Saturday, 19 May 2018

PERKEMBANGAN MUZIUM DI MALAYSIA


1.0     PENDAHULUAN
Perkataan muzium berasal daripada perkataan Yunani iaitu ‘muoseion’ yang membawa maksud tempat suci untuk menghiburkan para pengunjungnya. Orang Roman membataskan istilah muoseion sebagai tempat perbincangan ahli falsafah. Selain tu, muzium merujuk kepada nama kuil Sembilan Dewi Muses iaitu anak-anak Dewa Zeus. Hal ini dianggap sebagai lambang kepada ilmu dan kesenian. Anak perempuan Dewa Zeus menjaga hal-hal berkaitan kesenian, sejarah, epik, lirik, syair, tarian, astronomi dan keagamaan. Selain itu, hasil kerja seni rakyat mempunyai perkaitan langsung dengan
peristiwa lampau turut dipamerkan di tempat suci ini. Mereka menganggap karya mereka sebagai sesuatu amat membanggakan. [1]
      Definisi muzium menurut International Council of Museum (ICOM) sebagai institusi bersifat tetap, tidak mencari keuntungan, memberi perkhidmatan kepada masyarakat, menguruskan perkembangannya, terbuka kepada umum, mengumpul, memulihara, menghubungkan, mempamerkan untuk pendidikan dan menghibur bukti-bukti tinggalan manusia dan alam sekitar. [2] Definisi lain bagi muzium ialah sebuah bangunan atau bilik mempunyai fungsi untuk mempamerkan sesuatu yang jarang, menarik atau hasil kerja yang mempunyai unsur spesimen seni, sains dan ciptaan. [3]
Sejarah muzium apabila muzium pertama ditubuhkan di dunia iaitu Muzium Alexanderia, Mesir pada sekitar kurun ke 3 Sebelum Masihi oleh oleh Ptolemy II. Ini berikutan penemuan dari inskripsi yang ditulis oleh Tiberius Claudiud Balbilus dari Rom sekitar tahun 56 SM. Terdapat juga sumber yang menyatakan ia dibangunkan pada tahun 283 SM oleh Ptolomeus I. Pada tahun 1925, seorang ahli arkeologi bernama Leonard Wolley yang pada ketika itu bertugas di Muzium Ashmolean, Oxford, England mendakwa muzium purba pertama di dunia ialah Muzium Ennigaldi. Hal ini demikian kerana beliau secara tidak sengaja menjumpai penemuan luar biasa iaitu muzium itu semasa menjalankan kerja-kerja eskavasi sebuah istana di Babylon. Muzium ini dipercayai dibina pada tahun 530 SM oleh Puteri Ennigaldi iaitu anak perempuan Raja Nabonidus yang merupakan raja terakhir Empayar Neo-Babylon. Menurut tradisi ketika itu, anak-anak perempuan diraja Mesopotamia menjaga hal-hal keagamaan dan ilmu pengetahuan. Wolley mengemukakan pandangan berdasarkan penemuan label muzium terawal yang beliau temui pada kebuk silinder yang diperbuat daripada tanah liat yang ditulis dalam Bahasa yang berbeza iaitu Bahasa Sumeria purba dan Bahasa Semitik yang lebih moden. Wolley dalam bukunya mengaktakan bahawa;

"These," it said, "are copies from bricks found in the ruins of Ur, the work of Bur-Sin king of Ur, which while searching for the ground-plan [of the temple] the Governor of Ur found, and I saw and wrote out for the marvel of beholders.”

