Saturday, 19 May 2018

KONSEP PUSINGAN WANGSA DAN KEMUNCULAN, PERKEMBANGAN DAN KEHANCURAN WANGSA MING


1.0  PENGENALAN
Peradaban China memperlihatkan beberapa kelainan. Antaranya, kebudayaan yang agak nyata dan kadar kesinambungan sejarah yang tiada tolok bandingnya. Perubahan yang berlaku di China tetapi dengan kekecualian-kekecualian kecil merupakan gerak penyesuaian mengembalikan kekuatan diri dan mengukuhkan semula asas dan teras peribadi yang diwarisi. Corak perkembangan yang sama berlaku dalam bidang penulisan sejarah atau pensejarahannya.[1] Maka terciptalah pensejarahan China. Pensejarahan China terbahagi kepada dua fasa, iaitu fasa moden dan fasa tradisional. Oleh sebab itu, pensejarahan China tradisional mempunyai satu kitaran yang dikenali sebagai Pusingan Wangsa. Sebagai contoh, Wangsa yang bermula pada zaman China tradisional ialah Wangsa Shang dan berakhir pada zaman Wangsa Qing.[2]
            Menurut Abdul Rahman Haji Ismail mengatakan bahawa kitaran sejarah adalah satu gagasan yang pernah mempengaruhi penanggapan ahli-ahli sejarah tentang pola dan perjalanan sejarah.  Selain itu, sejarawan Yunani seperti Thucidides (471-400 SM) dan Polybius (197-117SM) berpendapat bahawa pusingan sejarah merupakan sesuatu keadaan sentiasa berulang sehingga selesai satu pusingan sejarah  seterusnya akan bermulalah satu pusingan sejarah yang baru. Walau bagaimanapun, tanggapan ini tenggelam di Eropah kerana perkembangan pengaruh agama Kristian. Secara keseluruhannya, gagasan kitaran sejarah tidak pernah meninggalkan kesan yang mendalam dalam pensejarahan Eropah. Hal ini berbeza dengan pensejarahan China. Buktinya, pusingan wangsa merupakan satu corak gagasan kitaran sejarah dan acuan kepada pensejarahan tradisionalnya. Pusingan ini menjadi penggerak kepada kesedaran sejarah dan kegiatan pensejarahannya.[3]
            Seterusnya, penulis akan mengupas dengan lebih terperinci mengenai konsep pusingan wangsa dalam pensejarahan China tradisional dengan bersertakan contoh wangsa yang sesuai. Dalam esei ini penulis memilih wangsa Ming.
2.0  KONSEP PUSINGAN WANGSA
Pusingan wangsa adalah gagasan yang tidak dapat ditembung oleh setiap orang yang mengkaji sejarah China tradisional. Ianya dilahirkan oleh pandangan alam yang menyakini adanya keselarasan di antara kitaran alam cakerawala dengan alam manusia. Hal ini dapat dirumuskan bahawa setiap kerajaan atau wangsa atau dinasti yang berkuasa di China telah menguasai seluruh masyarakat manusia. Pusingan wangsa ini terpaksa melalui suatu pola yang berulang. Setiap wangsa melalui proses kelahiran, perkembangan, kegemilangan dan kejatuhan wangsa. Seterusnya wangsa baharu akan mengalami proses kitaran yang sama.
            Wang Chung (270-100 SM), seorang cendekiawan terkemuka pada zaman Han berpendapat bahwa,
“Setiap zaman ada peringkat kemakmuran dan peringkat keruntuhannya. Yang kemudian itu(peringkat keruntuhan) bila berlanjutan, akan membawa kepada kemusnahan. Keadaannya adalah seperti pakaian atau makanan: ketika mula-mula dibuat(pakaian itu) segar dan padat, tetapi setelah diguna buat seketika ia lusuh; ketika baru dimasak(makanan itu) harum dan bersih, tetapi selepas beberapa hari ia busuk”.[4]

