Saturday, 19 May 2018

NARATIF KAUM PERIBUMI SABAH DAN SARAWAK SERTA KAUM TAMIL MENDAPAT TEMPAT YANG MARGINAL DALAM PENSEJARAHAN KEBANGSAAN MALAYSIA. ANALISAKAN KENYATAAN INI BERDASARKAN BUKU – BUKU ILMIAH SERTA AKHBAR – AKHBAR PERDANA DI NEGARA INI?


1.0  PENGENALAN
Menurut Kamus Dewan Bahasa dan Pustaka naratif membawa maksud terpinggir iaitu sesuatu yang mempunyai had sempadan. Marginal pula membawa maksud kumpulan sosial yang tertindas disebabkan oleh ciri etnik, ras, biologikal dan sebagainya. Selain itu, minoriti juga dikelaskan sebagai kelompok manusia yang disebabkan ciri fizikal dan kebudayaan yang diasingkan daripada orang lain dalam masyarakat, menerima layanan yang tidak sama rata dan dilihat sebagai objek untuk didiskriminasi secara kolektif.
            Tanah Melayu merdeka daripada penjajahan British pada 31 Ogos 1957. Sebelum negara merdeka, British telah membawa masuk pendatang-pendatang seperti Cina dan India. India mempunyai pelbagai suku iaitu Malayam, Telegu dan Tamil. Menurut Kamus Dewan Bahasa dan Pustaka, Tamil membawa maksud kaum yang berasal daripada campuran bangsa Dravidia dan Kaukasoid yang berasal dari Selatan India. Namun pada hari ini perkataan India digunapakai merujuk kepada kaum tersebut. Walhal sebenarnya India merujuk kepada sebuah negara yang terletak di Asia Selatan. Pada 16 September 1963, Sabah, Sarawak dan Singapura bergabung dengan Tanah Melayu. Kesannya, negara Malaysia telah dibentuk. Pada asalnya, Tunku Abdul Rahman mencadangkan 31 Ogos 1963 sebagai peristiwa itu selari dengan sambutan kemerdekaan tetapi ditunda. Faktor tarikh itu ditunda, penentangan kerajaan Indonesia di bawah pimpinan Soekarno serta cubaan sabotaj Parti Bersatu Sarawak yang cuba menangguhkan Pembentukan Malaysia. Pada 9 Ogos 1965, Singapura keluar dari Malaysia dan membentuk negara sendiri. Rentetan peristiwa itu, Malaysia hanya terdiri daripada Persekutuan Tanah Melayu, Sabah dan Sarawak.
             Dalam penulisan kajian ini, penulis membincangkan kedudukan peribumi Sabah dan Sarawak serta kaum Tamil mendapat tempat marginal dalam pensejarahan akhbar tempatan. Perbincangan ini juga diselitkan mengenai isu-isu dominan yang kerap berlaku serta rujukan yang digunapakai dalam kajian tersebut. Sesungguhnya isu-isu yang dihadapi oleh golongan peribumi Sabah dan Sarawak serta kaum Tamil agak terpinggir.

2.0  ISU-ISU DOMINAN PERIBUMI SABAH, SARAWAK DAN KAUM TAMIL
Berdasarkan kajian penulis mendapati bahawa isu-isu dominan yang dialami oleh peribumi Sabah, Sarawak dan kaum Tamil kurang mendapat liputan media terutamanya akhbar persejarahan tempatan.

2.1    Isu Kewarganegaraan
Menurut Perlembagaan Persekutuan dalam Bahagian III Perkara 14 hingga Perkara 22, kewarganegaraan diperoleh melalui empat cara iaitu kuat kuasa undang-undang, pendaftaran, penaturalisasian, dan penggabungan wilayah.  Misalnya, dalam Perkara 14 menyatakan cara memperoleh kewarganegaraan melalui kuat kuasa undang-undang dan Perkara 16 A turut memperihalkan cara mendapat kewarganegaraan bagi penduduk Sabah dan Sarawak pada hari Malaysia.
(a) tiap-tiap orang yang lahir sebelum Hari Malaysia yang menjadi warganegara Persekutuan menurut kuasa peruntukan yang terkandung dalam Bahagian I Jadual Kedua; dan
(b) tiap-tiap orang yang lahir pada atau selepas Hari Malaysia dan mempunyai mana-mana kelayakan yang dinyatakan dalam Bahagian II Jadual Kedua.[1]

 “ bahawa dia telah bermastautin sebelum Hari Malaysia di wilayah-wilayah yang termasuk di dalam Negeri-Negeri itu dan bermastautin selepas Hari Malaysia di Persekutuan selama tempoh yang pada agregatnya berjumlah tidak kurang daripada tujuh tahun dalam masa sepuluh tahun sebaik sebelum tarikh permohonan itu, dan tempoh itu termasuklah tempoh dua belas bulan sebaik sebelum tarikh itu;”[2]

