1.0 PENDAHULUAN
Sejarah merupakan satu cabang ilmu pengetahuan, displin ilmu
berdasarkan sumber, bukti dan teori, falsafah serta kaedahnya.[1]
Namun, terdapat banyak persoalan yang timbul dalam menuntut bukti. Pada tahun
1987, seorang sejarawan Amerika Syarikat iaitu Theodore S Homerow telah
menyuarakan kebimbangan mengenai potensi dan perkembangan ilmu sejarah yng
semakin hari semakin merundum, khususnya pada tahun 1980.[2]
Namun begitu, sejarah mempunyai keistimewaan tertentu, iaitu sentiasa merangsang
manusia untuk berterusan menyoal tentang peristiwa dan keadaan serta memperoleh
faedah daripada persoalan yang diberikan.
Sebenarnya, bidang ini bermula dengan pelbagai persoalan utama
iaitu 4W1H (who, where,when,why dan how). Bidang sejarah
mula diberi perhatian apabila Universiti Gottingen ditubuhkan pada tahun 1737.
Pada masa yang sama professor-profesor dalam bidang sejarah seperti Johann
Christoph dan Arnold Hermann dilantik.[3] Kesannya,
university ini sebagai pencetus kepada sarjana untuk mengkaji sejarah sehinggakan
ianya dianggap sebagai bidang penyelidikan secara ilmiah.[4]
Konsep sejarah hermeneustik berbeza dengan awal penemuan sejarah
yang lebih mementingkan unsur mitos dan lagenda. Konsep ini lebih menekankan
kepada sumber dan kebenaran fakta serta berusaha menolak unsur mitos dan
lagenda.[5] Ilmu
sejarah juga amat berbeza dengan ilmu sains sosial. Hal ini demikian kerana
ilmu sejarah ini bersifat khusus manakala ilmu sains sosial bersifat sejagatdan
dapat dirumuskan melalui pola perubahan hukum.[6]
Pendapat ini sama seperti Leopold Von Ranke yang mengatakan bahawa sejarah bersifat khusus dan bukannya bersifat
menekankan sesuatu persamaan, pengulangan dan penyeluruhan.[7]
Jelaslah menunjukkan sejarah merupakan satu bidang yang khusus dan tidak boleh
disamakan dengan bidang sains sosial yang lain.
Merujuk kepada
soalan iaitu “apakah itu sejarah dan mengapakah ia penting pada masa kini?”
Penulis akan membahagikan kepada dua bahagian iaitu bahagian pertama
menerangkan apa itu sejarah mengikut pandangan tokoh. Bahagian kedua pula
penulis akan menerangkan mengapa bidang sejarah penting pada masa kini.
2.0 APAKAH ITU SEJARAH
Mohd Yusuf Ibrahim (1985) menterjemahkan perkataan sejarah iaitu History
daripada perkataan Arab iaitu Syajaratun yang bermaksud pohon. Sejarah
juga boleh ditakrifkan sebagai salasilah, tawarikh dan babad. Dari sudut lain
pula, istilah history merupakan terjemahan dari perkataan Yunani yakni Histories
yang membawa makna satu penyelidikan ataupun pengkajian. Namun, perkataan syajaratun
dan sejarah masih menimbulkan keraguan. Buktinya, dalam Sejarah Melayu karya
Tun Sri Lanang pada abad ke 17 telah meletakkan sebagai judul perkataan Arab
iaitu Sulalatus Salatin yang kemudiannya diterjemahkan sebagai Sejarah
Melayu. Karya tersebut tidak pula menyebut syajaratun tetapi sebaliknya
menggunakan perkataan al-tarikh yakni perkataan Arab yang besar
kemungkinan telah disesuaikan menjadi tarikh dalam Bahasa Melayu. Istilah al-tarikh
merujuk kepada sejarah oleh penulis
sejarah tempatan sejak awal abad ini. Seterusnya istilah sejarah telah menggantikan
perkataan tersebut.[8]
Menurut R.G. Collingwood, sejarah didefinisikan sebagai sejenis
bentuk penyelidikan atau suatu penyiasatan tentang perkara-perkara yang telah
dilakukan oleh manusia pada masa lampau. Hal ini bermaksud melalui
penyelidikan, pelbagai persoalan yang ditanya oleh ahli sejarah itu sendiri
dapat dijawab atau diketahui. Usaha untuk mencari jawapan disifatkan oleh
Collingwood sebagai sains. Selain itu, Collingwood turut menekankan dua
implikasi sekiranya pengiktirafan ciri itu timbul. Implikasi pertama iaitu
kajian dalam sejarah berdasarkan kepada penafsiran bukti atau sumber-sumber
yang sedia ada. Sumber-sumber boleh didapati melalui tulisan, dan kesan-kesan
peninggalan lama. Ahli sejarah perlu menggunakan kedua-dua bukti ini untuk
mencari jawapan yang sebenar. Implikasi kedua ialah hakikat bahawa kajian
sejarah sepatutnya dilakukan oleh ahli sejarah itu sendiri. Pendapat
Collingwood turut dipersetujui oleh para sarjana yang lain.[9]
Saya bersetuju dengan pandangan Collingwood kerana setiap penceritaan sejarah
perlulah disertakan bukti yang menyokong dan menyakinkan. Hal ini demikian
kerana bukti yang sedia ada merupakan pentunjuk kepada sesuatu kebenaran
sejarah. Selain itu juga, bukti sejarah menunjukkan sejarah bukanlah sebuah
cerita rekaan semata-mata.