Berdasarkan kenyataan di atas menunjukkan masyarakat pada ketika itu telah mengkaji sejarah dalam tempoh 2500 SM iaitu sejak dari zaman kerajaan Ur. Hal ini dapat dibuktikan lagi dengan penemuan kebuk dan gendang daripada tanah liat yang ditemui yang merupakan bukti kejatuhan Empayar Rom. Kemungkinan label yang ditemui oleh Walley merupakan label berusia 100 tahun atau lebih awal daripada itu dan disimpan bersama tarikh tinggalan batu bata asal. Wolley menganggap ini sebagai rekod penggalian saintifik pertama di Ur. Beliau mengagumi dengan kehebatan bidang arkeologi di Ur. Beliau juga berpendapat bahawa muzium ini yang paling kuno tetapi telah mendahului muzium moden yang pertama kira-kira dua milenium. [4]
2.0     SEJARAH PERKEMBANGAN MUZIUM DI MALAYSIA
Pada tahun 1883, Muzium Perak terletak di Taiping, Perak merupakan muzium pertama ditubuhkan di Malaysia. Muzium ini ditubuhkan atas cadangan dari seorang Residen Perak pada ketika itu iaitu Sir Hugh Low.  Kurator Muzium Perak yang pertama ialah Leonard Wray Junior (1883-1904) iaitu Pegawai Penguatkuasa dalam Organisasi Pentadbiran Taman Bukit Larut untuk mengumpulkan segala bahan berkaitan sejarah, sosio-ekonomi, etnologi, geologi, botani dan zoologi. Pihak Inggeris membina muzium kerana mereka merasakan perlunya ada sebuah pusat untuk mengkaji budaya dan adat resam setempat. Tujuan mereka adalah untuk memahami cara hidup masyarakat tempatan bagi memudahkan mereka mentadbir tanah jajahannya. Selain itu, muzium turut dijadikan sebagai pusat rekreasi dan tempat pertemuan sosial komuniti penjajah. Ia juga merupakan salah satu instrumen propaganda pihak Inggeris untuk memperlihatkan sumbangan penjajah kepada masyarakat yang dijajah. Kemudiannya, muzium ini berkembang maju dengan kepelbagaian pameran artifak seperti himpunan buah-buahan tempatan dan herba-herba di alam Melayu, mengumpulkan data sejarah pembesar-pembesar di negeri Perak, pakaian persalinan dan alat-alat kebesaran keluarga diraja Perak dan budaya serta adat resam setempat. [5]
Pada tahun 1888, Sir Charles Brooke iaitu Rajah Putih Sarawak menubuhkan Muzium Sarawak di Kuching, Sarawak. Pada masa yang sama, Muzium Selangor ditubuhkan oleh Residen British Selangor pada ketika itu iaitu Frank Swettenham. Muzium itu siap dibina pada tahun 1904. Pada tahun 1910, Muzium Perak dan Muzium Selangor disatukan di bawah satu pemerintahan yang sama. Pada tahun 1932, kedua-dua muzium ini dipisahkan dan diletakkan di bawah pentadbiran kedua negeri masing-masing.  Muzium Selangor hampir musnah akibat terkena ledakan bom yang digugurkan oleh kapal terbang B29 tentera Bersekutu pada 10 Mac 1945 iaitu berakhirnya Perang Dunia Kedua. Selepas negara mencapai kemerdekaan pada 31 Ogos 1957, Muzium Negara dibina di atas tapak yang sama. Ianya dirasmikan pada 31 Ogos 1963.[6]
Pada masa kini, institusi muzium seperti cendawan tumbuh selepas hujan. Ini dapat dibuktikan lagi dengan jumlah penubuhan muzium semakin bertambah. Faktor peningkatan jumlah muzium ini ialah kesedaran orang ramai terhadap peranan dan fungsi muzium yang dilihat semakin mencabar dalam meniti arus kemajuan dan globalisasi. Hampir setiap negara di seluruh dunia mempunyai muzium masing-masing. Setiap muzium mempunyai objektif penubuhannya yang tersendiri. Muzium dibina berpaksikan kekuatan koleksi yang amat tinggi nilai sejarahnya. Berdasarkan statistic terkini yang dikeluarkan oleh Jabatan Muzium Malaysia, Malaysia mempunyai sebanyak 189 buah muzium di seluruh negara termasuk muzium-muzium di bawah kerajaan persekutuan, kerajaan negeri, pihak berkuasa tempatan, agensi-agensi kerajaan, pihak swasta dan institusi-institusi pendidikan.
Muzium-muzium dibahagikan mengikut jenis-jenis pengurusan iaitu muzium nasional, muzium negeri atau daerah, muzium institusi atau jabatan, muzium universiti dan muzium persendirian. Berdasarkan jenis-jenis pengurusan muzium yang ada dapat diklasifikasikan mengikut fungsi iaitu bidang iaitu muzium arkeologi, muzium sejarah, muzium kebudayaan, muzium alam semulajadi, muzium maritim, muzium Orang Asli atau pribumi, muzium Islam, muzium patung lilin, muzium automobil, muzium hutan, muzium zoologi, muzium senibina, muzium diraja dan muzium padi. [7]
Bermula dari hobi mengumpul objek-objek kecil yang dikatakan pelik, unik dan menarik yang menjadi koleksi yang besar sehingga memerlukan tempat yang khusus dan eksklusif untuk menyimpannya. Semangat inkuiri atau perasaan ingin tahu yang tinggi dalam kalangan cendekiawan dan golongan bangsawan, kaedah pengkajian dan penyelidikan diwujudkan bagi memperolehi lebih banyak dapatan melalui satu-satu objek yang dikaji. Mengambil kira semua perkara ini maka terhasillah muzium yang berfungsi sebagai sebuah institusi pendidikan yang menjadi tumpuan orang ramai.
3.0     FUNGSI MUZIUM
3.1     MUZIUM SEBAGAI WAHANA PENDIDIKAN
Fungsi kewujudan muzium ialah memberikan pendidikan kepada masyarakat. Oleh sebab itu, muzium di Malaysia amnya telah menyediakan beberapa program dan perkidmatan yang tertentu bagi memenuhi kewajipannya dalam bidang ini. Contohnya, jurupandu muzium mengendalikan lawatan pengunjung. Jurupandu muzium terdiri daripada pegawai berpengalaman yang dilantik dengan tujuan memberi penerangan dan maklumat kepada pengunjung. Melalui jurupandu muzium juga, pengunjung memperolehi fakta yang tepat. Cara ini, para pengunjung tidak membuta tuli dengan hanya berjalan dan berlegar-legar di sekitar muzium dan mengelakkan pengunjung daripada cepat bosan dan serik untuk berkunjung ke muzium lagi.
Muzium juga turut mengadakan ceramah bagi menerangkan kepada umum mengenai kemudahan-kemudahan yang terdapat di muzium berkenaan. Pihak muzium menyediakan bahan-bahan selain dari artifak iaitu bahan-bahan rujukan seperti pita-pita rakaman, dang ambar-gambar foto. Bahan-bahan ini boleh ijadkan sebagai sumber pembelajaran dan pengajaran secara tidak langsung kepada pengunjung. Menurut Helmut J. Naumer mengatakan bahawa;
“Education is the key word in the definition, because that is what make the museum of today valid-not just the valuable collections and the striking exhibitions, but the education programs that reach out the community and touch the lives of many.”
Berdasarkan kenyataan diatas jelaslah menunjukkan bahawa pendidikan dan sumber pengetahuan tidak dapat dipisahkan dari muzium kerana fungsi muzium ialah memberikan pendidikan kepada pengunjung muzium.