Walaupun sudah terdapat dalam Perlembagaan Persekutuan tetapi ada segelintir rakyat Malaysia terutamanya kaum Tamil dan pribumi Sabah dan Sarawak tidak memperoleh kewarganegaraan walaupun mereka tinggal di Persekutuan sebelum merdeka lagi. Isu yang berkaitan dengan kewarganegaraan bagi kaum India, Sabah, dan Sarawak kurang mendapat perhatian oleh akhbar-akhbar perdana dan para pengkaji sejarah. 
Contohnya, buku Pua Identiti dan Budaya Masyarakat Iban tulisan Noria Tugang (2008) menyentuh mengenai kain pua dianggap sebagai pengenalan diri orang Iban. Kain pua bermaksud kain selimut. Ia menjadi lambang status sosial tinggi bagi masyarakat Iban. [3]Dalam konteks ini, buku ini juga menyentuh sejarah kaum Iban dan adat tradisi mereka. Dalam buku ini juga tidak menyentuh mengenai kaum Iban yang tidak mempunyai kad pengenalan sebagai lambang mereka merupakan rakyat Malaysia.[4]
Dalam buku Identiti India di Malaysia tulisan Dr K Anbalakan lebih cenderung mengenai kupasan naratif kemasukan orang India di Tanah Melayu, pembentukan identiti kaum Tamil dan kegiatan ekonomi yang dijalankan oleh kaum Tamil. Selain itu, buku ini juga menyelitkan Dasar Ekonomi Baru (DEB) yang diperkenalkan oleh Perdana Menteri Kedua iaitu Tun Abdul Razak Dato Hussein pada tahun 1971 telah memberi kesan kepada kaum Tamil. Hasil pembacaan terhadap buku ini, penulis mendapati bahawa buku ini tidak mengupas sama sekali mengenai isu kesukaran Kaum Tamil memohon kad pengenalan biru yang menjadi lambang kewarganegaraan mereka. [5]
Contoh lagi, akhbar Malaysia Nanban pada tahun 2015 mengatakan bahawa tiada bukti bahawa 30000 masyarakat India tidak mempunyai kad pengenalan. Menurut  Presiden Persatuan Jaringan Pembangunan Manusia Luar Bandar Malaysia (DHRRA), Saravanan mengatakan bahawa bahawa hasil tinjauan mendapati, seramai 13,000 orang tidak mempunyai kewarganegaraan. Beliau menafikan bahawa berita 30000 masyarakat India tidak mempunyai kad pengenalan. [6] Pada pendapat penulis, jumlah yang tidak mempunyai kad pengenalan mungkin lebih ramai darpada jumlah yang dinyatakan dalam akhbar tersebut. Hal ini demikian kerana isu ini memfokuskan kepada kawasan yang majoriti masyarakat India sahaja. Penulis tertanya-tanya kenapa beliau tidak membuat kajian di kawasan yang minoriti kaum India.
2.2              Isu Kemiskinan
Berdasarkan kepada statistik di atas menunjukkan Sabah dan Sarawak berada dalam kelompok tiga teratas negeri yang mempunyai kadar kemiskinan yang tertinggi.  Hal ini sangat menghairankan pengkaji. Hal ini demikian kerana negeri Sabah dan Sarawak merupakan negeri kaya dengan sumber-sumber alam semulajadi seperti minyak, gas, balak, hidupan laut serta hasil lautan dan perhutanan asli yang lain yang menjana pendapatan ekonomi tertinggi negara Malaysia. Hal ini amat memalukan bagi kedua-dua negeri ini mendapat jolokan negeri termiskin di Malaysia.  
www.freemalaysiatoday.com menerbitkan artikel ‘Sabah: Negeri antara terkaya, rakyat paling miskin’. Artikel ini menceritakan kemiskinan yang dihadapi oleh penduduk di Sabah terutamanya di kawasan luar bandar Sabah. Buktinya,  kadar isirumah di Sabah dalam kategori 40% isirumah terbawah yang ditakrifkan sebagai mereka mempunyai pendapatan kasar kurang daripada RM2,300 sebulan. Pendapatan kasar bulanan purata pada 2009 bagi seluruh Malaysia adalah RM4,025 iaitu RM4,705 di bandar dan RM2,545 di luar bandar berbanding bagi golongan 40% isirumah terbawah sebanyak RM1,440. Jumlah pendapatan ini telah meningkat kepada 11% pada tahun 2009 berbanding berbanding 6% pada tahun 1989! [7]
Buku tulisan Zuraina Majid yang bertajuk Masyarakat Malaysia Edisi II (Tinjauan dan Perbincangan terhadap Beberapa Isu dan Topik Semasa) turut mengupas isu-isu semasa. Buku ini tidak mengupas langsung mengenai kemiskinan yang dialami oleh peribumi Sabah dan Sarawak serta kaum Tamil. Subtopik yang dihuraikan dalam buku ini adalah Peladang, Pertanian dan pembangunan di Sarawak - Suatu Perbincangan Mengenai Pertanian Pindah dan Masalah dalam Pembangunan. Dalam subtopik itu menerangkan kegiatan pertanian pindah yang dilakukan oleh penduduk Sarawak. Oleh itu, buku itu tidak menyentuh sama sekali isu-isu kemiskinan yang dialami oleh mereka. [8]

http://www.indianmalaysian.com/tuntutan.htm menerbitkan artikel yang bertajuk Tuntuan untuk Masa Depan yang Lebih Cemerlang. Mereka menuntut dibuat penilaian semula mengenai isu-isu sekian lama yang dihadapi oleh mereka antaranya sosio, ekonomi, politik dan budaya dengan latarbelakang jajahan British. Contohnya, Masyarakat India Malaysia (MIM) mohon kemiskinan mereka hadapi perlu dibasmi selaras dengan hasrat kerajaan dalam Dasar Ekonomi Baru yang bertujuan membasmi kemiskinan. Bukan setakat itu sahaja MIM menuntut ditubuhkan satu suruhanjaya untuk membasmikan kemiskinan yang terdiri dari pakar-pakar kerajaan, wakil dari pertubuhan wanita, badan-badan bukan kerajaan dan masayarakat sivil. Tujuannya ialah mengawasi dan rumuskan program-program membasmikan kemiskinan berdasar kepada kritiria ekonomi sahaja yang menetapakan sasarannya ialah semua rakyat yang miskin tidak kira kaum termasuk kaum India sendiri.[9]

