Saturday, 19 May 2018

sejauhmanakah penghayatan mahasiswa Universiti Sains Malaysia (USM) mengenai bekalan akhirat dan mengetahui tindakan mereka untuk menambah bekalan akhirat.


ABSTRAK
 Buat sendiri

PENGENALAN
Rukun Iman mempunyai enam perkara yang wajib diketahui iaitu beriman kepada Allah, berman kepada Malaikat, beriman kepada Malaikat, beriman kepada Kitab, beriman kepada Rasul, beriman kepada Hari Akhirat dan beriman kepada Qada dan Qadar. Sekiranya kita tidak mempercayai salah satu Rukun Iman, iman seseorang itu akan terbatal. Surah An-Nissa ayat 136 telah berfirman yang bermaksud, “Wahai manusia yang beriman! Tetapkanlah iman kamu kepada Allah dan RasulNya, dan kepada Kitab Al-Quran yang telah diturunkan kepada RasulNya (Muhammad, s.a.w), dan juga kepada Kitab-kitab Suci yang telah diturunkan dahulu daripada itu. Dan sesiapa yang kufur ingkar kepada Allah, dan Malaikat-malaikatNya, dan Kitab-kitabNya, dan Rasul-rasulNya dan juga Hari Akhirat, maka sesungguhnya ia telah sesat dengan kesesatan yang amat jauh.”
Berdasarkan ayat di atas Allah berfirman Rukun Iman hanya ada lima perkara sahaja iaitu beriman kepada Allah, beriman kepada Malaikat, beriman kepada Rasul, beriman kepada Kitab, dan beriman kepada Hari Akhirat. Tetapi dalam ayat ini juga tidak menyebut beriman kepada Qada dan Qadar. Namun begitu,  Rukun Iman ke-6 yang digariskan oleh Rasulullah tetap mempunyai asas di dalam al-Quran berdasarkan kepada ayat 22-23 dalam Surah Al Hadid yang membawa maksud, tidak ada sesuatu kesusahan (atau bala bencana) yang ditimpakan di bumi, dan tidak juga yang menimpa diri kamu, melainkan telah sedia ada di dalam Kitab (pengetahuan Kami) sebelum Kami menjadikannya; sesungguhnya mengadakan yang demikian itu adalah mudah bagi Allah. (Kamu diberitahu tentang itu) supaya kamu tidak bersedih hati akan apa yang telah luput daripada kamu, dan tidak pula bergembira (secara sombong dan bangga) dengan apa yang diberikan kepada kamu. Dan (ingatlah), Allah tidak suka kepada tiap-tiap manusia yang sombong takbur, lagi membanggakan diri.
Dalam kajian ini pengkaji lebih memfokuskan rukun iman kelima iaitu beriman kepada Hari Akhirat. Hari Akhirat merupakan pengakhiran kehidupan semua makhluk di dunia yang fana. Kehidupan di dunia hanya sementara dan tidak sebegitu penting. Firman Allah swt dalam surah Al-Anam ayat 32 yang membawa maksud, “dan tidak (dinamakan) kehidupan dunia melainkan permainan yang sia-sia dan hiburan yang melalaikan: dan demi sesungguhnya negeri akhirat itu lebih baik bagi manusia yang bertaqwa. Oleh itu, tidakkah kamu mahu berfikir?”
Allah swt turut menggambarkan betapa dahsyatnya hari Akhirat. Allah berfirman dalam Surah Al-Zalzalah ayat 1-2 membawa maksudnya: Apabila bumi digegarkan dengan gegaran yang sedahsyat-dahsyatnya, Serta bumi itu mengeluarkan segala isinya.
Ibnu Hajar berkata, "Sejumlah berita tanda-tanda kiamat, bahawa keluarnya Dajjal adalah awal dari tanda-tanda kiamat besar, dengan terjadinya perubahan secara menyeluruh di muka bumi. Dan diakhiri dengan wafatnya Isa A.S. Sedangkan terbitnya matahari dari Barat adalah awal dari tanda-tanda kiamat besar yang mengakibatkan perubahan keadaan langit. Dan berakhir dengan terjadinya kiamat. "Ibnu Hajar berkata lagi," Hikmah dari kejadian ini bahawa ketika terbit matahari dari barat, maka tertutuplah pintu taubat. "(Fathul Bari)
Jelaslah menunjukkan terbitnya matahari sebelah Barat merupakan tanda kiamat besar yang pertama. Selepas terbitnya matahari ke arah Barat pintu taubat telah ditutup dan sebarang taubat tidak diterima oleh Allah SWT.
Sebelum terjadi perkara itu, kita perlu bermuhasabah diri. Adakah bekalan kita cukup untuk menghadapi alam akhirat? Bagaimana kita persediaan kita untuk menempuhi alam yang kekal abadi? Mari kita renungkan bait lirik lagu Pergi Tak Kembali nyanyian Rabbani.
“Setiap insan pasti merasa saat perpisahan terakhir dunia yang fana akan ditinggalkan hanya amalan yang dibawa.” Bait lirik membawa maksud setiap manusia yang hidup pasti akan mati. Sebelum manusia meninggalkan dunia, pasti manusia mempunyai bekalan untuk di bawa menunju ke alam akhirat. Sebaik-baik bekalan ialah taqwa.
Sabda Rasulullah SAW bermaksud: "Manusia yang paling bijaksana dalam kalangan kamu ialah manusia yang bermuhasabah dirinya dan menyediakan bekalan amal salih sebelum menghadapi kematian. Manusia yang tidak bijaksana ialah manusia yang terpedaya dengan pujukan hawa nafsunya dan sentiasa berangan-angan kosong terhadap Allah (mengharapkan ganjaran Allah tanpa berusaha)." (Hadis riwayat At-Tirmizi dan Ibnu Majah).
Objektif kajian ini ialah mengetahui sejauhmanakah penghayatan mahasiswa Universiti Sains Malaysia (USM) mengenai bekalan akhirat dan mengetahui tindakan mereka untuk menambah bekalan akhirat.