Selain itu, muzium juga menerbitkan bahan-bahan koleksi sebagai tarikan kepada pengunjung untuk melawat muzium. Sekaligus membuka mata pengunjung untuk menyedari bahawa muzium merupakan institusi pendidikan dan pembelajaran. Muzium juga berfungsi sebagai pusat penyebaran maklumat. Hal ini dapat dibuktikan bahawa pihak muzium mengedarkan pamphlet, bulletin, dan poskad bertujuan menjadikannya bahan maklumat ringkas mengenai sesuatu perkara seperti pameran, tempat-tempat bersejarah dan tokoh-tokoh. Hal ini secara tidak langsung telah mendidik pengunjung sekaligus menarik minat mereka untuk berkunjung ke muzium.
Di samping itu, pihak muzium menyediakan perkhidmatan dalam memberi peluang kepada penuntut-penuntut universiti membuat latihan praktikal. Mereka akan diajar mengenai perjalanan sesebuah organisasi muzium di seebuah negeri atau negara. Mereka juga didedahkan mengenai tanggungjawab, tugas dan peranan bagi setiap jawatan yang ada dalam organisasi muzium. Mereka juga dilatih mengenai cara-cara menyelenggarakan sesebuah pameran sama ada dalam bentuk tetap atau bergerak. Sepanjang tempoh praktikal, penuntut-penuntut akan dapat belajar banyak perkara menegani cara berorganisasi, kemahiran menulis dan bertutur dengan lebih baik. Hal ini boleh dijadikan sebagai pengalaman yang sangat berguna selepas penuntut-penuntut tamat pengajian di universiti. Cara ini juga membantu penuntut-penuntut mendekatkan diri dengan muzium agar perjuangan muzium itu dapat diteruskan hingga sepanjang zaman. Penuntut-penuntut universiti merupakan bakal pelapis yang bakal mentadbir dan diharapkan dapat membawa perubahan yang besar dalam industri permuziuman di Malaysia pada masa akan datang.
3.2     MUZIUM SEBAGAI PUSAT PELANCONGAN
Industri pelancongan Malaysia berkembang pesat. Hal ini demikian kerana keadaan politik, ekonomi dan sosial negara yang stabil dapat meyakinkan masyarakat antarabangsa untuk melawat Malaysia. Disebabkan hal itu, pihak muzium mengambil pelbagai inisiatif untuk memajukan industri permuziuman. Dalam era globalisasi ini, muzium dijadikan sebagai perkampungan global yang mengumpulkan pelancong-pelancong-pelancong tempatan mahupun asing yang menggalakkan keamanan, kefahaman, pendidikan dan komunikasi pelbagai hala. Semua masalah yang dihadapi oleh sesebuah muzium merupakan isu global yang boleh dikongsi bersama dengan muzium-muzium lain melalui Majlis Muzium Antarabangsa (ICOM) dan organisasi yang berkaitan.
Muzium dijadikan sebagai ‘front line’ kepada para pelancong yang datang melawat Malaysia untuk mendapatkan maklumat mengenai sesuatu kawasan yang mereka hendak lawati. Jelaslah menunjukkan bahawa muzium sebagai ‘pintu’ utama yang memperkenalkan pelancong untuk memperolehi maklumat yang lebih mendalam mengenai latar belakan negara yang dihuni oleh masyarakat yang mempunyai latar belakang yang berbeza. Pihak muzium telah menyediakan bahan bacaan bertulis dalam bentuk pamphlet atau brouchers seupaya data yang diterangkan secara lisan oleh jurupandu muzium dapat dijelaskan dan dilengkapkan dalam medium bertulis.
Selain itu, pihak muzium boleh juga mengadakan kerjasama dengan industri kecil dan sederhana (IKS) untuk mempamerkan hasil produk mereka seperti kain batik, songket, barang-barang tembaga dan kraf tangan di muzium dalam bentuk pameran bergerak yang berbentuk sementara. IKS juga boleh memasarkan produk mereka di luar negara. Produk yang mereka pasarkan perlulah mempunyai pelabelan seperti pengenalan dan butir-butir yang jelas mengenai proses pembuatannya, sejarah asal usul dan fungsi barangan tersebut. Menjadi kelebihan sekiranya barangan itu ditulis dalam pelbagai bahasa agar pelancong dapat memahami apa yang cuba disampaikan. Kesannya, pelancong akan berminat dengan kebudayaan masyarakat tempatan dan menjadikan Malaysia sebagai destinasi wajib mereka.
4.0     CABARAN-CABARAN YANG DIHADAPI OLEH MUZIUM PADA MASA KINI