            Selain itu, Ssu-ma Ch’ien, ahli sejarah China terulung dalam bukunya Shih Chi memberi penekanan yang berbeza sedikit daripada Wang Chun iaitu,
Kerajaan wangsa Hsia terkenal dengan kejujuran, yang setelah masa berlalu, merosot sehingga orang durjana menukarnya menjadi sesuatu yang reput. Maka, para penganjur Shang yang mengganti Hsia memperbaiki kecacatan ini dengan amalan cinta hormat. Tetapi cinta hormat merosot sehingga orang durjana menjadikannya suatu kegiatan bertahayul terhadap roh. Maka, para penganjur selepasnya memperbetulkan kesilapan ini dengan kehalusan dan peraturan. Tetapi kehalusan juga merosot sehingga di tangan orang durjana ia menjadi omong-omongan. Maka,yang diperlu untuk mengubah omong-omongan. Maka, yang diperlu untuk mengubah omong-omongan ini ialah pengembalian kepada kejujuran, kerana jalan yang dilalui tiga wangsa purbakala itu adalah itu adalah seperti suatu pusingan, yang apabila telah berakhir, mesti bermula semula.[5]

Alam mempengaruhi politik dan kepercayaan China. Buktinya, mereka percaya raja merupakan ketua utama negara adalah Putera T’ien (T’ien-tzu). Raja dianugerahi mandat memerintah (t’ien-ming) oleh T’ien. T’ien merupakan kuasa teragung untuk memimpin manusia dalam kesentosaan. Tien-ming seharusnya diberikan kepada raja yang berwibawa dan berkaliber dalam kalangan manusia. Ini merupakan satu amanah yang dianugerahkan oleh raja yang berwibawa. Sekiranya amanah ini dicabuli atau dikhianati maka anugeraha ditarik balik dan dianugerahkan kepada T’ien-tzu yang baru pula.  Bekas T’ien-tzu dilucutkan kedudukannya. Menurut kata Mengtzu (Mencius), seorang pelopor aliran Kungfutzu,
“Yang mengakuri T’ien akan kekal, yang mencanggahi T’ien akan punah.”
Natijah daripada tanggapan di atas jelaslah menunjukkan bahawa raja yang berjaya adalah raja yang direstui T’ien. Menurutnya lagi, “Raja yang gagal adalah raja yang didurjanainya. Orang yang mendakwa diri sebagai penerima mandat itu sendirilah sebenarnya. Bukanlah T’ien yang memendekkan hidup manusia; mereka sendiri yang menamatkannya.”
Buku 6, Shu Ching pada bahagian keempat menyatakan bahawa seorang penasihat raja iaitu I Yin menasihatkan rajanya iaitu pengasas wangsa Shang dipetik sebagai berkata:
Adalah sukar untuk bergantung kepada T’ien; perlantikannya tidaklah tetap. Kalau kebaikkannya tidak tetap, dia akan mengekalkan takhtanya; kalau kebaikkannya tidak tetap, dia akan hilang kesembilan-sembilan wilayah(kerajaanya). Raja Hsia yang akhir tidak dapat mengekalkan kebaikan(nenek moyangnya), tetapi menghina roh-roh dan memeras rakyat.T’ien tidak lagi memanjangkan perlindungannya kepadanya. T’ien melihat ke sekeliling ke seluruh pelusuk(dunia) untuk memberi petunjuk kepada seseorang yang patut menerima perlantikannya, yang gemar mencari kebaikan, yang dapat dijadikan raja segala roh. Kemudian muncullah I Yin dan T’ang. Kedua-duanya memiliki kebaikan yang hening dan dapat memuaskan hati T’ien. Dia(T’ang) mendapat kurniaan T’ien untuk menjadi pemilik hina-dina (seluruh rakyat) kesembilan-sembilan wilayah, dan maju mengubah tanggal permulaan Hsia (menggantikan Hsia). Bukanlah T’ien mempunyai apa-apa penyebelahan peribadi di sebelah Shang; dia hanya memberi kurnianya kepada kebaikan...Kebaikan dan kejahatan tidak secara salah mengenai manusia, tetapi T’ien menurunkan nestapa atau kegembiraan menurut gerak laku mereka.