METODOLOGI KAJIAN
Dalam kajian yang dijalankan, pengkaji menggunakan kaedah soal selidik dan temu bual. Kaedah-kaedah ini digunapakai untuk mengetahui sejauhmanakah persepsi mahasiswa terhadap bekalan akhirat. Kaedah temu bual telah menemu bual mahasiswa-mahasiswa  yang dipilih secara rawak. Soalan yang dkemukakan ialah apa yang mereka faham mengenai bekalan akhirat. Daripada soalan yang dikemukakan ada yang tahu bekalan akhirat tetapi tidak tahu cara melakukannya. Ada juga yang tidak tahu sebab perlunya bekalan akhirat.
Selain itu, kaedah soal selidik juga  digunakan untuk mengetahui bilangan mahasiswa yang menjawab soal selidik yang dikemukakan kepada mereka. Soal selidik mengandungi soalan mengenai tindakan mereka untuk menambah bekalan akhirat. 10 orang mahasiswa yang dipilih secara rawak untuk menjawab soal selidik yang dikemukakan.

KONSEP BEKALAN AKHIRAT
Dalam hadis lain menyebut, dari Abu Hurairah r.a. bahawa Nabi Muhammad s.a.w bersabda: "Apabila seseorang anak Adam mati putuslah amalnya kecuali tiga perkara : sedekah jariah atau fisabillah atau ilmu yang memberi manfaat kepada orang lain atau anak yang soleh yang berdoa untuk kedua ibu bapanya." 
Firman Allah dalam Surah Al-Baqarah ayat 197 membawa maksud, (Masa untuk mengerjakan ibadat) Haji itu ialah beberapa bulan yang termaklum. Oleh yang demikian sesiapa yang telah mewajibkan dirinya (dengan niat mengerjakan) ibadat Haji itu, maka tidak boleh mencampuri isteri, dan tidak boleh membuat maksiat, dan tidak boleh bertengkar, dalam masa mengerjakan ibadat Haji. Dan apa jua kebaikan yang kamu kerjakan adalah diketahui oleh Allah; dan hendaklah kamu membawa bekal dengan cukupnya kerana sesungguhnya sebaik-baik bekal itu ialah memelihara diri (dari keaiban meminta sedekah); dan bertaqwalah kepadaKu wahai manusia yang berakal (yang dapat memikir dan memahaminya).
Taqwa berasal dari perkataan Arab yang membawa maksud memelihara diri daripada seksaan azab Allah SWT dengan cara mentaati perintahNya dan menjauhi perkara-perkara yang ditegahNya. Taqwa disebut sebanyak kali dalam Al-Quran. Hal ini jelaslah menujukkan taqwa merupakan bekalan terbaik kita di akhirat.