2.3 Isu Pendidikan
Pada zaman kolonial British telah mewujudkan empat jenis sekolah Melayu, Cina, Tamil dan Inggeris yang mempunyai ciri-ciri tertentu dan lebih mencerminkan unsur-unsur perkauman. Setiap kaum menghantar anak-anak mereka untuk mendapatkan pendidikan di sekolah yang menggunakan bahasa ibunda masing-masing. Sukatan pelajaran dan kurikulum yang digunakan tidak seragam. Contohnya, sekolah Tamil diwujudkan di kawasan estet. Hal ini demikian kerana kebanyakan masyarakat Tamil pada ketika itu bekerja di estet. Tujuan sekolah itu diwujudkan ialah membasmi kadar buta huruf dalam kalangan anak-anak buruh. Namun pada kini sekolah Tamil mula hilang pengaruh kerana masyarakat India kini semakin moden. Isu ini juga jarang diambil perhatian oleh akhbar tempatan. [10]
            http://www.utusan.com.my  telah menerbitkan artikel bertajuk Sekolah vernakular punca polarisasi kaum? Dalam artikel ini menyentuh cara membentuk perpaduan kaum melalui sistem persekolahan. Artikel ini juga memerihalkan pelaksanaan sekolah satu sistem yang tidak dapat dilaksanakan atas faktor banyak tentangan. Walhal kerajaan sepatutnya membuat sekolah satu sistem supaya dapat mewujudkan perpaduan kaum di Malaysia[11]. Dalam artikel ini tidak menyentuh secara langsung sekolah vernakular Cina dan India.  
http://www.bharian.com.my telah menerbitkan artikel Isu pendidikan Sabah, Sarawak patut diutama. Artikel menyentuh isu kekurangan guru di Sabah dan Sarawak. Kebergantungan guru yang diimport dari Semenanjung telah mengisi kekurangan guru di dua negeri tersebut. Buktinya, pada tahun 2015, Sarawak memerlukan 2,432 guru sedangkan jumlah guru tempatan hanya 601 orang. Kedua-dua negeri ini mahu lebih banyak peluang diberi kepada calon tempatan. Hal ini demikian kerana mereka mengambil kira isu ini amat sensitif, aspek latar belakang etnik, termasuk memberi keutamaan khas kepada calon guru daripada etnik minoriti daripada kedua-dua negeri tersebut. Masalah ini tidak menyentuh secara langsung oleh akhbar tersebut. Artikel ini turut menyentuh faktor-faktor anak tempatan tidak berminat dalam bidang perguruan. Faktor mereka kurang berminat dengan bidang itu kerana permohonan dan melalui sesi temu duga serta pemilihan yang ketat berdasarkan merit. Mereka perlu bersaing bersama-sama calon lain dari seluruh negara Malaysia. [12]Jelaslah menunjukkan artikel ini memperlihatkan isu ini merupakan isu yang berat sebelah.
http://www.freemalaysiatoday.com telah menerbitkan artikel bertajuk  Pernah terpanggil agar Sabah, Sarawak keluar Malaysia – Bung Moktar” yang turut menyentuh ketidakadilan Kerajaan Persekutuan terutamanya Kementerian Pelajaran dalam pemberian elaun kepada guru-guru. Menurut Ahli Parlimen Barisan Nasional – Kinabatangan, Datuk Bung Moktar Raden mengatakan bahawa guru-guru Semenanjung datang mengajar ke Sarawak dan Sabah diberi elaun sebanyak RM 1500 sedangkan guru-guru yang berasal daripada Sabah dan Sarawak yang datang mengajar di Semenanjung diberi elau sebanyak RM 750.[13] Isu ini telah menyebabkan guru-guru Sabah dan Sarawak berasa dianaktirikan oleh pihak Kementerian Pelajaran. Isu-isu ini jarang dikeluarkan oleh akhbar tempatan dan buku kerana mereka menganggap kes ini merupakan kes terpencil.
2.4 Isu Bahan Mentah
            Sabah dan Sarawak merupakan negeri terkaya di Malaysia tetapi mempunyai rakyat termiskin di Malaysia. Hal ini amat menghairankan penulis. Hal ini demikian kerana kedua-dua negeri ini kaya dengan bahan mentah seperti petroleum, arang batu, balak, hidupan laut serta hasil lautan dan perhutanan asli yang lain yang menjana pendapatan ekonomi tertinggi negara Malaysia. [14]Isu yang timbul apabila kedua-dua negeri ini membuat tuntutan mengenai isu ini. Misalnya, negeri Sabah menerima 5% royalti minyak berbanding keluasan yang ada di negeri Sabah. Keluasan negeri Sabah adalah  kira-kira 72,500 kilometer persegi. Kerajaan negeri Sabah menyalurkan lebih 80% daripada hasil bahan mentah di negeri untuk disalurkan kepada Kerajaan Persekutuan. Perkara ini sudah pasti menjadi ketidakpuasan hati rakyat Sabah  sendiri. Hal ini demikian kerana kerajaan Persekutuan sepatutnya memberikan pulangan kepada kerajaan negeri Sabah berbanding kuantiti pulangan yang disalurkan selama ini.[15] Di samping itu, Kerajaan Negeri Sarawak juga turut menimbulkan pemasalahan ini kepada Kerajaan Persekutuan dengan meminta sekurang-kurangnya 20% hasil minyak untuk membangun Sarawak. Hal in demikian kerana negeri Sarawak yang amat luas iaitu kira-kira 124,449.51 kilometer persegi yang semestinya memerlukan kewangan yang lebih banyak untuk membangunkan negeri itu. Oleh hal yang sedemikian, kerajaan negeri Sarawak melalui Ketua Menterinya Tan Sri Adenan Satem meminta sekurang-kurangnya 20% royalti minyak untuk negeri Sarawak. Namun permintaan Ketua Menteri Sarawak itu ditolak. Hal ini disebabkan kerajaan Persekutuan mengatakan bukan sekarang untuk membicarakan hal ini kerana harga minyak dunia pada ketika ini jatuh. [16]
            Buku bertajuk Malaysia: Isu-isu Sosial Semasa hasil penulisan oleh Roziah Omar dan Sivamurugan Pandian menyentuh isu-isu sosial yang berlaku di Malaysia. Hasil daripada pembacaan, penulis mendapati bahawa buku ini tidak mengupas langsung isu bahan mentah yang berlaku di Sabah sehingga menimbulkan ketidakpuasan hati dalam kalangan rakyat Sabah.

3.0  FAKTOR NARATIF KAUM PERIBUMI SABAH DAN SARAWAK SERTA KAUM TAMIL MENDAPAT TEMPAT YANG MARGINAL DALAM PENSEJARAHAN KEBANGSAAN MALAYSIA. 
3.1    Faktor Geografi
Antara sebab Sabah dan Sarawak mendapat tempat marginal adalah disebabkan kedudukan geografinya yang jauh dan terpisah dengan Semenanjung Malaysia oleh Laut China Selatan. Umum kita mengetahui bahawa Sabah dan Sarawak mempunyai kawasan yang luas serta besar. Buktinya, keluasan Sarawak kira-kira 124,449.51 kilometer persegi [17]manakala keluasan di Sabah ialah kira-kira 72,500 kilometer persegi. 
Kebanyakan kawasan di Sarawak dan Sabah terletak di kawasan pendalaman yang sudah pasti kekurangan infrastruktur yang sempurna. Misalnya kawasan paling padat dengan penduduk di Sarawak ialah di dataran pantai dan lembah sungai. Pengangkutan utama mereka pula ialah bot. Hal ini demikian kerana masyarakat yang tinggal di pinggir lembah sungai terpaksa menggunakan bot untuk berhubung dengan masyarakat luar daripada kawasan mereka. Setiap kali mereka hendak keluar dari kawasan mereka, kos pengangkutan terpaksa dikeluarkan. Bagi masyarakat yang miskin mereka tidak mampu membayar kos pengangkutan.  

3.2    Faktor Sejarah
Zaman penjajah kolonial British, orang Tamil yang berasal daripada Selatan India dibawa masuk ke Tanah Melayu untuk bekerja di estet. Kebanyakan orang Tamil India bekerja sebagai buruh ladang, terutamanya di ladang getah, walaupun sebahagian kecil juga bertugas di jabatan-jabatan perkhidmatan awam. [18] Walaupun mereka bekerja di ladang namun pihak British telah menyekat kebebasan mereka. Maka tidak hairanlah, masalah kemiskinan, amalan kasta dan kurang kemudahan infrastruktur yang baik telah memberikan kesan kepada aspek-aspek seperti kebudayaan, perayaan dan kesenian.  Selain itu, British memperkenalkan satu dasar iaitu laissez-faire atau pecah perintah dengan tujuan memecahbelahkan dalam kalangan masyarakat yang berbilang kaum. [19] Kesan daripada penjajahan kolonial, kaum Tamil sehingga ke hari ini terus terpinggir daripada mendapat perhatian yang sewajarnya seperti isu kemiskinan dan permohonan kewarganegaraan.