4.1     INFORMATION CENTRE TECHNOLOGY (ICT) DAN KEWUJUDAN MASYARAKAT BERILMU
Perubahan dan perkembangan teknologi maklumat telah berupaya membentuk masyarakat yang mempunyai pengetahuan yang lebih matang dan tinggi jika dibandingkan dengan masyarakat tradisi. Pada masa kini, globalisasi tanpa sempadan telah meledak sekali gus memboleghkan masyarakat berinteraksi di seluruh pelosok dunia dalam sekelip mata sahaja. Sesuatu masyarakat boleh menembusi lingkaran budaya asing. Hal ini telah membawa kepada budaya yang seragam (homogeneous) atau peraturan dunia (world order) yang baru.
       Contoh, saluran televisyen kabel seperi Discovery, CNN Travel, History Channel, dan National Geographic telah mendedahkan maklumat seperti kehidupan masyarakat luar. Sehubungan dengan itu, muzium sekarang perlulah menumpu kepada bentuk pameran yang bersifat antara-budaya (cross-cultural) yang boleh masyarakat menerima manfaat tanpa mengira sempadan geografi yang sempit.
Ledakan teknologi telah memberi cabaran kepada muzium. Hal ini demikian kerana anak-anak muda khususnya lebih berminat dengan permainan berbentuk ‘play station’ bagi mengisi masa lapang mereka. Jika salah satu fungsi muzium adalah untuk mendidik dan memberi hiburan maka muzium seharusnya memikirkan cara untuk memenangi hati generasi muda untuk berkunjung ke muzium melalui aktiviti dan pameran yang menarik.
4.2     MASALAH PERUNTUKAN KEWANGAN
Tanpa wang yang mencukupi memang sukar bagi muzium untuk menambahkan koleksi baru dan menjalankan aktiviti yang telah dirancangkan oleh pihak muzium. Umum mengetahui bahawa muzium adalah institusi sosial dan pendidikan yang sukar dijual perkhidmatan bagi memperoleh hasil kewangan yang mencukupi untuk membiayai program. Sekiranya adapun pihak yang bersimpati untuk memberikan sumbangan yang sekadar cukup untuk membiayai sebahagian kecil aktiviti sahaja.
       Dalam kes ini, muzium seharusnya menggunakan pendekatan korporat bagi memperoleh sumber kewangan selain mencari penajaan atau sponsor yang terdiri daripada syarikat-syarikat mega meskipun kita sedia maklum mereka amat keberatan untuk membiayai aktiviti-aktiviti yang dijalankan oleh muzium.
4.3     PERSEPSI MASYARAKAT MALAYSIA TERHADAP MUZIUM
Masyarakat Malaysia menganggap muzium negara, muzium negeri dan muzium jabatan hanya dimiliki oleh satu bangsa sahaja. Tambahan pula rata-rata peneraju muzium terdiri daripada bangsa tertentu lalu mereka beranggapan bahawa mereka tidak mempunyai hak untuk menegur dan menentukan perjalanan sesebuah muzium itu. Pihak pentadbiran muzium merasakan mereka melakukan tindakan betul dan mendapat restu semua pihak disebabkan tiada gesaan atau teguran yang membina daripada pihak-pihak yang tidak berpuas hati terhadap perjalanan sesebuah muzium.
       Sesetengah masyarakat Malaysia sering menyamakan atau mengaitkan dengan perkhidmatan kerajaan yang lain. Mereka mempunyai persepsi yang negatif dan tipikal terhadap jabatan-jabatan kerajaan dan pegawai-pegawai kerajaan. Hal ini diburukkan lagi sikap peneraju-peneraju muzium yang menimbulkan kebosanan dalam diri pelanggan. Justeru, persepsi ini perlu diubah. Mereka perlu melihat ke dalam diri dan nilai semula sumbangan yang diberikan setakat ini.
Selain itu, bahan-bahan pameran yang dipamerkan di muzium tidak mencerminkan Malaysia yang mempunyai kepelbagaian bangsa, budaya dan agama. Ini jelaslah menunjukkan tiada usaha untuk mengenegahkan warisan semua masyarakat menyebabkan bangsa-bangsa tertentu merasakan dipnggirkan dan mengambil sikap menjauhkan diri. Hal ini disebabkan wujud ketidakseimbangan masyarakat Malaysia yang dipamerkan di muzium. Lantaran daripada itu, bahan-bahan pameran itu penadsiran artifak dan kaitan hubungan sejarah tanah air tidak sama rata. Mereka berasa kecil hati seolah-olah mereka beranggapan mereka tidak memberikan apa-apa sumbangan terhadap negara.

KESIMPULAN
Institusi muzium masih relevan atau dalam erti kata lain masih diperlukan. Sejarah telah membuktikan bahawa muzium merupakan tempat yang terbaik untuk para ilmuan dan sejarawan berkumpul untuk bertukar-tukar pandangan. Ia mempunyai perkaitan rapat dengan institusi pendidikan. Muzium memerlukan institusi pendidikan sebagai medium untuk mendidik dan menyampaikan maklumat kepada masyarakat terutama generasi muda mengenai sejarah, seni, budaya dan warisan bangsa. Muzium tidak seharusnya dilihat sebagai destinasi pelancongan bila tiba musim cuti persekolahan sahaja tetapi ia harus digunakan sebaik-baiknya oleh masyarakat dalam menimba ilmu pengetahuan di muzium.
Pembelajaran yang dijalankan di kelas atau kulah adalah bersifat teori dan abstrak di mana ianya memerlukan kepada daya pemikiran imaginatif berbanding kaedah pembelajaran di muzium yang memberikan kesempatan kepada pelajar untuk mendalami ilmu pengetahuan dan menimba pengalaman serta mengalami keadaan sebenar. Muzium juga mampu memberikan gambaran yang konkrit dan menjadi media pendidikan yang efektif. Sekali gus memberikan peluang kepada pengunjung terutamanya pelajar untuk lebih memahami dan menghayati sejarah tanah air mereka sendiri dengan lebih berkesan selain mereka diberikan pendedahan terhadap suasana penyelidikan persejarahan.

BIBLIOGRAFI
Nor Hanisah bt. Ahmad.Pengenalan Kepada Dunia Permuziuman. Kuala Lumpur: Jabatan Muzium Malaysia
Direktori Muzium-Muzium Jabatan Muzium Malaysia.(2012).Kuala Lumpur: Jabatan Muzium Malaysia
Profesor Dr. Othman Yatim.(2005).Syarahan Perdana Pembudayaan Muzium dan Pelestarian Warisan, Pembinaan Bangsa. Kuala Lumpur: Universiti Malaya
Theodore Anton Sande (March 1992). “Museums, Museums, Museums” dalam Museum , Management and Curatorship, Number 1. London: Butterworth-Heinemann Ltd.