            Hal ini menunjukkan gagasan t’en-ming dimahsyurkan oleh pengasas-pengasas wangsa Chou (1122 SM-156 SM). Pengasas-pengasas pada wangsa ini membenarkan dan menggalakkan wujudnya putaran atau kitaran yang setiap satunya mengundurkan diri apabila selesai pusingan wangsa dan seterusnya diberikan kepada wangsa yang baharu. Bangsawan Chou (Chou Kung) telah memberi nasihat kepada Wu, pengasas wangsa Chou iaitu “Kita hendaklah meninjau sungguh-sungguh wangsa Hsia dan Yin... Raja(Zhou) kini mewarisi mandat yang sama, saya kira, seperti yang dimiliki oleh kedua-dua wangsa itu.”
            Apabila menimbulkan keraguan mengenai masa depan Chou, Bangsawan Chou menambah, “Hendaklah raja dan menteri-menteri dengan sungguh-sungguh, dengan saling pengertian berikrar, “Kita telah menerima T’ien-ming, dan ia(wangsa Zhou) akan agung seperti Hsia(Xia) yang panjang usia; ia tidak akan gagal mencapai zaman yang panjang seperti Yin. Aku mendoakan Raja, melalui rakyat bawahannya, berpanjangan menerima mandat T’ien.”
            Masyarakat China telah merumuskan bahawa tiada satu wangsa yang kekal buat selama-lamanya. Mereka mengharapkan wangsa yang berkuasa itu terus menerus melakukan kebaikan dengan itu akan berpanjangan usia wangsa. Sekiranya tidak melakukan kebaikan, T’ien-tzu yang baru akan memusnahkannya. “Bukanlah aku yang berani memulakan pemberontakan, tetapi disebabkan oleh jenayah-jenayah raja Hsia, T’ien telah menugaskan aku menghancurkan mereka,” dakwa T’ang, pengasas wangsa Shang (Yin). Wangsa ini berkuasa sebelum wangsa Chou (1766 – 1122 SM) dalam usaha untuk mengesahkan kuasanya.
            Enam setengah abad kemudian, Wu, pengasas Chou (1122-256 SM) mengisytiharkan bahawa “Kedurjanaan (kezaliman) Shang telah melampaui batas. T’ien memerintahkan aku supaya memusnahkannya. Kalau aku tidak mentaati T’ien, maka kejahatanku adalah serupa besarnya...aku memimpin kamu melaksanakan hukuman yang ditugaskan T’ien.”
            Berdasarkan pernyataan di atas jelaslah menunjukann berakhirnya wangsa Shang dan bermulanya wangsa Chou. Alasan ‘Kehendak Kuasa Agung – T’ien’ maka berlakunya penggantian kepimpinan negara. Bertambah kukuhlah gagasan psuingan wangsa.
            Keyakinan terhadap Mandat T’ien (t’ien-ming) ialah kepercayaan orang China tradisional terhadap adanya perubahan sejarah manusia disebabkan berubahnya keadaan dan penggantian unsur kekuasaan yang ada pada alam itu sendiri. Wu Hsing antara kepercayaan paling mahsyur dalam kalangan orang China. Wu Hsing iaitu Lima Unsur atau Lima Penggerak terdiri daripada tanah, air, api, logam dan kayu(pokok). Unsur-unsur ini dianggap setiap satunya sebagai penaung, penggerak dan pencorak sesuatu zaman atau wangsa. Unsur penanung akan tamat sebaik sahaja pembentuk peribadi kerajaan telah tamat tempoh kekuasaannya. Wangsa baru dianggap berkuasa di bawah lindungan unsur yang baharu pula.
            Pendokong-pendokong Wu Hsing mempercayai bahawa unsur-unsur penggerak ini tidak boleh wujud serentak dengan paras kekuatan yang sama pada masa yang sama. Terdapat perbezaan dan pertentangan pendapat mengenai kaedah susunan giliran masing-masing. Ada yang menganggap bahawa unsur-unsur itu saling kuasa menguasai dengan aturan tanah yang dikuasai kayu, kayu dikuasai logam, logam dikuasai api, api dikuasai air, air dikuasai tanah dan begitulah seterusnya pusingan berulang semula. Di samping itu, ada juga berpendapat bahawa unsur-unsur itu lahir melahirkan antara satu sama lain dengan susunan tanah melahirkan logam, logam melahirkan air, air melahirkan kayu(pokok), kayu melahirkan api dan api melahirkan tanah... Berulanglah pusingan mengikut giliran yang sepatutnya. Dan terdapat aliran-aliran lain yang menyusunnya sesuai dengan keyakinan dan keperluan-keperluan mereka pula.
            Walau bagaimanapun, wangsa pencelah antara Han Awal (220 SM- 8 M) dan Han Kemudian (25 M – 220 M) iaitu Wang Mang telah mengambil kesempatan dengan mendakwa Mandat T’ien adalah miliknya. Selain itu, beliau mengakui bahawa dirinya berketurunan Maharaja Kuning (Huang Ti) yang dinaungi unsur tanah. Sebilangan besar golongan berpengaruh termasuk keluarga diraja Han mempercayainya kerana mereka percaya unsur api yang dipercayai sebagai penaung wangsa Han telah tamat. Maka dengan itu, istiadat pucuk pimpinan dipindahkan dari unsur api (Han) kepada unsur tanah (Hsin) mengikut kaedah pusingan unsur sekaligusnya terdapat penggantinya. Oleh itu, pusingan yang baru telah bermula.  
Menurut kaedah yang dimasyurkan oleh seorang pemikir zaman akhir Zhou, Tsou Yen(mati pada 270 SM) ini, giliran atau pusingan itu adalah berturutan seperti berikut: Raja Shun(dinaungi unsur Tanah), Raja Yu/wangsa Hsia(dinaungi unsur kayu), Raja T’ang/wangsa Shang(dinaungi unsur logam), Raja Wu/wangsa Zhou(dinaungi unsur api), Raja Ch’eng/wangsa Ch’in(dinaungi unsur air), Liu Pang/wangsa Han(dinaungi unsur tanah).[6]
Aspek penulisan dapat dilihat pada konsep pusingan wangsa. Menurut Abdul Rahman Haji Ismail mengatakan bahawa bagi tujuan politik, raja diakui sebagai sebagai benar-benar direstui oleh T’ien. Maka wangsa yang mengganti perlu berusaha bertungkus-lumus  menyusun sejarah wangsa yang diganti. Pengasas wangsa selalunya terdiri daripada orang bijaksana dan dikurniakan kefahaman yang baik terhadap masalah-masalah yang berlaku. Oleh sebab itu, mereka bekerja keras.
Chun tzu atau manusia sempurna, manakala pemerintah-pemerintah yang terakhir pula dikisahkan sebagai seburuk-buruk hsiaa-jen atau manusia kerdil yang durjana. Wangsa yang mengganti sememangnya telah diutuskan T’ien untuk menyelamatkan manusia daripada wangsa lama yang sudah tidak direstuinya lagi. Sesebuah wangsa tidak dianggap sempurna sekiranya wangsa tersebut tidak dapat menghasilkan kitab sejarah rasmi yang lengkap tentang kerajaan yang diganti. Penghasilan kitab wangsa yang diganti dapat mengesahkan tamatnya riwayat wangsa berkenaan dan sekali gus merasmikan kelahiran wangsa tersebut.
            Penamatan sejarah wangsa yang diganti menjadi lebih rasmi dan sah sekiranya para pegawai sarjana wangsa yang diganti sendiri terlibat menulis kitab sejarah menutup kisah tentang wangsa yang diganti.[7] Jelaslah konsep pusingan wangsa adalah berteraskan kepada perkara-perkara yang telah disebutkan di awalnya. Konsep ini diaplikasikan dalam contoh wangsa yang dipilih dalam pensejarahan China tradisional.
  