Selain itu, menurut
bapa sejarah iaitu Herodotus mengatakan bahawa sejarah merupakan satu kajian
yang menceritakan satu kitaran jatuh bangunnya seseorang tokoh, masyarakat dan
peradaban. Karya Herodotus yang bertajuk “Histories” memaparkan kisah
Perang Parsi yang tercetus pada abad ke 5 S.M..[10] Perang
Parsi tercetus apabila golongan atasan seperti Raja Darius, Croesus dan Xerxes
mempunyai sikap yang agresif dalam meluaskan tanah jajahan mereka. Selain itu
juga, perang ini terjadi ekoran pertembungan dua budaya yang bertentangan.
Buktinya, negeri Yunani memperjuangkan kebudayaan Barat sedangkan negeri Parsi
memperjuangkan kebudayaan Timur. Herodotus membuktikan dengan cara membuat
perbandingan antara kedua-duanya. Perbandingan dari segi kebebasan yang
dinikmati oleh orang Yunani dan orang Parsi. Orang Yunani hidup dengan pemerintahan
kuku besi sedangkan di Parsi, mereka mengamalkan institusi perhambaan.[11]
Jelaslah perbezaan antara kedua-dua negeri ini menyebabkan tercetusnya perang
yang mengorbankan banyak nyawa. Sikap tindak tanduk manusia juga telah
menyebabkan sejarah itu terhasil.
Profesor Maurice
Mandelbaum dalam bukunya “The Anatomy of Historical Knowledge” telah
menyatakan bahawa sejarah bergantung kepada penyelidikan. Tujuan penyelidikan
ialah menegakkan kebenaran mengenai kejadian-kejadian khusus yang telah
benar-benar berlaku. Beliau berpendapat lagi tugas ahli sejarah iaitu mengumpul
babad-babad dan semua rekod berkenaan masa lampau. Rekod-rekod dikumpulkan
melalui penyiasatan dan hubungan-hubungan yang wujud di antara fakta-fakta yang
tercatat.[12]
Sebenarnya, saya bersetuju dengan pandangan beliau. Hal ini demikian kerana
kejadian-kejadian sejarah memerlukan penyelidikan untuk mengetahui adakah
kejadian itu benar-benar berlaku atau sebaliknya.
Pada abad ke-19 di
Eropah, Leopold Von Ranke, sejarawan dari Jerman mengatakan bahawa sejarah
sudah lama wujud sebelum abad ke-19 lagi. Beliau menggunakan istilah sejarah
dalam kajiannya terhadap perubahan dan perkembangan hidup manusia, khususnya
dalam bidang politik.[13]
Pendapat ini pula berbeza dengan Gatrude yang mengatakan bahawa bukan
semata-mata mengkaji politik manusia sebaliknya merangkumi keseluruhan
kehidupan manusia.[14]
Saya kurang bersetuju dengan pandangan Ranke. Hal ini demikian kerana bukan
semata-mata faktor politik yang menjadi asas kepada pengkajian sejarah malahan
terdapat faktor-faktor seperti ekonomi dan sosial. Faktor-faktor ini
sememangnya tidak dapat dipisahkan mengapa ianya berlaku. Di samping itu,
Gatrude bersetuju dengan Ranke yang mengatakan bahawa “sejarah lama” telah lama
wujud sebelum abad ke-19. [15]
Tidak ketinggalan
juga, sarjana-sarjana Islam seperti Ibn Khaldun dan Al-Masudi turut memberikan
pandangan apa itu sejarah. Ibn Khaldun dalam bukunya Al-Muqadimah mengatakan
bahawa penjelasan yang halus mengenai asal usul dan pengetahui mengenai bagaimana
sesuatu peristiwa itu berlaku.[16]
Al-Masudi mentakrifkan sejarah sebagai catatan yang terhimpun tentang
keseluruhan ilmu pengetahuan manusia dan dianggap paling mulia dalam sains.[17]
3.0 KEPENTINGAN SEJARAH PADA MASA KINI
3.1 SEJARAH MEMBERIKAN KITA PANDUAN PADA MASA DEPAN
Setiap manusia
memerlukan sejarah sebagai petunjuk dari segi kesedaran mereka tentang segala
pengalaman serta kewarasan dan kekuatan azam bagi merealisasikan cita-cita.