4.0 KESIMPULAN
Kaum Tamil, peribumi Sabah dan Sarawak sememangnya mendapat tempat marginal dalam pensejarahan Malaysia. Isu-isu seperti kemiskinan, pendidikan, bahan mentah dan kewarganegaraan telah menimbulkan masalah kepada rakyat Sabah, Sarawak dan kaum Tamil. Masalah-masalah ini juga telah menyebabkan mereka merasakan dianaktirikan oleh pihak tertentu. Hasil kajian yang dijalankan oleh penulis mendapati bahawa hak-hak kaum minoriti ini sebagai warganegara tidak dipenuhi. Seolah-olah pihak-pihak berkenaan tidak memikirkan jalan penyelesaian kepada kemelut masalah-masalah itu. Isu-isu yang begitu kritikal tidak mendapat liputan secara meluas di akhbar-akhbar perdana seperti Berita Harian dan Utusan Malaysia. Sebaliknya, isu-isu ini banyak dilaporkan di akhbar atas talian sahaja. Bukan itu sahaja, isu-isu ini tidak banyak dikaji oleh sejarawan tempatan.

BIBLIOGRAFI
AKHBAR
(2015, Disember 31). Tiada Bukti Seramai 30,000 ribu tiada mempunyai kad pengenalan. Malaysia Nanban : hlm. 10

BUKU
Anbalakan, K., 2009, Identiti India di Malaysia, Universiti Sains Malaysia: Penang.

,Kamus Dewan Bahasa dan Pustaka. Dewan Bahasa dan Pustaka

Noriah Tugang.,2008, Pua Identiti dan Budaya Masyarakat Iban, Universiti Malaysia Sarawak : Sarawak

Roziah Omar dan Sivamurugan Pandian, 2005. Malaysia: Isu-isu Sosial Semasa. Institut Sosial Malaysia : Kuala Lumpur

Zuraina Majid.1985, Masyarakat Malaysia Edisi II (Tinjauan dan Perbincangan terhadap Beberapa Isu dan Topik Semasa), Universiti Sains Malaysia : Penang

INTERNET
Anne Muhammad (2016, Mei 5). Adenan, Najib senada isu royalti minyak dicapai pada 11 Mei 2016 daripada Malaysia Kini : https://www.malaysiakini.com/news/340445

Azrul Azwar (2012, Mac 14). Sabah: Negeri antara terkaya, rakyat paling miskin, dicapai pada 7 May 2016 daripada Free Malaysia Today : http://www.freemalaysiatoday.com/category/nation/2012/03/14/sabah-negeri-antara-terkaya-rakyat-paling-miskin-2/

Group of Concerned Citizens. Tuntutan Untuk Masa Depan Yang Lebih Cemerlang dicapai pada 10 May 2016 daripada Indian-Malaysian Online : http://www.indianmalaysian.com/tuntutan.htm

Jeniri Amir (2015, Februari 18). Isu pendidikan Sabah, Sarawak patut diutamakan dicapai pada 10 May 2016 daripada Berita Harian Online : http://www.bharian.com.my/node/35618

Khairil Ashraf (2015, March 12). Pernah terpanggil agar Sabah, Sarawak keluar Malaysia – Bung Moktar, dicapai pada 10 May 2016 daripada Free Malaysia Today : http://www.freemalaysiatoday.com/category/bahasa/2015/03/12/pernah-terpanggil-agar-sabah-sarawak-keluar-malaysia-bung-moktar/

Master G. (2009, October 15).  [HOT] Perjanjian 20 Perkara Sabah Perlu Dilaksanakan Segera!! Dicapai pada 10 Mei 2016 daripada Berita Semasa : http://www.beritasemasa.com.my/hot-perkara-20-negeri-sabah-perlu-dilaksanakan-segera

Pena Biru (2014, September 14). Sistem Pendidikan Vernakular (Sebelum Perang Dunia Kedua). Dicapai pada 10 Mei 2016 daripada Blog Cikgu Sejarah STPM : http://cikgustpm.blogspot.my/2014/09/sistem-pendidikan-vernakular-sebelum.html

Siti Norhawa Binti Mohd. Ali (2015, Oktober 1). Sekolah vernakular punca polarisasi kaum? Dicapai pada 10 May 2016 daripada Utusan Malaysia Online : http://www.utusan.com.my/berita/nasional/sekolah-vernakular-punca-polarisasi-kaum-1.141641

Tiada Pengarang (2008, 14 November) Masyarakat India di Malaysia Dicapai pada 11 Mei 2016 daripada Jabatan Penerangan Malaysia : http://pmr.penerangan.gov.my/index.php/budaya/3243-masyarakat-india-di-malaysia.html


[1] Perlembagaan Malaysia. Pindaan terkini – Akta 1260 /2006. Perkara 14
[2] Perlembagaan Malaysia. Pindaan terkini- Akta 1260 / 2006. Perkara 16 (A)
[3] Noria Tungang. Pua Identiti dan Budaya Masyarakat Iban, Sarawak, Universiti Malaysia Sarawak, 2014, hlm. Xi

[4] Noria Tungang. Pua Identiti dan Budaya Masyarakat Iban, Sarawak, Universiti Malaysia Sarawak, 2014, hlm.1
[5] K. Anbalakan. Identiti India di Malaysia, Pulau Pinang, Universiti Sains Malaysia, 2008, hlm. iii-v.
[6] (2015, Disember 31). Tiada Bukti Seramai 30,000 ribu tiada mempunyai kad pengenalan. Malaysia Nanban : hlm. 10
[7] http://www.freemalaysiatoday.com/category/nation/2012/03/14/sabah-negeri-antara-terkaya-rakyat-paling-miskin-2/ Diakses pada  2016.
[8] Zuraina Majid. Masyarakat Malaysia Edisi II (Tinjauan dan Perbincangan terhadap Beberapa Isu dan Topik Semasa, Pulau Pinang, Universiti Sains Malaysia hlm.182-198
[12] http://www.bharian.com.my/node/35618 diakses pada 10 Mei 2016
[15] http://www.beritasemasa.com.my/hot-perkara-20-negeri-sabah-perlu-dilaksanakan-segera Diakses pada 10 Mei 2016.

Bincangkan Faktor Dalaman dan Luaran Mempengaruhi Perkembangan Empayar Srivijaya pada Kurun ke 7 hingga 13 Masihi.