3.0  KEMUNCULAN, PERKEMBANGAN DAN KEHANCURAN WANGSA MING
3.1KEMUNCULAN WANGSA MING
Wangsa Ming berlangsung dari tahun 1368 hingga tahun 1644. Wangsa ini merupakan wangsa terakhir diasaskan oleh orang Han sendiri. Wangsa ini diasaskan apabila wujudnya keadaan yang bermasalah seperti peperangan, kebuluran, banjir dan kebangkitan orang Cina terhadap pemerintah orang Monggol iaitu Wangsa Yuan (tahun 1279 hingga tahun 1368). Kebangkitan orang China terhadap orang Monggol bermula pada tahun 1340-an lagi. Hal ini demikian kerana kemunculan beberapa pemimpin pemberontak yang mendakwa bahawa mereka memperoleh mandat dari syurga.[8]
Wangsa Ming ini diasaskan oleh Zhu Yuanzhang (Chu Yuan-chang). Beliau memerintah wangsa ini pada tahun1368 hingga tahun 1398. Beliau berasal daripada golongan rakyat biasa. Kisah beliau menjadi maharaja bermula apabila keluarga beliau telah meninggal dunia akibat kebuluran. Kemudian beliau mencari perlindungan di kuil Buddha. Beliau mula membaca dan menerima ajaran Confucius di kuil Buddha. Walau bagaimanapun kuil Buddha itu musnah kerana kebakaran. Ekoran daripada kebakaran iru, sami-sami Buddha melarikan diri ke tempat yang selamat untuk menyelamatkan diri masing-masing. Apabila beliau berusia 25 tahun, beliau menyertai kumpulan pemberontak. Dari situ bakat kepimpinannya terserlah. Ini terbukti beliau dan pengikutnya menguasai hilir Sungai Yangtze pada tahun 1364. Dari situlah beliau memakai gelaran Putera Wu. Pada tahun 1367, beliau berjaya menguasai keseluruhan Lembah Sungai Yangtze dan terus mara menguasai bahagian selatan melalui jalan laut.[9]
Di samping itu, beliau bijak mengambil kesempatan ke atas perpecahan orang Monggol dengan mengadakan misinya ke utara. Pada tahun 1368, tentera Chu Yuan-chang iaitu di bawah pimpinan Hsu Ta telah menyerang Cambaluc. Hasil daripada sarangan ini, pasukannya berjaya menawan Nanking iaitu ibu negeri wangsa Yuan.
Kemudiannya, beliau telah mengisytiharkan sebuah wangsa baru iairu wangsa Ming. Wangsa Ming membawa maksud “kebijaksanaan” atau “kegemilangan”. Pada peringkat awal penubuhan wangsa itu, Nanking dikekalkan sebagai ibu kota. Pada tahun 1421, Peking dijadikan sebagai ibu negeri wangsa Ming.[10]