TINDAKAN MAHASISWA UNTUK MENAMBAH BEKALAN AKHIRAT
Rajah 1: Tindakan Mahasiswa Menambah Bekalan Akhirat
(gambar tu tak boleh keluar)

Rajah 1 menunjukkan statistik mahasiswa daripada dua pusat pengajian yang dipilih secara rawak iaitu Pusat Pengajian Ilmu Pendidikan (PPIP) dan Pusat Pengajian Ilmu Kemanusiaan (PPIK). Berdasarkan statistik ini menunjukkan majoriti mahasiswa memilih sadaqah jariah, ilmu yang memberikan manfaat kepada manusia lain, zikrullah, qiamulaill, doa anak soleh terhadap kedua-dua ibu bapa dan membaca Al-Quran sebagai tindakan mereka menambah bekalan akhirat.

SADAQAH JARIAH
Berdasarkan rajah di atas menunjukkan kesemua responden memberikan jawapan sadaqah jariah sebagai tindakan mereka menambah bekalan akhirat.
Sedekah atau dalam bahasa Arab disebut sadaqah membawa maksud benar. Menurut syara’ membawa maksud ialah pemberian sesuatu kepada manusia yang memerlukan dengan tujuan mahu mendekatkan diri kepada Allah S.W.T. Sedekah sangat dituntut dalam syarak. Allah S.W.T membuka pintu rezeki setiap Mukmin yang ikhlas bersedekah kerana Allah S.W.T.
            Dalam Hadis Rasulullah SAW pernah bersabda Zubair al-Awwam : “Hai Zubair, ketahuilah bahawa kunci rezeki hamba itu ditentang Arasy, yang dikirim oleh Allah SWT kepada setiap hamba sekadar nafkahnya. Maka siapa yang membanyakkan pemberian kepada manusia lain (Sedekah), nescaya Allah membanyakkan baginya. Dan siapa yang menyedikitkan, nescaya Allah menyedikitkan baginya.”[1]
            Fadilat bersadaqah ialah Allah S.W.T ialah sedekah dapat menghapuskan dosa dan penyakit kedekut seseorang. Manusia diuji dengan datangnya penyakit hendaklah berusaha mencari penawar untuk penyakit yang kita hadapi. Setiap penyakit ada penawar kecuali mati. Begitu juga dengan sedekah. Rasulullah pernah bersabda, “ubatilah  penyakit di antara kamu dengan sedekah.”

ILMU YANG MEMBERIKAN MANFAAT KEPADA ORANG LAIN
Berdasarkan rajah di atas menunjukkan kesemua responden memberikan jawapan ilmu yang memberikan manfaat kepada manusia lain sebagai tindakan menambah bekalan akhirat.
Ilmu atau dalam bahasa Inggeris yang disebut sebagai knowledge ialah suatu kefahaman manusia terhadap sesuatu perkara. Menurut Prof Syed Naquib al Attas mengatakan bahawa ilmu ialah sesuatu yang sampai ke dalam diri setiap insan yang memberikan makna dalam kehidupan.  
            Rasulullah s.a.w bersabda yang bermaksud, "Sampaikan daripada aku walaupun satu ayat". Hadis ini menunjukkan bahawa setiap kalimah, pengajaran, ilmu, tazkirah, risalah, nasihat yang kita ambil daripada ayat-ayat al-Quran dan hadis Rasulullah s.a.w adalah merupakan ilmu-ilmu yang bermanfaat kepada manusia yang disampaikan. Ilmu yang kita sampaikan merupakan saham kita di akhirat kelak. Seterusnya ilmu yang kita sampaikan tidak akan pernah putus kerana ia sentiasa berterusan hingga hari kiamat.
Dalam hadis lain Rasulullah s.a.w bersabda yang bermaksud: “Sesiapa yang memberi contoh kebaikan, maka ia mendapat pahala dan pahala manusia yang meniru perbuatannya hingga hari kiamat; dan sesiapa yang memberi contoh kejahatan, maka ia mendapat dosa dan dosa manusia yang meniru perbuatannya hingga hari kiamat.” [2] Berdasarkan kepada hadis dapat disimpulkan ilmu yang kita peroleh atau tahu hendaklah dikongsi kepada manusia lain sama ada ilmu fardu ain atau fardu kifayah agar manusia lain dapat manfaat daripada ilmu yang kita sampaikan. Sebaliknya ilmu yang tidak memberikan manfaat kepada manusia lain maka penyampai ilmu mendapat ganjaran dosa yang berterusan sampai ke akhirat.
Oleh itu ilmu yang baik dan bermanfaat adalah ilmu yang mendorong pemiliknya untuk beramal dengan segala perkara yang dapat mendekatkan dia kepada Allah ‘Azza wa Jalla, menjalankan perintah Allah dan menjauhi laranganNya dan tidak melampaui batasan-batasan yang ditetapkan oleh Allah.