[1] Lihat Abdullah bin Haji Jedi dalam Muzium Negara Malaysia : Sejarah Perkembangan 1958 – 1975, Latihan Ilmiah, Universiti Kebangsaan Malaysia, 1981, hal. 1
[2] Lihat Timothy Ambrose and Crispin Paine dalam Museum Basics (Second Edition), Routledge Taylor & Francis
Group, London and New York, 2008, hal. 8
[3] Theodore Anton Sande, “Museums, Museums, Museums”, dalam Museum , Management and Curatorship,  Number 1, (London: Butterworth-Heinemann Ltd., March 1992), hal. 186.
[4] Nor Hanisah bt. Ahmad,Pengenalan Kepada Dunia Permuziuman, (Kuala Lumpur: Jabatan Muzium Malaysia) hlm.3
[5] Profesor Dr. Othman Yatim,Syarahan Perdana Pembudayaan Muzium dan Pelestarian Warisan, Pembinaan Bangsa, (Kuala Lumpur: Universiti Malaya,2005),hlm. 18
[6] Nor Hanisah bt. Ahmad, Pengenalan Kepada Dunia Permuziuman, hlm. 6
[7] Direktori Muzium-Muzium Jabatan Muzium Malaysia,Kuala Lumpur: Jabatan Muzium Malaysia
[8] Profesor Dr. Othman Yatim,Syarahan Perdana Pembudayaan Muzium dan Pelestarian Warisan, Pembinaan Bangsa, hlm.22

Apakah itu sejarah dan mengapakah ia penting pada masa kini?


1.0 PENDAHULUAN
Sejarah merupakan satu cabang ilmu pengetahuan, displin ilmu berdasarkan sumber, bukti dan teori, falsafah serta kaedahnya.[1] Namun, terdapat banyak persoalan yang timbul dalam menuntut bukti. Pada tahun 1987, seorang sejarawan Amerika Syarikat iaitu Theodore S Homerow telah menyuarakan kebimbangan mengenai potensi dan perkembangan ilmu sejarah yng semakin hari semakin merundum, khususnya pada tahun 1980.[2] Namun begitu, sejarah mempunyai keistimewaan tertentu, iaitu sentiasa merangsang manusia untuk berterusan menyoal tentang peristiwa dan keadaan serta memperoleh faedah daripada persoalan yang diberikan.
Sebenarnya, bidang ini bermula dengan pelbagai persoalan utama iaitu 4W1H (who, where,when,why dan how). Bidang sejarah mula diberi perhatian apabila Universiti Gottingen ditubuhkan pada tahun 1737. Pada masa yang sama professor-profesor dalam bidang sejarah seperti Johann Christoph dan Arnold Hermann dilantik.[3] Kesannya, university ini sebagai pencetus kepada sarjana untuk mengkaji sejarah sehinggakan ianya dianggap sebagai bidang penyelidikan secara ilmiah.[4]
Konsep sejarah hermeneustik berbeza dengan awal penemuan sejarah yang lebih mementingkan unsur mitos dan lagenda. Konsep ini lebih menekankan kepada sumber dan kebenaran fakta serta berusaha menolak unsur mitos dan lagenda.[5] Ilmu sejarah juga amat berbeza dengan ilmu sains sosial. Hal ini demikian kerana ilmu sejarah ini bersifat khusus manakala ilmu sains sosial bersifat sejagatdan dapat dirumuskan melalui pola perubahan hukum.[6] Pendapat ini sama seperti Leopold Von Ranke yang mengatakan bahawa sejarah  bersifat khusus dan bukannya bersifat menekankan sesuatu persamaan, pengulangan dan penyeluruhan.[7] Jelaslah menunjukkan sejarah merupakan satu bidang yang khusus dan tidak boleh disamakan dengan bidang sains sosial yang lain.
            Merujuk kepada soalan iaitu “apakah itu sejarah dan mengapakah ia penting pada masa kini?” Penulis akan membahagikan kepada dua bahagian iaitu bahagian pertama menerangkan apa itu sejarah mengikut pandangan tokoh. Bahagian kedua pula penulis akan menerangkan mengapa bidang sejarah penting pada masa kini.