3.2 PERKEMBANGAN WANGSA MING
3.2.1 EKSPEDISI MARITIM
         Maharaja Ming Cheng Zhu (1403-1424 T.M.) atau Maharaja Yong Le, telah menggalakkan dan menaja ekspedisi pelayaran secara besar-besaran. Buktinya, pada tahun 1403, beliau mengarahkan wilayah Fukien membina sebanyak 137 buah kapal laut. Pada tahun yang sama, beliau juga mengarahkan wilayah Soochow, Kiangsu, Kiangsi, Chekiang, Hunan dan Kwangtung untuk membina 200 buah kapal lagi. Pembinaan kapal diteruskan sepanjang tahun 1404 hingga tahun 1407. Dalam tempoh tersebut, sebanyak 1681 kapal berjaya dibina. Wilayah Longjiang dijadikan sebagai pusat pembinaan kapal yang terbesar.
        Aktiviti pelayaran bermula pada tahun 1405 hingga tahun 1433. Sepanjang tempoh ekspedisi pelayaran, terdapat tujuh ekspedisi kelautan telah dijalankan. Buktinya, pelayar-pelayar Cina telah sampai ke kawasan Asia Tenggara, India, Teluk Parsi, Aden, Hormuz sehingga ke kawasan pesisir pantai timur Afrika. Ekspedisi pertama, 62 buah kapal membawa 28 000 orang. Kapal yang terbesar mempunyai ukuran panjang kira-kira 138 meter dan lebar 56 meter. [11]
         Melalui ekspedisi ini jugalah, hubungan luar negeri terjalin. Ini dibuktikan bahawa pada zaman pemerintahan Maharaja Yong Le telah mengirimkan utusan ke pelbagai negeri. Hal ini bertujuan menghebahkan politik luar negeri dan membuka hubungan politik dengan negeri-negeri bersahabat supaya negeri di bawah naungannya mengakui Wangsa Ming sebagai
“Kerajaan Atasan” dan bersedia mempersembahkan ufti.[12] Hal ini dibuktikan melalui catatan Sejarah Dinasti Ming, semenjak tahun ke-5 Masihi, Maharaja Yong Le (1407 T. M.), Raja Melaka mula mengirim utusan untuk mempersembahkan hasil mahsul. Pada tahun berikutnya, maharaja mengutuskan Laksamana Cheng Ho ke Melaka untuk menghantar bingkisan yang berupa pelbagai sutera dewangga kepada Raja Melaka. Kesannya, hubungan perdagangan Melaka dengan negeri China dapat dijalankan.[13]