1.0 PENDAHULUAN
Asia Tenggara merupakan sebuah kepulauan yang mempunyai pelbagai peninggalan sejarah menerusi tamadun awal pada sebelum dan selepas Masihi. Kewujudan empayar-empayar pada ketika itu ialah kerajaan Funan, kerajaan Kedah Tua, kerajaan Langkasuka, dan kerajaan Majapahit. Buku-buku sejarah banyak mencatatkan tentang keunggulan sebuah empayar pada suatu ketika itu yang akan menjadi ikutan kepada kerajaan selepasnya. Contohnya kerajaan Funan yang menjadi empayar perdagangan maritim dunia yang maju serta pelabuhan Oc-Eo yang strategik di Teluk Siam[1]. Namun demikian, kerajaan yang hebat sudah pasti akan mengalami kejatuhan. Contohnya, kejatuhan kerajaan Funan disebabkan sarangan Chenla pada abad ke 5 Masihi. Kejatuhan ini telah menjadi titik tolak kepada kemunculan kerajaan Srivijaya. Umumnya, para sarjana menganggap Srivijaya sebagai sebuah empayar Melayu yang unggul sebelum Kesultanan Melayu Melaka.[2]
Pada tahun 1918, George Coedes melakukan kajian mengenai rekod dalam Tang Chinese records (619-906M). Rekod ini menyatakan bahawa terdapat sebuah kerajaan yang bernama ‘Shih-li-fo-shih (三佛)’. Berdasarkan kepada karakter Cina, ianya membawa maksud membawa maksud ‘Srivijaya’. Srivijaya merupakan sebuah empayar maritim Melayu yang berpusat di tenggara Sumatera di tebing Sungai Musi di Palembang.[3] Pengasas kepada empayar iaitu Dapunta Hyang seperti yang tercatat dalam prasasti Kedukan Bukit. Kemunculan Srivijaya banyak dicatatkan oleh seorang pedagang China iaitu I Tsing. Beliau melakukan pelayaran selama enam bulan iaitu pada tahun 671 Masihi dari Canton ke Palembang. Pada ketika itu, Palembang merupakan tempat bersemayam pemerintah kerajaan Srivijaya. Dikatakan juga pada ketika itu, Srivijaya merupakan kerajaan laut yang sangat kuat sehinggakan Kedah yang asalnya sebuah kerajaan yang kuat menjadi tanah jajahan Srivijaya.[4] Hal ini jelaslah kerajaan Srivijaya muncul pada abad ke 7 dan menjadi empayar yang cukup kuat.
Dalam esei ini, penulis memfokuskan kepada faktor dalaman dan luaran yang mempengaruhi perkembangan empayar Srivijaya pada kurun ke 7 hingga ke 13 Masihi.

2.0 FAKTOR DALAMAN YANG MEMPENGARUHI EMPAYAR SRIVIJAYA PADA KURUN KE 7 HINGGA KE 13 MASIHI
2.1 SISTEM PENTADBIRAN YANG TERATUR
Srivijaya mempunyai sistem pentadbiran yang teratur yang menjadi faktor perkembangan empayar ini. Hal ini dibuktikan dengan melalui Inskripsi Telaga Batu yang dipercayai bertarikh dalam lingkungan suku abad akhir abad ketujuh telah memberikan gambaran tentang organisasi dan pentadbiran empayar Srivijaya. Profesor Wolters berpendapat bahawa empayar Srivijaya dibahagikan kepada tiga kawasan. Selain itu, de Casparis berasaskan kepada inskripsi Telaga Batu mempercayai bahawa Srivijaya merupakan sebuah “kadatuan” atau empayar.  Srivijaya dibahagikan kepada beberapa mandala. Tiap-tiap mandala yang tertakluk kepada Srivijaya itu diletak dibawah pemerintahan seorang datu. Datu yang dilantik terdiri daripada anak-anak raja atau pembesar. Sekiranya mandala itu dipimpin oleh anak raja maka ia akan digelar kadatuan. Sekiranya pembesar bukan berdarah raja maka kawasan kawalannya digelar praddatuan. Tiap-tiap datu mempunyai seorang penolong yang akan membantu dalam hal-hal negara. Mereka ini digelar sebagai parvanda ataupun ketua tentera.
Srivijaya juga memperlihatkan kelas sosial dan hierarki pentadbiran. Buktinya, terdapat empat kelas anak raja. Kelas paling tinggi sekali ialah Yuvaraja. Yuvaraja berfungsi sebagai Raja Muda atau Tengku Mahkota. Dibawah yuvaraja ialah pratiyuvaraja. Anak raja kelas ini boleh dilantik sebagai menjadi yuvaraja. Sementara itu, anak raja lain digelar sebagai raja kumara. Ketiga-tiga kelas anak raja itu layak mewarisi takhta kerajaan tetapi mengikut hierarki. Syarat mereka menjadi pewaris takhta ialah mereka berdarah raja di kedua belah pihak iaitu ibu dan bapa. Rajaputra merupakan kelas anak raja keempat. Hal ini bermaksud mereka ini tidak layak dilantik menjadi raja kerana ibu mereka bukan berketurunan raja atau mereka anak gundik raja.[5]
Kerajaan Srivijaya wujud dua kelas utama. Kelas pertama terdiri daripada golongan diraja seperti kerabat diraja dan anak-anak raja. Penghormatan dan status bergantung kepada kedudukan mereka dalam hierarki dalam kelas itu. Hal ini dapat dibuktikan secara spiritual oleh inskripsi Kota Kapur. Dibawah kelas golongan diraja terdapat kelas pentadbir yang terdiri daripada senapati, nayaka, pratatya, hajipratatya dan dandanayaka. Senapati mempunyai tugas sebagai ketua kepada hulubalang. Nayaka berfungsi sebagai Penghulu Bendahari. Hajipratatya berfungsi sebagai temenggung. Dandanayaka berfungsi sebagai hakim. Selain itu, terdapat pembesar-pembesar lain yang tergolong dalam kelas pentadbir. Mereka ini ialah murdahaka (penghulu), Tuhan vatakvurah (Syahbandar) dan Adhyaksa Nicavarna (penghulu kasta bawah). [6]