2.0 APAKAH ITU SEJARAH
Mohd Yusuf Ibrahim (1985) menterjemahkan perkataan sejarah iaitu History daripada perkataan Arab iaitu Syajaratun yang bermaksud pohon. Sejarah juga boleh ditakrifkan sebagai salasilah, tawarikh dan babad. Dari sudut lain pula, istilah history merupakan terjemahan dari perkataan Yunani yakni Histories yang membawa makna satu penyelidikan ataupun pengkajian. Namun, perkataan syajaratun dan sejarah masih menimbulkan keraguan. Buktinya, dalam Sejarah Melayu karya Tun Sri Lanang pada abad ke 17 telah meletakkan sebagai judul perkataan Arab iaitu Sulalatus Salatin yang kemudiannya diterjemahkan sebagai Sejarah Melayu. Karya tersebut tidak pula menyebut syajaratun tetapi sebaliknya menggunakan perkataan al-tarikh yakni perkataan Arab yang besar kemungkinan telah disesuaikan menjadi tarikh dalam Bahasa Melayu. Istilah al-tarikh merujuk kepada sejarah  oleh penulis sejarah tempatan sejak awal abad ini. Seterusnya istilah sejarah telah menggantikan perkataan tersebut.[8]
Menurut R.G. Collingwood, sejarah didefinisikan sebagai sejenis bentuk penyelidikan atau suatu penyiasatan tentang perkara-perkara yang telah dilakukan oleh manusia pada masa lampau. Hal ini bermaksud melalui penyelidikan, pelbagai persoalan yang ditanya oleh ahli sejarah itu sendiri dapat dijawab atau diketahui. Usaha untuk mencari jawapan disifatkan oleh Collingwood sebagai sains. Selain itu, Collingwood turut menekankan dua implikasi sekiranya pengiktirafan ciri itu timbul. Implikasi pertama iaitu kajian dalam sejarah berdasarkan kepada penafsiran bukti atau sumber-sumber yang sedia ada. Sumber-sumber boleh didapati melalui tulisan, dan kesan-kesan peninggalan lama. Ahli sejarah perlu menggunakan kedua-dua bukti ini untuk mencari jawapan yang sebenar. Implikasi kedua ialah hakikat bahawa kajian sejarah sepatutnya dilakukan oleh ahli sejarah itu sendiri. Pendapat Collingwood turut dipersetujui oleh para sarjana yang lain.[9] Saya bersetuju dengan pandangan Collingwood kerana setiap penceritaan sejarah perlulah disertakan bukti yang menyokong dan menyakinkan. Hal ini demikian kerana bukti yang sedia ada merupakan pentunjuk kepada sesuatu kebenaran sejarah. Selain itu juga, bukti sejarah menunjukkan sejarah bukanlah sebuah cerita rekaan semata-mata.
            Selain itu, menurut bapa sejarah iaitu Herodotus mengatakan bahawa sejarah merupakan satu kajian yang menceritakan satu kitaran jatuh bangunnya seseorang tokoh, masyarakat dan peradaban. Karya Herodotus yang bertajuk “Histories” memaparkan kisah Perang Parsi yang tercetus pada abad ke 5 S.M..[10] Perang Parsi tercetus apabila golongan atasan seperti Raja Darius, Croesus dan Xerxes mempunyai sikap yang agresif dalam meluaskan tanah jajahan mereka. Selain itu juga, perang ini terjadi ekoran pertembungan dua budaya yang bertentangan. Buktinya, negeri Yunani memperjuangkan kebudayaan Barat sedangkan negeri Parsi memperjuangkan kebudayaan Timur. Herodotus membuktikan dengan cara membuat perbandingan antara kedua-duanya. Perbandingan dari segi kebebasan yang dinikmati oleh orang Yunani dan orang Parsi. Orang Yunani hidup dengan pemerintahan kuku besi sedangkan di Parsi, mereka mengamalkan institusi perhambaan.[11] Jelaslah perbezaan antara kedua-dua negeri ini menyebabkan tercetusnya perang yang mengorbankan banyak nyawa. Sikap tindak tanduk manusia juga telah menyebabkan sejarah itu terhasil.
            Profesor Maurice Mandelbaum dalam bukunya “The Anatomy of Historical Knowledge” telah menyatakan bahawa sejarah bergantung kepada penyelidikan. Tujuan penyelidikan ialah menegakkan kebenaran mengenai kejadian-kejadian khusus yang telah benar-benar berlaku. Beliau berpendapat lagi tugas ahli sejarah iaitu mengumpul babad-babad dan semua rekod berkenaan masa lampau. Rekod-rekod dikumpulkan melalui penyiasatan dan hubungan-hubungan yang wujud di antara fakta-fakta yang tercatat.[12] Sebenarnya, saya bersetuju dengan pandangan beliau. Hal ini demikian kerana kejadian-kejadian sejarah memerlukan penyelidikan untuk mengetahui adakah kejadian itu benar-benar berlaku atau sebaliknya.
            Pada abad ke-19 di Eropah, Leopold Von Ranke, sejarawan dari Jerman mengatakan bahawa sejarah sudah lama wujud sebelum abad ke-19 lagi. Beliau menggunakan istilah sejarah dalam kajiannya terhadap perubahan dan perkembangan hidup manusia, khususnya dalam bidang politik.[13] Pendapat ini pula berbeza dengan Gatrude yang mengatakan bahawa bukan semata-mata mengkaji politik manusia sebaliknya merangkumi keseluruhan kehidupan manusia.[14] Saya kurang bersetuju dengan pandangan Ranke. Hal ini demikian kerana bukan semata-mata faktor politik yang menjadi asas kepada pengkajian sejarah malahan terdapat faktor-faktor seperti ekonomi dan sosial. Faktor-faktor ini sememangnya tidak dapat dipisahkan mengapa ianya berlaku. Di samping itu, Gatrude bersetuju dengan Ranke yang mengatakan bahawa “sejarah lama” telah lama wujud sebelum abad ke-19. [15]
            Tidak ketinggalan juga, sarjana-sarjana Islam seperti Ibn Khaldun dan Al-Masudi turut memberikan pandangan apa itu sejarah. Ibn Khaldun dalam bukunya Al-Muqadimah mengatakan bahawa penjelasan yang halus mengenai asal usul dan pengetahui mengenai bagaimana sesuatu peristiwa itu berlaku.[16] Al-Masudi mentakrifkan sejarah sebagai catatan yang terhimpun tentang keseluruhan ilmu pengetahuan manusia dan dianggap paling mulia dalam sains.[17]
3.0 KEPENTINGAN SEJARAH PADA MASA KINI
3.1 SEJARAH MEMBERIKAN KITA PANDUAN PADA MASA DEPAN
            Setiap manusia memerlukan sejarah sebagai petunjuk dari segi kesedaran mereka tentang segala pengalaman serta kewarasan dan kekuatan azam bagi merealisasikan cita-cita. Sejarah juga dapat mengajar manusia agar manusia sentiasa berada pada landasan yang benar dan berusaha untuk tidak mengulangi kesilapan yang lalu. Masa yang lalu dijadikan sebagai petunjuk dan iktibar bagi seseorang untuk mengendalikan masa yang sedang dialaminya dengan penuh keyakinan dan kekuatan serta dapat merancang masa depan dengan teliti. Masa lalu biarlah menjadi sejarah dalam hidup agar manusia lebih menghargai kehidupan pada masa depan.