Sejarah juga dapat mengajar manusia agar manusia sentiasa berada pada landasan
yang benar dan berusaha untuk tidak mengulangi kesilapan yang lalu. Masa yang
lalu dijadikan sebagai petunjuk dan iktibar bagi seseorang untuk mengendalikan
masa yang sedang dialaminya dengan penuh keyakinan dan kekuatan serta dapat
merancang masa depan dengan teliti. Masa lalu biarlah menjadi sejarah dalam
hidup agar manusia lebih menghargai kehidupan pada masa depan.
Ilmu sejarah diibaratkan
sebagai penglihatan dengan dimensi. Penglihatan pada masa silam kemudiannya
masa sekarang dan seterusnya pada masa depan. Perkataan dalam menyelidiki tidak
dapat melepaskan diri dari kenyataan pada sekarang yang kita sendiri
mengalaminya. Hal ini sedikit sebanyak kita tidak dapat melepaskan diri dari
perspektif masa depan. Oleh sebab itulah sejarah pada masa lampau harus kita
belajar dengan berpandukan kepada kenyataan mengenai perkembangan situasi
sekarang selain menetapkan keinginan dan harapan untuk masa depan.
3.2 SEJARAH DAPAT MEMBERIKAN PENGAJARAN DAN KESEDARAN KEPADA
MANUSIA
Pendidikan dan pengetahuan
terhadap sejarah seharusnya digunakan sepenuhnya oleh manusia. Cara ini juga
dijadikan sebagai sumber kesedaran kepada individu dan masyarakat. Hal ini
bertujuan untuk memupuk semangat baru bagi memperbaiki segala kelemahan, dan
seterusnya menilai kesilapan yang pernah dilakukan oleh masyarakat. Pengalaman
masyarakat yang lalu telah membolehkan kita lebih berkemampuan untuk membuat
sesuatu keputusan yang baik. Stephen Vaugh mengatakan bahawa “… dengan mengkaji
sejarah, kita dapat membuat persediaan dengan lebih baik bagi menghadapi
sebarang kemungkinan dalam kehidupan moden.”[18]
Contohnya,
peristiwa 13 Mei 1969 atau rusuhan kaum yang berlaku telah memberikan kesan dan
pengajaran kepada penduduk Malaysia. Pengajaran yang diperolehi daripada
peristiwa itu ialah hubungan antara kaum.Tragedi telah membuka mata semua pihak
untuk membuka ruang muhasabah diri supaya memikirkan sejauh mana hubungan
antara kita sesama kita sebelum ini dan selepas ini. Semua pihak harus hormat
menghormati antara satu sama lain. Selain itu juga, sikap saling percaya
mempercayai antara satu sama lain perlu ada dalam jiwa masyarakat supaya
peristiwa ini tidak terulang lagi. Kesannya, tidak mustahil ada pihak yang
tidak bertanggungjawab mengambil kesimpatan ke atas kelemahan dan perpecahan
antara kaum. Kejadian ini juga memberikan pengajaran kita perlulah mengikis
sikap perkauman dengan lebih mengutamakan aspek keamanan dalam kehidupan
seharian seterusnya mengelakkan peristiwa ini terulang buat kali kedua.