ZIKRULLAH
            Berdasarkan rajah di atas menunjukkan bahawa sembilan daripada 10 responden memilih jawapan Zikrullah sebagai tindakan mereka untuk menambah bekalan akhirat.
            Zikrullah merupakan ungkapan umum yang terangkum dalamnya mengingati Allah SWT. Zikrullah bukan sahaja melafazkan Subhanallah, Alhamdulillah, dan Allahu Akbar. Hakikat Zikrullah secara luas dan sempurna hanya dapat kita capai dengan kita berusaha mentaati Allah pada setiap masa kerana seseorang itu apabila ia taat kepada Allah itu bermakna ia ingat kepada Allah.
            Abu Darda r.a telah meriwayatkan bahawa Rasulullah s.a.w pernah bertanya kepada para sahabatnya r.a, “Mahukah aku khabarkan kepada kamu mengenai sebaik-baik amalanmu yang amat suci di sisi Allah yang meninggikan darjatmu ke peringkat yang tertinggi sekali, yang lebih mulia daripada menafkahkan emas dan perak di Jalan Allah, yang lebih utama daripada menghadapi musuh di tengah-tengah medan jihad, maka kamu tanggalkan lehernya atau mereka menanggalkan lehermu? Para Sahabat berkata, “Bahkan, apakah itu Ya Rasulullah s.a.w?” Rasullah saw bersabda, “Zikrullah.”[3]
            Berdasarkan hadis ini jelaslah menunjukkan zikirullah dapat mengingati Allah jiwa akan menjadi tenang. Zikrullah merupakan santapan manusia mukmin. Oleh itu kita sentiasa membasahi lidah kita dengan mengingati Allah. Insyaallah hidup kita akan bahagia di dunia dan di akhirat.
Dalam hadis lain ialah  dari Abu Hurairah r.a berkata Rasulullah s.a.w bersabda, “Ada dua buah kalimat yang ringan di lisan namun berat di dalam Al-Mizan, dan keduanya dicintai oleh ar-Rahman, iaitu ‘Subhanallahi wabihamdihi, subhanallahil ‘azhim’.” [4] Dalam hadis ini menunjukkan Allah SWT Maha Penyanyang terhadap manusia.