            Ilmu sejarah diibaratkan sebagai penglihatan dengan dimensi. Penglihatan pada masa silam kemudiannya masa sekarang dan seterusnya pada masa depan. Perkataan dalam menyelidiki tidak dapat melepaskan diri dari kenyataan pada sekarang yang kita sendiri mengalaminya. Hal ini sedikit sebanyak kita tidak dapat melepaskan diri dari perspektif masa depan. Oleh sebab itulah sejarah pada masa lampau harus kita belajar dengan berpandukan kepada kenyataan mengenai perkembangan situasi sekarang selain menetapkan keinginan dan harapan untuk masa depan.
3.2 SEJARAH DAPAT MEMBERIKAN PENGAJARAN DAN KESEDARAN KEPADA MANUSIA
            Pendidikan dan pengetahuan terhadap sejarah seharusnya digunakan sepenuhnya oleh manusia. Cara ini juga dijadikan sebagai sumber kesedaran kepada individu dan masyarakat. Hal ini bertujuan untuk memupuk semangat baru bagi memperbaiki segala kelemahan, dan seterusnya menilai kesilapan yang pernah dilakukan oleh masyarakat. Pengalaman masyarakat yang lalu telah membolehkan kita lebih berkemampuan untuk membuat sesuatu keputusan yang baik. Stephen Vaugh mengatakan bahawa “… dengan mengkaji sejarah, kita dapat membuat persediaan dengan lebih baik bagi menghadapi sebarang kemungkinan dalam kehidupan moden.”[18]
            Contohnya, peristiwa 13 Mei 1969 atau rusuhan kaum yang berlaku telah memberikan kesan dan pengajaran kepada penduduk Malaysia. Pengajaran yang diperolehi daripada peristiwa itu ialah hubungan antara kaum.Tragedi telah membuka mata semua pihak untuk membuka ruang muhasabah diri supaya memikirkan sejauh mana hubungan antara kita sesama kita sebelum ini dan selepas ini. Semua pihak harus hormat menghormati antara satu sama lain. Selain itu juga, sikap saling percaya mempercayai antara satu sama lain perlu ada dalam jiwa masyarakat supaya peristiwa ini tidak terulang lagi. Kesannya, tidak mustahil ada pihak yang tidak bertanggungjawab mengambil kesimpatan ke atas kelemahan dan perpecahan antara kaum. Kejadian ini juga memberikan pengajaran kita perlulah mengikis sikap perkauman dengan lebih mengutamakan aspek keamanan dalam kehidupan seharian seterusnya mengelakkan peristiwa ini terulang buat kali kedua.
            Contoh lain ialah peristiwa Perang Dunia Pertama yang berlaku pada tahun 1914-1918. Perang ini terjadi disebabkan pembunuhan kerabat diraja Austria-Hungary iaitu Archduke Franz Ferdinand bersama isterinya, Dutchess Sophie di Sarajevo, Bosnia. Kesan pembunuhan itu maka terjadilah perang. Pengajaran dapat dipelajari daripada peristiwa ini ialah banyak nyawa terkorban akibat peperangan ini. Terdapat sekurang-kurangnya 13 juta orang telah terbunuh, ramai juga yang cedera dan cacat seumur hidup akibat daripada perang ini. Selain itu, perang juga telah menyebabkan negara Jerman dituduh sebagai dalang disebalik peperangan tercetus ini sekaligus mengakibatkan Jerman diarahkan untuk memulangkan tanah jajahan mereka. Pihak yang menang iaitu Pihak Berikat telah mendapat pampasan akibat daripada peperangan tesebut.[19]
            Contoh lain ialah semangat jihad dan zuhud dalam kalangan umat Islam seperti dua orang khalifah terkenal iaitu Khalifah Abu Bakar as-Siddiq dan Khalifah Umar al-Khattab telah mendedahkan kepada umat Islam supaya memahami sejarah dalam konteks agama, an menyambung perjuangan Nabi Muhammad SAW dan para sahabat baginda.[20] Pemahaman agama yang mantap membolehkan umat Islam mencipta kejayaan.
3.3 PANDUAN UNTUK MENERAJUI NEGARA
            Sesebuah negara sememangnya mempunyai sejarah tersendiri. Sejarah mempunyai peranan yang amat penting dalam menentukan hidup matinya sesbuah negara. Sejarah yang lalu menjadi landasan kepada sesebuah negara di dalam arena politik, ekonomi dan pembinaan masyarakat. Mereka melihat peristiwa yang telah berlaku boleh berulang pada masa yang berlainan atau sezaman dan pada masa akan datang.
            Sudah pastinya, sesebuah negara pasti mengalami empat proses pembentukan negara iaitu titik permulaan, kemudian berkembang, zaman kemuncak atau kegemilangan dan seterusnya mengalami zaman kejatuhan negara. Menurut Ibn Khaldun (1332 - 1406) mengatakan bahawa tamadun atau bangsa akan mengalami proses ini. Teori atau pendapat turut disokong oleh Arnold Tonybee (1889 – 1979).
            Contoh, kerajaan Marxist di Rusia muncul sebagai kerajaan Martxist yang berwibawa selepas tamatnya Revolusi 1917.[21] Usaha-usaha pemimpin seperti Lenin (1870 – 1924) dan Stanlin (1879 – 1953), Rusia menjadi salah satu negara yang menjadi kuasa besar dunia pada tahun 1945. Kejayaan dan taraf ini bertahan bahagian pertama dekad 1980-an. Melalui pertengahan dekad tersebut, Rusia mengalami krisis ekonomi yang teruk dan tidak dapat bertahan lagi. Pelbagai usaha yang dilakukan tetapi tidak berjaya. Mickhail Gorbanchor telah berjaya mengatasi masalah tersebut dengan membuat dasar Glanost. Usaha kerajaan Marxist ini berakhir pada tahun 1990 oleh gerakan politik dan ekonomi yang berjaya menghancurkan Kerajaan Marxist.[22]
3.4 WARISAN UNTUK GENERASI AKAN DATANG
            Generasi pada masa akan datang adalah pewaris kepada segala pengetahuan daripada masyarakat silam. Sejarah yang lalu boleh dijadikan warisan kepada generasi akan datang. Sejarah juga perlu dipelajari dan diketahui agar sesuatu yang dipusakai akan terus kekal diwarisi dan tidak lenyap dalam pemikiran masyarakat moden ini.
            Penulisan sejarah juga jelas menunjukkan bahawa kecintaan terhadap sejarah dalam diri manusia itu tidak dapat disingkirkan scara azali dalam diri manusia. Tambahan pula, sesuatu masyarakat yang lalu menulis sesuatu yang berkaitan mengenai asal-usul keturunan dan salasilah raja yang telah membuktikan wujudnya sesuatu bangsa yang bertamadun. Buktinya, Sejarah Melayu (Sulalatus Salatin) dan Tuhfat al-Nafis masing-masing dikarang oleh Tun Sri Lanang dan Raja Ali Haji menggambarkan mengenai asal-usul keturunan dan salasilah raja serta kewujudan bangsa. Jelaslah masyarakat silam menulis sejarah untuk tatapan generasi akan datang  untuk dikaji.