3.2.2 PERKEMBANGAN PENDIDIKAN
         Bidang pendidikan pada zaman wangsa ini berkembang apabila wangsa ini menjalinkan hubungan diplomatik dengan negeri-negeri naungannya. Buktinya, penubuhan maktab bahasa asing iaitu Si Yuan Guan yang pertama dalam sejarah China. Si Yuan Guan merupakan satu lembaga pendidikan bahasa asing yang diletakkan di bawah bidang kuasa Kementerian Pendidikan dan Kebudayaan. Hal ini bertujuan memastikan pembelajaran bahasa asing demi memperatkan persembahan ufti antara negeri-negeri naungannya.[14] Pada asalnya terdapat lapan jabatan ditubuhkan. Antaranya jabatan yang disebut Hui Hui Guan iaitu Jabatan Islam yang merangkumi Parsi, Arab, Melaka, Jawa dan bahasa Melayu.
         Selain itu, sistem peperiksaan terbahagi kepada tiga peringkat. Peringkat pertama, individu yang layak untuk bersaing dalam peperiksaan yang diadakan dalam dua kali daripada setiap tiga tahun di bandar sesuatu wilayah. Sistem ini merupakan prinsip ijazah yang palingrendah iaitu pemegang Diploma atau Sarjana Muda. Peringkat ini digelar sebagai hsiu-t’ sai.[15]
         Peringkat kedua pula terdapat peperiksaan tiga tahun sekali di ibu wilayah. Sistem ini dapat memperlihatkan beribu-ribu calon akan menghabiskan beberapa hari dikurung dengan berus dan kertas dalam baris sel yang panjang. Satu daripada setiap 200 pesaing menjadi seorang graduan wilayah atau disebut sebagai chṻ-jen yang membawa maksud "lelaki yang disyorkan". Seorang graduan ini layak untuk bersaing di peringkat ketiga dalam tiga tahun sekali peperiksaan metropolitan di Peking. Peringkat ketiga pula merupakan peringakat terakhir bagi mereka yang berjaya pada peringkat kedua. Mereka di peringkat ini perlu mengambil peperiksaan akhir dan akan menerima kedudukan rasminya melalui pelantikan ke jawatan tertentu.
            Di samping itu, wangsa ini mula mencipta kamus. Ini dapat dibuktikan bahawa wangsa Ming menggunakan bahasa Mongol dalam urusan dengan bangsa itu kerana tidak memahami bahasanya ketika berkomunikasi. Disebabkan hal itu maka terciptalah kamus Cina- Mongol.
 Hua Yi Yi Yu (Senarai perkataan Cina- Perkataan Asing) yang dilakukan sejak zaman Maharaja Ming Tai Zhu.[16] Pada zaman pemerintahan Maharaja Yong Le, baginda memperluaskan penyusunan kembali negeri-negeri naungannya untuk dijadikan kamus. Contohnya, Terdapat kamus Cina- Melayu iaitu Man La Jia Guo Yi Yu (Senarai Perkataan Negeri Melaka) dan kamus Siam iaitu Sian Luo Guan Yi Yu (Senarai Perkataan Jabatan Siam). Oleh itu, penghasilan kamus ini, perkataan Cina dipilih terlebih dahulu menurut klasifikasi tertentu. Ssetiap perkataan tersebut diberi kata asingnya yang dieja dan ditulis dalam bahasa Cina.[17]