Contoh lain ialah
peristiwa Perang Dunia Pertama yang berlaku pada tahun 1914-1918. Perang ini
terjadi disebabkan pembunuhan kerabat diraja Austria-Hungary iaitu Archduke Franz
Ferdinand bersama isterinya, Dutchess Sophie di Sarajevo, Bosnia. Kesan
pembunuhan itu maka terjadilah perang. Pengajaran dapat dipelajari daripada
peristiwa ini ialah banyak nyawa terkorban akibat peperangan ini. Terdapat
sekurang-kurangnya 13 juta orang telah terbunuh, ramai juga yang cedera dan
cacat seumur hidup akibat daripada perang ini. Selain itu, perang juga telah
menyebabkan negara Jerman dituduh sebagai dalang disebalik peperangan tercetus
ini sekaligus mengakibatkan Jerman diarahkan untuk memulangkan tanah jajahan mereka.
Pihak yang menang iaitu Pihak Berikat telah mendapat pampasan akibat daripada
peperangan tesebut.[19]
Contoh lain ialah
semangat jihad dan zuhud dalam kalangan umat Islam seperti dua orang khalifah
terkenal iaitu Khalifah Abu Bakar as-Siddiq dan Khalifah Umar al-Khattab telah
mendedahkan kepada umat Islam supaya memahami sejarah dalam konteks agama, an
menyambung perjuangan Nabi Muhammad SAW dan para sahabat baginda.[20]
Pemahaman agama yang mantap membolehkan umat Islam mencipta kejayaan.
3.3 PANDUAN UNTUK MENERAJUI NEGARA
Sesebuah negara
sememangnya mempunyai sejarah tersendiri. Sejarah mempunyai peranan yang amat
penting dalam menentukan hidup matinya sesbuah negara. Sejarah yang lalu
menjadi landasan kepada sesebuah negara di dalam arena politik, ekonomi dan
pembinaan masyarakat. Mereka melihat peristiwa yang telah berlaku boleh
berulang pada masa yang berlainan atau sezaman dan pada masa akan datang.
Sudah pastinya,
sesebuah negara pasti mengalami empat proses pembentukan negara iaitu titik
permulaan, kemudian berkembang, zaman kemuncak atau kegemilangan dan seterusnya
mengalami zaman kejatuhan negara. Menurut Ibn Khaldun (1332 - 1406) mengatakan
bahawa tamadun atau bangsa akan mengalami proses ini. Teori atau pendapat turut
disokong oleh Arnold Tonybee (1889 – 1979).
Contoh, kerajaan
Marxist di Rusia muncul sebagai kerajaan Martxist yang berwibawa selepas
tamatnya Revolusi 1917.[21] Usaha-usaha
pemimpin seperti Lenin (1870 – 1924) dan Stanlin (1879 – 1953), Rusia menjadi
salah satu negara yang menjadi kuasa besar dunia pada tahun 1945. Kejayaan dan
taraf ini bertahan bahagian pertama dekad 1980-an. Melalui pertengahan dekad
tersebut, Rusia mengalami krisis ekonomi yang teruk dan tidak dapat bertahan
lagi. Pelbagai usaha yang dilakukan tetapi tidak berjaya. Mickhail Gorbanchor
telah berjaya mengatasi masalah tersebut dengan membuat dasar Glanost.
Usaha kerajaan Marxist ini berakhir pada tahun 1990 oleh gerakan politik dan
ekonomi yang berjaya menghancurkan Kerajaan Marxist.[22]
3.4 WARISAN UNTUK GENERASI AKAN DATANG
Generasi pada masa
akan datang adalah pewaris kepada segala pengetahuan daripada masyarakat silam.
Sejarah yang lalu boleh dijadikan warisan kepada generasi akan datang. Sejarah
juga perlu dipelajari dan diketahui agar sesuatu yang dipusakai akan terus
kekal diwarisi dan tidak lenyap dalam pemikiran masyarakat moden ini.
Penulisan sejarah
juga jelas menunjukkan bahawa kecintaan terhadap sejarah dalam diri manusia itu
tidak dapat disingkirkan scara azali dalam diri manusia. Tambahan pula, sesuatu
masyarakat yang lalu menulis sesuatu yang berkaitan mengenai asal-usul
keturunan dan salasilah raja yang telah membuktikan wujudnya sesuatu bangsa
yang bertamadun. Buktinya, Sejarah Melayu (Sulalatus Salatin) dan Tuhfat
al-Nafis masing-masing dikarang oleh Tun Sri Lanang dan Raja Ali Haji menggambarkan
mengenai asal-usul keturunan dan salasilah raja serta kewujudan bangsa.
Jelaslah masyarakat silam menulis sejarah untuk tatapan generasi akan
datang untuk dikaji.