RUMUSAN
            Ilmu sejarah merupakan cabang ilmu akademik yang dipenuhi dengan pelbagai peristiwa yang berlaku. Justeru, sejarah merupakan satu keperluan asas kepada setiap individu dan masyarakat. Tanpa sejarah, manusia akan kehilangan arah, tidak mempunyai identiti diri, budaya, dan bangsa yang sebenar. Sejarah mempunyai nilai dan kepentingan yang tersendiri kepada individu, masyarakat dan negara. Pelbagai sejarah masa lalu dijadikan sebagai pedoman dan iktibar agar kita tidak mengulangi kesilapan yang sama. Sekiranya hal ini terjadi maka hancurlah kehidupan seseorang individu, masyarakat dan negara. Justeru itu, seboleh-bolehnya kita seharusnya melakukan pelbagai usaha yang jitu supaya sejarah ini tidak terulang.

BIBLIOGRAFI
A.L, Rowse. The Use of History. New York: The Coolier Book, 1965.
Arba’iyah Mohd Noor. Ilmu Sejarah dan Pensejarahan. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka, 2002.
Bilcher Bala. Penyelidikan dan Penulisan Sejarah. Bangi: Pusat Pengajian Jarak Jauh, Universiti Kebangsaan Malaysia, 2002.
Ibn Khaldun. al-Muqaddimah. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka, 2000
Mohamad Kamal Kamaruddin. Sejarah Eropah. Petaling Jaya, Selangor: Prentice Hall Pearson Malaysia Sdn Bhd, 2009.
Muhd Yusof Ibrahim. Ilmu Sejarah: Falsafah, Pengertian dan Kaedah. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka, 1997.
Muhd. Yusof Ibrahim. Pengertian Sejarah Beberapa Perbahasan Mengenai Teori dan Kaedah. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka, 1986
Mustafa Haji Daud. Sejarah Perjuangan Islam. Kuala Lumpur: Penerbitan GST Book Store Sdn. Bhd, 2000.
S. Homerow. Theodore, Reflection an History and Historius Madison. Wisconsin: The University of Wisconsin Press, 1987.
Suntharalingam, R.. Pengenalan Kepada Sejarah. Kuala Lumpur: Marican & Sons (M) Sdn Bhd, 1985.
Talif al-Khindi. The Histories of Masudi. Albany State: University of New York Press, 1975.


[1] Bilcher Bala, Penyelidikan dan Penulisan Sejarah, (Bangi: Pusat Pengajian Jarak Jauh, Universiti Kebangsaan Malaysia, 2002), 7
[2] S. Homerow  Theodore, Reflection an History and Historius Madison, (Wisconsin: The University of Wisconsin Press, 1987), 3
[3] Bilcher Bala, Penyelidikan dan Penulisan Sejarah, 4
[4] Ibid, 3
[5] Ibid, 5
[6] Ibid, 6
[7] A.L,  Rowse, The Use of History, (New York: The Coolier Book,1965), 7
[8] Muhd. Yusof Ibrahim, Pengertian Sejarah Beberapa Perbahasan Mengenai Teori dan Kaedah, (Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka,1986), 4-5
[9] Suntharalingam, R, Pengenalan Kepada Sejarah, (Kuala Lumpur: Marican & Sons (M) Sdn Bhd, 1985), 4
[10] Ibid, 5
[11] Ibid, 58
[12] Ibid,ms 5
[13] Bilcher Bala, Penyelidikan dan Penulisan Sejarah, 6
[14] Ibid, 7
[15] Ibid,8
[16] Ibn Khaldun, al-Muqaddimah, (Kuala Lumpur, Dewan Bahasa dan Pustaka,2000), x
[17] Talif al-Khindi, The Histories of Masudi, (Albany State: University of New York Press, 1975), 32
[18] Arba’iyah Mohd Noor, Ilmu Sejarah dan Pensejarahan, (Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka,2002),8
[19] Mohamad Kamal Kamaruddin, Sejarah Eropah, (Petaling Jaya,Selangor: Prentice Hall Pearson Malaysia Sdn Bhd,2009),271
[20] Mustafa Haji Daud, Sejarah Perjuangan Islam, (Kuala Lumpur: Penerbitan GST Book Store Sdn. Bhd,2000),. 50
[21] Mohd Yusof Ibrahim, Ilmu Sejarah: Falsafah, Pengertian dan Kaedah, (Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka,1997),47
[22] Ibid, 45