2.2 SISTEM MASYARAKAT YANG SISTEMATIK
Masyarakat Srivijaya terdiri daripada empat kelas sosial mengikuti hierarki dalam susun lapis masyarakat iaitu golongan diraja, golongan bangsawan, orang merdeka dan hamba abdi. Ini dibuktikan melalui inskripsi Telaga Batu. Hal ini kerana penghulu atau ketua rakyat yang merdeka yang terdiri daripada kasta rendah sudah tercatit dalam inskripsi tersebut. Hamba terletak di hierarki terbawah dalam struktur masyarakat Srivijaya.
Hulun haji atau hamba raja jelaslah menunjukkan wujudnya hamba abdi. Inskripsi Talang Tuwo (Palembang) yang bertarikh 684 Masihi yang memberi keterangan bahawa rakyat biasa pun mempunyai hamba abdi. Hal ini demikian kerana menurut Nik Hassan Shuhaimi, beliau tidak dapat mempastikan sama ada wujud hamba abdi jenis orang berhutang, hamba sahaya, dan abdi seperti yang terdapat di zaman Kesultanan Melayu Melaka dan zaman selepasnya di Tanah Melayu. Menurut beliau lagi, berkemungkinan besar wujud hamba abdi jenis lain daripada hamba raja. Asal usul hamba abdi pada zaman ini tidak jelas.[7] Pada pendapat penulis, jawatan hamba penting kerana mereka diperlukan sebagai penggerak ekonomi dan sosial golongan kelas atasan dalam menjalankan urusan pentadbiran.
2.3 KONSEP “DAULAT DAN DERHAKA”
Konsep daulat raja lahir daripada pendewaan raja sebagai inkarnasi daripada dewa yang dipuja. Buktinya, raja Srivijaya adalah inkarnasi daripada dewa Amogapasha Avalokibesvara. Dewa ini adalah satu daripada bentuk tantric Avalokitesvara. Kult dewaraja di Srivijaya berkembang dari abad ketujuh sehingga abad ke empat belas Masihi. Disebabkan kepercayaan kepada konsep raja yang berasaskan kult dewaraja begitu kuat maka lahirlah tradisi setia kepada golongan diperintah dengan pemerintah. Hal ini dapat dibuktikan melalui inskripsi Telaga Batu mendapati bahawa golongan diperintah mestilah mengaku taat setia. Simbolik kepadaa ketaatsetiaan mereka dengan cara meminum air sumpah. Dalam upacara itu, air dituangkan ke atas batu yang mengandungi inskripsi Telaga Batu dan air itu akan mengalir melalui corong dibawahnya. Air itu akan ditadah dan diberi minum kepada mereka yang menjalankan persetiaan itu. [8]
Konsep taat setia kerap kali ditegaskan oleh pemerintah melalui pelbagai cara. Batu Bersurat Telaga Batu ada menyebut mengenai perilaku orang yang tidak setia seperti menjadi mata-mata kepada musuh raja, mencuri, bersubahat dengan musuh raja, dan berlaku zalim terhadap orang lain dengan menggunakan ilmu sihir. Namun, batu bersurat ini juga tidak menyatakan hukuman yang dikenakan ke atas perilaku-perilaku yang tidak setia. Batu bersurat ini hanya menyatakan bahawa bagi orang setia akan dijanjikan bebas daripada hukuman di dunia selepas mati. Hal ini bersesuaian dengan kefahaman mereka terhadap agama Buddha.
Perkara yang sama dapat dilihat melalui batu bersurat Kota Kapur. Coedes menterjemahkan tulisan pada batu bersurat mendapati bahawa terdapat perkataan Melayu yang mempunyai perkaitan dengan hubungan raja-rakyat seperti persumpahan, drohaka, padah, bakhti, sumpah, dosa, dan wuatna jahat. Perkataan-perkataan ini merujuk kepada sumpahan yang dikenakan kepada golongan tertentu seperti pemberontakan dan rakyat yang bersubahat dengan pemberontak.[9]
Selain itu, raja-raja Srivijaya percaya bahawa ganjaran tidak memberikan kesetiaan yang tidak berbelah bagi. Menurut inskripsi Srivijaya perkataan ‘derhaka’ diulang-ulang. Perkataan derhaka bermaksud pengkhianatan kepada pemerintah. Makna ini diambil daripada Bahasa Sanskrit yang membawa maksud perkara ini merupakan satu jenayah yang keji dan terkutuk. 
“If you behave like a traitor, plotting with those who are in contact with my enemies, or if you spy for the enemy, you will be killed by the cursed – notably by the Telaga Batu of 686” – it was possibbly the maharajas of Srivijaya who first built up the idea of the devoted subject willing to die for his lord,” (Andaya, 1983)
Menurut penyataan di atas menjelaskan bahawa raja-raja Srivijaya menjatuhkan hukuman bunuh kepada pengkhianat negara. Sekaligus memperlihatkan konsep raja wajib disembah. Kerajaan-kerajaan Melayu selepas ini mengadaptasikan konsep ini dalam pentadbiran mereka.
Selain itu, Mahkamah Srivijaya dipropagandakan dengan kepercayaan oleh golongan khas dibawah kuasaan oleh raja. Raja Srivijaya menggunakan konsep Tuhan Hindu yang bernama sakti. Konsep ini mengatakan bahawa orang yang menderhakai dan tidak taat akan dikalahkan.[10]
2.4 KETAATAN ORANG LAUT
Orang Laut merupakan masyarakat yang tinggal berhampiran dengan pantai dan tebing sungai. Disebabkan hal itu, mereka memiliki kepakaran mengenai laut. Sekiranya tiada Orang Laut para pedagang berisiko untuk dirompak oleh lanun. Pengembara Cina Budhis bernama Fa Hsien menyebut setelah belayar ke India pada tahun 413 Masihi, lautan-lautan yang dilaluinya penuh dengan lanun dan para pedagang berasa bimbang untuk melalui laluan itu. Salah satu kawasan paling berbahaya ialah pintu masuk di Selat Melaka. Hal ini demikian kerana terdapat beratus-ratus pulau karang yang menjadikan tempat untuk lanun-lanun bersembunyi.
Menyedari hal ini, raja-raja mendapatkan taat setia Orang Laut. Pengetahuan Orang Laut mengenai benting karang dan benting pasir yang berbahaya tentunya pelaut yang kurang arif  seperti pedagang asing akan terkandas. Selain itu, mereka juga mengetahui keadaan angin. Kelebihan ini membolehkan mereka mengawal jalan-jalan laut dari angkara lanun. Kesannya, para pedagang selamat datang berdagang di Srivijaya. [11]
Di samping itu, orang laut juga berperanan dalam membantu perkembangan ekonomi Srivijaya. Cara mereka membantu perkembangan ekonomi ialah menarik kapal-kapal dagang untuk berdagang di Srivijaya. Menurut Andaya, kelebihan orang laut yang lain ialah mereka dapat menentukan dengan tepat di manakah benda-benda yang diminati ini boleh dijumpai seperti akar bahar dan teripang yang banyak digunakan sebagai rencah sup Cina dan perubatan. [12]