QIAMULAIL
            Berdasarkan kepada rajah di atas menunjukkan bahawa sembilan daripada 10 responden memilih jawapan Qiamulail sebagai jawapan.
Qiam bermaksud bangun manakala Lail bermaksud malam. Dalam konteks ini, qiamulail membawa maksud bangun untuk beribadat kepada Allah SWT pada 2/3 malam atau sekurang-kurangnya 1/3 akhir malam, bermula dari pukul 3 pagi hingga terbit fajar. Amalan ini sangat digalakkan seperti disebutkan dalam hadis Rasulullah saw yang membawa maksud, “hendaklah kamu bersolat malam. Sesungguhnya ia amalan orang yang soleh sebelum kamu, amalan yang mendekatkan kepada Tuhanmu, penghapus kesalahan dan pencegah dosa.”[5]
Dalam hadis lain meyebut bahawa Rasulullah SAW bangun sebahagian daripada malam bersembahyang hingga bengkak kedua kakinya, maka aku (Aisyah) berkata kepada baginda, mengapa Rasulullah SAW lakukan ini semua, bukankah dosa tuan telah diampunkan oleh Allah sama ada yang terdahulu ataupun yang terkemudian? Baginda menjawab: Salahkah aku menjadi hamba yang bersyukur?” Rasulullah saw seorang yang maksum (tidak pernah melakukan dosa) pun melakukan qiamulail sampai bengkak kakinya. Ini menunjukkan Rasulullah saw bersyukur kepada Allah swt kerana Allah SWT memberikan waktu akhir malam untuk beribadat kepada Nya.
Amalan-amalan yang boleh kita lakukan ialah melakukan solat-solat sunat sekurang-kurangnya dua rakaat, membaca Al-Quran, berzikir, beristighfar dan berdoa. Pada waktu ini merupakan waktu yang mustajab untuk berdoa. Solat-solat sunat yang kita boleh kerjakan pada waktu ini ialah solat sunat Tahajud, solat sunat Hajat, solat sunat Witir, solat sunat Taubat, solat sunat Tasbih, dan solat sunat Istikharah.
            Mungkin ada kalangan mahasiswa tidak cukup lima waktu maka mereka menjawab melakukan qiamulail sebagai bekalan akhirat. Rasionalnya mahasiswa mengetahui qiamulail ini juga boleh menampung kekurangan solat Fardu lima waktu sehari semalam. Hal ini bertepatan dalam hadis Rasulullah saw. Daripada Abu Hurairah bahawa Rasulullah SAW bersabda: “Sesungguhnya amalan seseorang yang mula-mula sekali dihisab pada hari kiamat adalah solatnya, jika solatnya baik (diterima), maka beruntung dan berbahagialah ia. Dan jika solatnya rosak (tidak diterima), maka kecewa dan rugilah dia. Kiranya terkurang sesuatu daripada solat fardunya, Allah berfirman: “Periksalah, adakah hamba-Ku itu mempunyai solat sunat yang dapat menampung solat fardunya?” Demikianlah keadaan semua amalnya yang lain dihisab.”   [6]

MEMBACA AL-QURAN
            Berdasarkan rajah di atas menunjukkan bahawa sembilan mahasiswa daripada 10 responden menjawab membaca Al-Quran sebagai tindakan mereka untuk menambah bekalan akhirat.
            Al-Quran merupakan kitab suci bagi umat Islam. Al-Quran ialah wahyu Allah SWT yang diturunkan kepada Rasulullah saw melalui perantaraan Malaikat Jibrail. Al-Quran diturunkan kepada Rasulullah saw secara berperingkat-peringkat dalam tempoh 23 tahun. Hal ini bertepatan dalam firman Allah swt dalam surah Al-Qiyamah ayat 17 dan 18 yang membawa maksud, “Sesungguhnya Kamilah yang berkuasa mengumpulkan Al-Quran itu (dalam dadamu), dan menetapkan bacaannya (pada lidahmu). Oleh itu, apabila Kami telah menyempurnakan bacaannya (kepadamu, dengan perantaraan Jibril), maka bacalah menurut bacaannya itu.”
            Dalam hadis menunjukkan membaca Al-Quran merupakan bekalan yang perlu dibawa ke Akhirat yang membawa maksud dari Abu Umamah ra. dia berkata: Aku mendengar Rasulullah saw bersabda, "Bacalah Al Qur'an sesungguhnya ia akan datang di hari Kiamat menjadi syafaat (penolong) bagi pembacanya. Jelaslah Al-Quran dapat memberikan manfaat kepada si pembacanya.
            Hadis lain menerangkan fadilat membaca Al-Quran yang membawa maksud dari Abdullah bin Mas’ud ra, Rasulullah pernah bersabda, “Barangsiapa membaca satu huruf dari Al-Quran maka baginya satu pahala dilipatgandakan 10 kali ganda. Aku tidak mengatakan ayat Alif Lam Mim itu satu huruf tetapi alif satu huruf lam satu huruf dan mim satu huruf.” [7] Hal ini menunjukkan walaupun kita membaca satu huruf dari ayat Al-Quran tetap diberi ganjaran pahala. Pahala ini jugalah merupakan saham kita di akhirat kelak. 