3.3 KERUNTUHAN WANGSA MING
3.3.1 KEPIMPINAN YANG LEMAH
            Dinasti ini mulai lemah selepas kematian pegawai yang berwibawa iaitu Chang Chu-cheng pada tahun 1582. Bukan setakat itu sahaja, maharaja-maharaja terakhir wangsa Ming tidak mempunyai ketokohan dalam mentadbir wangsa Ming. Buktinya, Maharaja Wan Li (1573 hingga tahun 1620) telah menyalahgunakan kuasanya yang mengakibatkan kehilangan mandat dari T’ien. Beliau seorang yang suka membazir wang kerajaan dengan mengadakan perkahwinan diraja dan membina istana baru. Disebabkan sikapnya itu, perbendaharaan kerajaan mulai merosot. Hal ini mengakibatkan cukai yang tinggi dikenakan ke atas penduduk China. Beliau tidak mendengar nasihat menterinya dan memerintah mengikut kehendaknya sahaja. Pada zaman pemerintahan Maharaja Shi Chong, perbendaharaan kerajaan makin susut. Maka beliau memperkenalkan pelbagai jenis cukai terhadap rakyat. Maka menimbulkan rasa ketidakpuasan hati rakyat.[18]
           Maharaja pula menyerahkan pemerintahan wangsa Ming kepada sida-sida iaitu Wei Chung-hsien. Beliau merupakan seorang yang tidak cekap dalam menjalankan tugas dengan melantik pegawai tidak berkebolehan serta mengenakan pelbagai cukai. Hal ini telah menimbulkan kebangkitan golongan petani di bawah pimpinan Tzu-ch’eng.[19]

3.3.2 KEBANGKITAN ORANG MANCHU
            Kemerosotan wangsa Ming didorong oleh kebangkitan orang Manchu dari puak Jurched (Nuzhen) di Manchuria. Zaman kejayaan orang Manchu apabila munculnya Nurhaci (tahun 1559-1626). Beliau merupakan seorang pemimpin yang gigih dan tekun untuk mencapai kejayaan. Disebabkan sikapnya itu, beliau Berjaya menjadi pemimpin Manchu yang disegani. Beliau pernah berkhidmat dengan tentera Ming dan pihak istana Ming. Beliau diberi gelaran Dragon-Tiger-General. Beliau menjadikan Hetuala (Xinbin, Liaoning) sebagai pusat pentadbiran. Nurhaci juga cuba mengelak menimbulkan konflik di antara puaknya dengan kerajaan Ming dan orang Monggol. Pada tahun 1616, orang Manchu dapat disatukan di bawah pimpinan Nurhaci. Sekaligus, beliau mengisytiharkan wangsa Qin. Beliau menggunakan gelaran maharaja. 
             Pada tahun 1618, Nurhaci melancarkan sarangan di wilayah Liaotung. Apabila Maharaja Yang Gao menyedari kehadirannya maka maharaja menghantar seramai 90 000 orang tentera termasuk 10 000 orang Korea untuk menenteng tentera Nurhaci. Pada tahun 1619, Nurhaci dengan 60 000 orang tenteranya telah bertempur dengan tentera Ming. Hasil daripada pertempuran itu, tentera Nurhaci berjaya mengalahkan tentera Ming.[20] Pada tahun 1626, Nurhaci meninggal dunia. Tempatnya diganti oleh anaknya, Abahai (tahun 1592-1643). Pada tahun 1636, Abahai menamakan semula dinasti iaitu Chin. Chin membawa maksud yang tidak baik dalam bahasa Cina kepada Ch’ing. Apabila beliau meninggal dunia, beliau digantikan oleh anaknya, Fu-Lin. Disebabkan anaknya berusia enam tahun maka pentadbirannya dijalankan oleh Jirgalang dan Dorgan.
            Selain itu, wangsa ini dicabar oleh golongan petani dipimpin oleh Li Tzu-ch’eng. Mereka berjaya menawan Peking pada tahun 1644. Disebabkan hal itu, maharaja terakhir wangsa Ming membunuh diri. Kepincangan wangsa Ming digunakan sebaik-baiknya oleh             Dorgan untuk menawarkan bantuan kepada tentera Ming. Tentera Ming dipimpin oleh Wu San-kuei (tahun 1612-1678) menerima tawaran Dorgan. Tentera ini kemudiannya membuka Tembok Besar China untuk memberi laluan kepada tentera Manchu masuk ke dalam empayar Ming. Li Tzu-ch’eng berjaya dihalau dengan bantuan tentera Manchu. Maka dengan ini, Dorgan mengasaskan wangsa Qing dengan melantik Fu-Lin sebagai maharaja baru. Maka tamatlah pemerintahan wangsa Ming dan sekaligus pemerintahan orang bukan Cina berulang kembali.[21]