3.0 FAKTOR LUARAN YANG MEMPENGARUHI EMPAYAR SRIVIJAYA PADA KURUN KE 7 HINGGA KE 13 MASIHI
3.1 PERLUASAN WILAYAH

            Kedudukan geografi Srivijaya yang strategik membolehkan Srivijaya mengawal laluan perdagangan timur-barat di Selat Melaka khususnya perdagangan dengan China serta Timur Tengah dan benua kecil India. Penguasaan Srivijaya meliputi kawasan Sumatera, sebahagian Pulau Jawa, Semenanjung Tanah Melayu, selatan Siam sehingga persisiran barat Borneo. Dari segi negeri, kawasan itu merangkumi wilayah utama seperti Palembang serta kawasan sekitar Sungai Musi, Kedah-Langkasuka, Takuapa-Chaiya-Nakhorn Si Thammarat dan Banjarmasin. Kesemua tempat ini dikaitkan dengan pusat perdagangan wilayah yang penting. Pada kurun ke-13, jajahan takluk Srivijaya berpusat di Jambi meliputi juga negeri-negeri pantai timur Semenanjung seperti Pahang, Terengganu, Langkasuka dan Kelantan. [13]
            Pada penghujung abad ke 7 Masihi, Srivijaya telah berjaya menakluk beberapa kawasan di sekitarnya antaranya Langkasuka, Bangka, Temasik, Tulang Bawang, dan Minanga. Sebagai contohnya, penguasaan Srivijaya terhadap Langkasuka. Srivijaya mengambil pengaruh daripada kerajaan Langkasuka terutamanya dari segi perdagangan. Hal ini demikian kerana Langkasuka mempunyai pelabuhan entreport yang baik dalam membantu perkembangan ekonomi Srivijaya. Hubungan ini dieratkan lagi menerusi perkahwinan diraja Langkasuka dengan Srivijaya. Perkahwinan anak Raja Seri Wangsa iaitu Raja Indera Wangsa dinikahkan dengan puteri raja Langkasuka. [14]
            Melalui proses amalgamasi menurut Andaya merupakan satu langkah politik dan diplomatik yang amat bermakna kepada empayar Srivijaya[15].  Hal ini juga memperlihatkan  perkembangan budaya yang jelas secara tidak langsung terhadap kedua-dua empayar.
3.2 MANIPULASI PERDAGANGAN OLEH KERAJAAN SRIVIJAYA
            Srivijaya berjaya memanipulasi perdagangan antarabangsa apabila terdapat tiga lapisan perdagangan iaitu entrepot utama di Palembang. Bukan setakat itu sahaja, entrepot wilayah seperti Takuapa, Chaiya (Pan-Pan), Kuala Kedah, Sungai Emas di Lembah Bujang, Melayu-Jambi, Lampung, Kota China, Kampar, Barus dan Lamuri. Ada sarjana berpendapat bahawa pusat entrepot wilayah dibiarkan dengan pentadbiran sendiri selagi mana ianya tidak menggugat kedudukan Srivijaya dengan syarat perlu membayar ufti. Perdagangan antarabangsa dan antara wilayah menjadi nadi utama Srivijaya. Contohnya, perdagangan antarabangsa antara Palembang-Canton, kapal-kapal Melayu yang dikuasai pemerintah Srivijaya tetapi para pemerintah tidak terlibat secara langsung dalam sebarang urusan perdagangan. Golongan memerintah lebih mementingkan keuntungan semata-mata bagi mengukuhkan kedudukan politik dan ekonomi mereka.[16]
            Selain itu, fungsi pelabuhan entreport sebagai tempat penerimaan barang-barang dagangan dari negara-negara luar. Kemudiannya, barang-barang itu dihantar ke negara-negara lain pula. Kedudukan pelabuhan yang strategik ini membolehkan ianya terhindar daripada tiupan angin Monsun Barat Daya dan Monsun Timur Laut. [17] Menurut Nordin Husin, perdagangan maritime di Selat Melaka merangkumi satu jaringan yang mempunyai hubungan dalam lingkungan perdagangan dunia yang merangkumi wilayah di sepanjang Lautan Hindia dan Lautan China Selatan.[18] Selat Melaka juga memberikan perkhidmatan sebagai tempat transit dan membekalkan bahan-bahan segar dan makanan kepada pedagang yang belayar jauh. Pelabuhan-pelabuhan yang terdapat di Selat Melaka merupakan tempat yang selamat kepada pedagang untuk berhenti dan menanti perubahan tiupan angin monsoon ke timur dan barat. Keadaan ini telah memberi ruang kepada kerajaan Srivijaya menjalinkan hubungan perdagangan dengan mereka.
            Di samping itu, kerajaan Srivijaya mengamalkan sistem percukaian yang sistematik dan tidak  membebankan pedagang. Mereka masih mampu untuk menjalankan perniagaan Sebenarnya sistem ini mengkayakan golongan atasan. Mnurut Wolters, sumber utama kekayaannya berpunca dari pelabuhan dan bayaran cukai perdagangan pedagang-pedagang pelbagai negara yang menggunakan perkhidmatan entreport di ibu negeri pemerintah.[19]
3.3 HUBUNGAN DENGAN CHINA
Kerajaan Srivijaya menjalinkan hubungan yang baik dengan China. Pada tahun 607, kerajaan China membuka pintu kepada negeri-negeri yang berada jauh dari China iaitu Srivijaya. Menurut Wolters, kebangkitan awal dan kejayaan Srivijaya bergantung erat kepada perkembangan hubungan istimewa dengan Maharaja China turun temurun. Ditambahkan lagi, kedudukan geografi Srivijaya yang menguntungkan kedua-dua belah pihak. Hal ini demikian kerana Srivijaya berada di jalan dagang maritim ke benua China. Oleh sebab letaknya angin monsoon timur laut, maka kedudukan Srivijaya tidaklah boleh disaingkan oleh kerajaan-kerajaan lain selagi China memerlukan sebuah pelabuhan yang bertaraf antarabangsa.
Selain itu, kerajaan Srivijaya menghantar ufti kepada maharaja China kerana kerajaan Srivijaya sedar betapa pentingnya sistem ufti. Sistem ini sekaligus mengiktiraf Maharaja China sebagai kuasa tertinggi. Maharaja-maharaja China sehingga zaman bahagian Selatan Sung (1127-1279 Masihi) enggan membenarkan perdagangan Cina secara persendirian. Disebabkan hal itu, barangan dari sebarang laut sahaja boleh diterima sebagai ufti. Kerajaan-kerajaan Melayu menyedari hal itu, namun kerajaan Srivijaya bijak memanipulasi sistem ini untuk kepentingan sendiri. Raja-raja Srivijaya bersedia mengiktiraf kedaulatan China asalkan selagi ianya dapat menjamin perdagangan yang menghasilkan polangan yang menguntungkan. Pada tahun 960 dan 983 Masihi, tidak kurang daripada rombongan dari Srivijaya di Istana Maharaja Cina. Perkara ini sekaligus memperlihatkan hubungan yang baik antara kedua-dua pihak.
Sami Buddha, I Ching tiba di kota Srivijaya. Kedatangannya telah disambut dengan meriah. Apabila raja Srivijaya mengetahui bahawa I Ching berasal dari China maka beliau diberi penghormatan berlipat ganda. Pada thaun 1003, utusan-utusan Srivijaya tiba di negeri China dengan berita yang menggembirakan hati raja. Raja telah membina kuil untuk bersembahyang kepada Maharaja. Sebagai memenuhi permintaan mereka, Maharaja telah memberikan gelaran kepada kuil itu dan menghadiahkan sebuah loceng. Kesan daripada itu, hubungan ini dapat dieratkan. [20]

4.0 KESIMPULAN
            Konklusinya, kedudukan Srivijaya pada kurun ke-7 hingga ke-14 telah menggambarkan kepada kita tentang jatuh bangunnya sebuah empayar kuno pada suatu ketika dahulu. Srivijaya telah melalui zaman manis dan zaman pahitnya tersendiri. Srivijaya mempunyai asas organisasi sosial dan politik yang teratur yang melahirkan sistem pentadbiran yang sistematik. Pada keseluruhannya pentadbiran yang sistematik ini mampu menjalinkan hubungan politik serantau dan juga antabangsa dengan jayanya di samping mengangkatkan kedudukan keagungan raja sebagai pemerintah. Kedudukan Srivijaya sebagai sebuah kuasa maritim yang kuat tidak menjamin pengaruhnya berkekalan dan sentiasa ditentang oleh musuh-musuh daripada pelbagai pihak luar. Namun, Srivijaya memberikan tentangan hebat terhadap musuh-musuhnya. Walaubagaimanapun, Srivijaya dianggap sebagai sejarah orang Melayu di mana dikatakan Parameswara sampai ke Melaka setelah lari dari Temasik iaitu sebahagian jajahan Srivijaya.