DOA ANAK SOLEH KEPADA IBU BAPA
            Berdasarkan kepada rajah di atas bahawa tujuh mahasiswa daripada 10 responden memilih jawapan doa anak soleh kepada ibu bapa sebagai tindakan mereka untuk menambah bekalan akhirat.
            Ibu bapa ialah individu yang melahirkan, mengasuh, mendidik membesarkan dan menyediakan keperluan dari kita kecil sehinggalah dewasa. Tanpa ibu bapa tidak mungkin kita berada di dunia ini. Ibu bapa juga merupakan individu paling istimewa bagi setiap manusia. Hal ini demikian kerana mereka sanggup berkorban segala-galanya demi kebaikan dan keselamatan anak-anaknya. Hal ini bertepatan dalam firman Allah SWT dalam Surah Luqman ayat 14 dan 15 membawa maksud, “Dan Kami wajibkan manusia berbuat baik kepada kedua ibu bapanya; ibunya telah mengandungnya dengan menanggung kelemahan demi kelemahan (dari awal mengandung hingga akhir menyusunya), dan tempoh menceraikan susunya ialah dalam masa dua tahun; (dengan yang demikian) bersyukurlah kepadaKu dan kepada kedua ibubapamu; dan (ingatlah), kepada Akulah jua tempat kembali (untuk menerima balasan). Dan jika mereka berdua mendesakmu supaya engkau mempersekutukan denganKu sesuatu yang engkau - dengan fikiran sihatmu - tidak mengetahui sungguh adanya maka janganlah engkau taat kepada mereka; dan bergaulah dengan mereka di dunia dengan cara yang baik. Dan turutlah jalan orang-orang yang rujuk kembali kepadaKu (dengan tauhid dan amal-amal yang soleh). Kemudian kepada Akulah tempat kembali kamu semuanya, maka Aku akan menerangkan kepada kamu segala yang kamu telah kerjakan.”
            Redha Allah terletak kepada redha ibu bapa. Janganlah jadi anak derhaka kepada ibu bapa. Anak derhaka tidak akan selamat di dunia dan akhirat. Firman Allah swt dalam surah Al-Isra ayat 23 membawa maksud, “Dan Tuhanmu telah perintahkan, supaya engkau tidak menyembah melainkan kepadaNya semata-mata, dan hendaklah engkau berbuat baik kepada ibu bapa. Jika salah seorang dari keduanya, atau kedua-duanya sekali, sampai kepada umur tua dalam jagaan dan peliharaanmu, maka janganlah engkau berkata kepada mereka (sebarang perkataan kasar) sekalipun perkataan "Ha", dan janganlah engkau menengking menyergah mereka, tetapi katakanlah kepada mereka perkataan yang mulia (yang bersopan santun).” Oleh itu, kita sebagai anak jangan sesekali menderhaka kepada ibu bapa. Walaupun kita seorang yang beragama tetapi sikap kita yang menderhaka kepada ibu bapa maka amalan yang dikumpul menjadi sia-sia. Kisah Ilqamah patut dijadikan pengajaran kepada mahasiswa untuk berbakti kepada ibu bapa agar menjadikan satu bekalan kita menuju ke akhirat.

KESIMPULAN
buat sendiri

RUJUKAN
A. Sholeh Muhammad Basalamah Tabungan Hari Akhirat. (1994). Victory Agencie, Kuala Lumpur
Agama : Amal Jariah Bekalan Akhirat (2015, 7 April). Berita Harian Online. Dicapai pada Mac 30, 2016 daripada http://www.bharian.com.my/node/46114
Azizi (2012, 20 Mei) Penuhkan Bekalan Akhirat Kita. Zizi 1199 Wordpress. Dicapai pada Mac 30, 2016 daripada https://zizi1199.wordpress.com/2012/05/20/penuhkan-bekalan-akhirat-kita/
Ibnu Idris Bangkit Semula Sesudah Mati. (2000). Penerbit Hidayah, Kuala Lumpur
Mohd Azli Bin Mohd Ali (2015, 24 April) Anak soleh tabung akhirat ibu, ayah. Sinar Harian Online. Dicapai pada April 3, 2016 daripada http://www.sinarharian.com.my/rencana/anak-soleh-tabung-akhirat-ibu-ayah-1.382976


[1] Hadis Riwayat ad-Daruquthni dari Anas r.a.
[2] Petikan Kitab Tanbihul Ghafilin halaman 13
[3] Riwayat Ahmad, At-Tarmizi, Ibnu Majah, Ibnu Abi Dunya, Al-Hakim dan Al-Baihaqi
[4] HR. Bukhari [7573] dan Muslim [2694]
[5] Hadis Riwayat Muslim
[6] Hadis Riwayat At-Tirmizi r.a.
[7] Hadis Riwayat At Tarmizi

No comments:

Post a Comment