Pertama. Jawatannya diambil alih oleh William II. Semasa pemerintahan William II pentadbiran Jerman berada dalam keadaan kucar kacir dan akhirnya menyebabkan Jerman terlibat sama dalam Perang Dunia Pertama pada tahun 1914.

BIBILIOGRAFI
E.Kersten, Gustaf. Bismarck. The Journal of English and Germanic Philology. Vol.7 (2) (1908) :85-101
Eyck,Erick. Bismarck and The German Empire. London: Unwin University Books,1968.
Geiss, Imanuel. German Foreign Policy:1871-1914.  London: Routledge and Kegan Paul.London,1976.
Holborn, Hajo. “Bismarck‟s Realpolitic”. Journal of The History of Ideas. Vol.21 (1) (1960) : 84-98.
Medlicott,W.N. Bismarck and Modern Germany.London: The English Universities Press.Ltd.,1965.
Merriman, John. A History of Modern Europe: From the French Revolution to the Present. United States:  Norton, W. W. & Company, Inc, 1996.
Passant, E.J.. Short History of Germany 1815-1945. Britain: Cambridge University Press,1969.
Peacock, Herbert L.. A History of Modern Europe:1789-1978. Britain: Heinemann Educational Books Ltd.,1958.
Pflanze, Otto. Bismarck and The Development of Germany: The Period Of Unification,1815-1871.United States of America: Princeton University Press,1971.
Qasim Ahmad. Eropah Moden: Arus Sosiopolitik dan Pemerintahan. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka,1985.
Ramage, B.J.. “Prince Bismarck and The German Unity.” The Sewanee Review. Vol.7 (1999) : 444-468.
Sloane, William M..Bismarck as a Maker of Empire. Political Science Quantely. Vol.15(4) (1900):647-666.

[1] W.N.Medlicott,Bismarck and Modern Germany,(London: The English Universities Press.Ltd.,1965),1
[3] Erick Eyck, Bismarck and The German Empire, (London: Unwin University Books,1968).127
[4] Qasim Ahmad, Eropah Moden: Arus Sosiopolitik dan Pemerintahan, (Kuala Lumpur:  Dewan Bahasa dan Pustaka,1985),158
[5] Ibid.,155
[6] Hajo Holborn, “Bismarck‟s Realpolitic”, Journal of The History of Ideas, Vol.21 (1) (1960): 84-98
[7] Qasim Ahmad, Eropah Moden: Arus Sosiopolitik dan Pemerintahan,154
[8] Ibid., 157
[9] John Merriman, A History of Modern Europe: From the French Revolution to the Present, (United States: Norton, W. W. & Company, Inc ,1996), 715
[10] Qasim Ahmad, Eropah Moden: Arus Sosiopolitik dan Pemerintahan, 157
[11] Ibid., 159
[12] Ibid.,160
[13] Ibid.,160
[14] Erick Eyck, Bismarck and The German Empire, 174
[15]. E.J.Passant, Short History of Germany 1815-1945, (Britain: Cambridge University Press.Britain.1969),85
[16] Ibid.,85
[17] E.J.Passant, Short History of Germany 1815-1945, 89
[18] Ibid.,89
[19] William M.Sloane,Bismarck as a Maker of Empire, Political Science Quantely, Vol.15(4) (1900):647-666.
[20] Imanuel Geiss, German Foreign Policy:1871-1914, (London: Routledge and Kegan Paul,1976),8.
[21] Herbert L. Peacock, A History of Modern Europe:1789-1978, (Britain: Heinemann Educational Books Ltd., 1958),192
[22]  Imanuel Geiss, German Foreign Policy:1871-1914, 9
[23] Erich Eyck, Bismarck and The German Empire, 202
[24] B.J. Ramage, “Prince Bismarck and The German Unity,” The Sewanee Review, Vol.7 (1999) : 444-468.
[25] Otto Pflanze, Bismarck and The Development of Germany: The Period Of Unification,1815-1871, (United States of America: Princeton University Press,1971),477 
[26] Herbert L. Peacock, A History of Modern Europe:1789-1978, 193.
[27] Erich Eyck, Bismarck and The German Empire, 188
[28] Imanuel Geiss, German Foreign Policy:1871-1914, 26
[29] Qasim Ahmad, Eropah Moden: Arus Sosiopolitik dan Pemerintahan,196
[30] Ibid.,196
[31] W.N. Medlicott, Bismarck and Modern Germany, 169
[32] Qasim Ahmad, Eropah Moden: Aruspolitik dan Pemerintahan, 183

No comments:

Post a Comment