4.0  RUMUSAN
Gagasan pusingan wangsa wujud dalam pensejarahan China tradisional sehinggalah melahirkan pensejarahan China moden. Dapat dirumuskan bahawa pusingan wangsa merupakan elemen penting dalam pensejarahan China. Hal ini bertepatan kerana negara China sendiri mempunyai banyak pemerintahan yang terdiri daripada pelbagai wangsa yang dimulai dengan wangsa Shang dan berakhir dengan wangsa Qing. Keadaan ini berlaku apabila setiap zaman pemerintahan tersebut mempunyai peristiwa-peristiwa yang berulang. Peristiwa-peristiwa yang berulang ini dikaitkan dengan konsep pusingan wangsa tersebut. Menurut Abdul Rahman Haji Ismail mengatakan bahawa pusingan itu merupakan satu peristiwa yang berulang dengan memaparkan hubungan yang terjalin antara alam dan manusia. Oleh itu, konsep ini merupakan satu konsep yang sama dalam setiap wangsa. Setiap wangsa dipaparkan mengenai tahap kemunculan, tahap kegemilangan dan tahap kemerosotan sehingga membawa kepada kehancuran wangsa tersebut. Kehancuran wangsa tersebut digantikan dengan kemunculan wangsa yang baru.

BIBLIOGRAFI
Abdul Rahman Haji Ismail. China Tradisional: Pensejarahan, Pusingan Wangsa dan Proses Pencinaan. Pulau Pinang: Pusat Pengajian Ilmu Kemanusiaan, Universiti Sains Malaysia, 1983.
Abdul Rahman Haji Ismail. China: Pensejarahan dan Pembinaan Tamadun. Kuala Lumpur:
Dewan Bahasa dan Pustaka, 2001.
Fairbank, John K., Edwin O. Reischauer & Albert M. Craig. East Asia: Tradition and Transformation.Boston: Houghton Mifflin Company, 1973.
Liang Liji. Lembaran Sejarah Gemilang: Hubungan Empayar Melaka- Dinasti Ming Abad ke-15. Bangi: Penerbit Universiti Kebangsaan Malaysia, 1996.
Suffian Mansor. Tamadun China. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka, 2003.


[1] Abdul Rahman Haji Ismail, China: Pensejarahan dan Pembinaan  Tamadun,  (Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka, 2001), 3.
[2] Abdul Rahman Haji Ismail, China Tradisional:Pensejarahan, Pusingan Wangsa dan Proses Pencinaan. (Pulau Pinang: Pusat Pengajian Ilmu Kemanusiaan, Universiti Sains Malaysia, 1983), 23.
[3] Ibid.,23
[4] Ibid.,23.
[6] Abdul Rahman Haji Ismail, China Tradisional:Pensejarahan, Pusingan Wangsa dan Proses Pencinaan,24-26
[7] Abdul Rahman Haji Ismail, China: Pensejarahan dan Pembinaan Tamadun,55
[8] Suffian Mansor, Tamadun China, (Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka, 2003), 140
[9] Ibid.,140
[10] Ibid.,141
[11] Ibid.,143-144
[12] Liang Liji, Lembaran Sejarah Gemilang: Hubungan Empayar Melaka- Dinasti Ming Abad ke-15, (Bangi: Penerbit Universiti Kebangsaan Malaysia, 1996), 43-44
[13] Ibid.,44
[14] Ibid.,83-84
[15] John K. Fairbank, Edwin O. Reischauer, Albert M. Craig, East Asia: Tradition and Transformation, (Boston:Houghton Mifflin Company, 1973,),188
[16] Liang Liji, Lembaran Sejarah Gemilang: Hubungan Empayar Melaka- Dinasti Ming Abad ke-15, 91
[17] Ibid.,92-93
[18] Suffian Mansor, Tamadun China, 146
[19] Ibid.,147
[20] Ibid.,148
[21] Ibid.,149

No comments:

Post a Comment