RUMUSAN
Ilmu sejarah
merupakan cabang ilmu akademik yang dipenuhi dengan pelbagai peristiwa yang
berlaku. Justeru, sejarah merupakan satu keperluan asas kepada setiap individu
dan masyarakat. Tanpa sejarah, manusia akan kehilangan arah, tidak mempunyai
identiti diri, budaya, dan bangsa yang sebenar. Sejarah mempunyai nilai dan
kepentingan yang tersendiri kepada individu, masyarakat dan negara. Pelbagai
sejarah masa lalu dijadikan sebagai pedoman dan iktibar agar kita tidak
mengulangi kesilapan yang sama. Sekiranya hal ini terjadi maka hancurlah
kehidupan seseorang individu, masyarakat dan negara. Justeru itu,
seboleh-bolehnya kita seharusnya melakukan pelbagai usaha yang jitu supaya
sejarah ini tidak terulang.
BIBLIOGRAFI
A.L, Rowse. The Use of History. New York: The Coolier Book, 1965.
Arba’iyah Mohd Noor. Ilmu Sejarah dan Pensejarahan. Kuala
Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka, 2002.
Bilcher Bala. Penyelidikan dan Penulisan Sejarah. Bangi:
Pusat Pengajian Jarak Jauh, Universiti Kebangsaan Malaysia, 2002.
Ibn Khaldun. al-Muqaddimah. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan
Pustaka, 2000
Mohamad Kamal Kamaruddin. Sejarah Eropah. Petaling Jaya, Selangor:
Prentice Hall Pearson Malaysia Sdn Bhd, 2009.
Muhd Yusof Ibrahim. Ilmu Sejarah: Falsafah, Pengertian dan
Kaedah. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka, 1997.
Muhd. Yusof Ibrahim. Pengertian Sejarah Beberapa Perbahasan
Mengenai Teori dan Kaedah. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka, 1986
Mustafa Haji Daud. Sejarah Perjuangan Islam. Kuala Lumpur:
Penerbitan GST Book Store Sdn. Bhd, 2000.
S. Homerow. Theodore, Reflection an History and Historius
Madison. Wisconsin: The University of Wisconsin Press, 1987.
Suntharalingam, R.. Pengenalan Kepada Sejarah. Kuala Lumpur:
Marican & Sons (M) Sdn Bhd, 1985.
Talif al-Khindi. The Histories of Masudi. Albany State: University
of New York Press, 1975.
[1] Bilcher
Bala, Penyelidikan dan Penulisan Sejarah, (Bangi: Pusat Pengajian Jarak
Jauh, Universiti Kebangsaan Malaysia, 2002), 7
[2] S.
Homerow Theodore, Reflection an
History and Historius Madison, (Wisconsin: The University of Wisconsin
Press, 1987), 3
[3] Bilcher
Bala, Penyelidikan dan Penulisan Sejarah, 4
[4]
Ibid, 3
[5] Ibid,
5
[6]
Ibid, 6
[8] Muhd.
Yusof Ibrahim, Pengertian Sejarah Beberapa Perbahasan Mengenai Teori dan
Kaedah, (Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka,1986), 4-5
[9] Suntharalingam,
R, Pengenalan Kepada Sejarah, (Kuala Lumpur: Marican & Sons (M) Sdn
Bhd, 1985), 4
[10] Ibid,
5
[11]
Ibid, 58
[12]
Ibid,ms 5
[13] Bilcher
Bala, Penyelidikan dan Penulisan Sejarah, 6
[14] Ibid,
7
[15] Ibid,8
[16] Ibn
Khaldun, al-Muqaddimah, (Kuala Lumpur, Dewan Bahasa dan Pustaka,2000), x
[17] Talif
al-Khindi, The Histories of Masudi, (Albany State: University of New
York Press, 1975), 32
[18] Arba’iyah
Mohd Noor, Ilmu Sejarah dan Pensejarahan, (Kuala Lumpur: Dewan Bahasa
dan Pustaka,2002),8
[19] Mohamad
Kamal Kamaruddin, Sejarah Eropah, (Petaling Jaya,Selangor: Prentice Hall
Pearson Malaysia Sdn Bhd,2009),271
[20] Mustafa
Haji Daud, Sejarah Perjuangan Islam, (Kuala Lumpur: Penerbitan GST Book
Store Sdn. Bhd,2000),. 50
[21]
Mohd Yusof Ibrahim, Ilmu Sejarah: Falsafah, Pengertian dan Kaedah, (Kuala
Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka,1997),47
[22]
Ibid, 45
No comments:
Post a Comment