BIBLIOGRAFI
Abu Talib Ahmad, “Zaman Pra-Melaka/Pra-Islam dan Identiti Politik Melayu”  dalam Abdul Rahman Haji Ismail (Peny.). Malaysia: Sejarah Kenegaraan dan Politik. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka,2005.
Andaya, Barbara Watson & Leonard Y. Sejarah Malaysia. Petaling Jaya : Macmillian, 1983
Hall,D.G.E. Sejarah  Asia Tenggara. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka, 1971.
Ibrahim Syukri. Sejarah Kerajaan Melayu Patani. Kuala Lumpur: Universit Kebangsaan Malaysia, 2002.
Nik Hassan Shuhaimi. Srivijaya: Satu Tinjauan Tentang Organisasi Sosial  Dan Pentadbiran. Kuala Lumpur: Universiti Kebangsaan Malaysia, 1979
Nordin Hussin. Geografi dan Perdagangan : Kepentingan Selat Melaka kepada Perdagangan Dunia, Asia dan Dunia Melayu 1700-1800. E. Jurnal. 3-26. 2008 Mei. Diakses pada 29 Mac 2017, dari Akademika Web: http://www.ukm.my/penerbit/akademika/ACROBATAKADEMIKA73/akademika73%5B01%5D.pdf.
Pengenalan Kepada Peradaban Melayu. Diaskses pada 21 Mac 2017, dari UM Students’ Repository: http://studentsrepo.um.edu.my/491/2/BAB1.pdf.
Suwannathat, Kobkua. Asia Tenggara: Hubungan Tradisional Serantau. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka, 1997.
Wolters, O.W.. Kejatuhan Srivijaya dalam Sejarah Melayu. (Terj.). Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka, 1990.
Wolters,O.W.. Perdagangan Awal Indonesia, Satu Kajian Asal Usul Kerajaan Srivijaya, (terj.). Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka, 1989



[1] Hall,D.G.E., Sejarah  Asia Tenggara, (Kuala Lumpur : Dewan Bahasa dan Pustaka, 1971),  34
[2] Pengenalan Kepada Peradaban Melayu, Diaskses pada 21 Mac 2017, http://studentsrepo.um.edu.my/491/2/BAB1.pdf.
[3] Andaya Barbara Watson dan Leonard Y, Sejarah Malaysia, (Petaling Jaya : Macmillian, 1983), 21.
[4].Wolters,O.W, Perdagangan Awal Indonesia, Satu Kajian Asal Usul Kerajaan Srivijaya, (terj.), (Kuala Lumpur : Dewan Bahasa dan Pustaka, 1989), 1.
[5] Nik Hassan Shuhaimi , Srivijaya: Satu Tinjauan Tentang Organisasi Sosial  Dan Pentadbiran, (Kuala Lumpur: Universiti Kebangsaan Malaysia, 1979), 167
[6] Ibid.
[7] Ibid.,168
[8] Ibid.,171
[9] Abu Talib Ahmad, “Zaman Pra-Melaka/Pra-Islam dan Identiti Politik Melayu”  dalam Abdul Rahman Haji Ismail (Peny.), Malaysia: Sejarah Kenegaraan dan Politik, (Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka,2005),52
[10] Andaya Barbara Watson dan Leonard Y, Sejarah Malaysia,30
[11] Ibid.,28-29
[12] Ibid.,15
[13] Abu Talib Ahmad, “Zaman Pra-Melaka/Pra-Islam dan Identiti Politik Melayu”  dalam Abdul Rahman Haji Ismail (Peny.), Malaysia: Sejarah Kenegaraan dan Politik,42
[14] Ibrahim Syukri, Sejarah Kerajaan Melayu Patani, (Kuala Lumpur, Universit Kebangsaan Malaysia, 2002),30
[15] Kobkua Suwannathat, Asia Tenggara : Hubungan Tradisional Serantau, (Kuala Lumpur : Dewan Bahasa dan Pustaka, 1997),  43.
[16] Abu Talib Ahmad, “Zaman Pra-Melaka/Pra-Islam dan Identiti Politik Melayu”  dalam Abdul Rahman Haji Ismail (Peny.), Malaysia: Sejarah Kenegaraan dan Politik,43
[17]  Barbara Watson dan Leonard Y. Andaya, Sejarah Malaysia,20.
[18]Nordin Hussin, Geografi dan Perdagangan : Kepentingan Selat Melaka kepada Perdagangan Dunia, Asia dan Dunia Melayu 1700-1800. E. Jurnal. 3-26. Diambil 15 April 2016, dari Akademika Web: http://www.ukm.my/penerbit/akademika/ACROBATAKADEMIKA73/akademika73%5B01%5D.pdf(2008 Mei).
[19] O.W. Wolters, Kejatuhan Srivijaya dalam Sejarah Melayu, (terj.), (Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka, 1990), 15.
[20]Barbara Watson dan Leonard Y. Andaya, Sejarah Malaysia,27

Friday, 23 February 2018

Scrol Bar Menawan

Assalamulaikum dan hi!

Amira Najihah here. Sudah lama aku tak update blog. Kali ini kita melepaskan gian tulis blog. Kali ini tutorial cara buat scrol bar yang menawan. Bagi yang tak tahu apa itu scrol bar meh i tunjukkan haha.

Hasil carian imej untuk scrol bar


Jom kita buat

1. Sign in cam biasa
2.  Dashboard > Design > Edit Html > Tick Expand Widget Templates
3. Tekan Ctrl F serentak , cari kod ini :




4. Then copy kod ni


]]></b:skin>


::-webkit-scrollbar {

height:12px;
width: 12px;
background: #ffffff;
}
::-webkit-scrollbar-thumb {
background-color: #ff3399;
-moz-border-radius: 10px;
border-radius: 10px;
border: 1px solid #ffffff;


5. Paste kan kod itu DI ATAS kod ]]></b:skin>

Petunjuk3

warna ungu         = background scroll bar
 = warna scroll bar anda

HASILNYA



SELAMAT MENcUBA!